|
Bertepatan dengan
konsep Islam sebagai "Addeen" agama untuk dunia dan akhirat, setiap
ibadah yang difardhukan oleh Allah s.w.t. memberi manfaat dunia
dan akhirat. Atas iktikad mengerjakan haji, umat
Islam terdorong mengumpulkan wang bagi
membolehkan mereka berkemampuan memenuhi perbelanjaan ke Tanah
Suci.
Bagi mengelakkan unsur riba' yang haram di sisi Islam, berbagai
kaedah tradisional menyimpan wang diamalkan. Ada juga yang menjual
ternakan dan harta benda warisan bagi mencukupkan
perbelanjaan ke Tanah Suci, yang mana akhirnya
mengakibatkan tekanan ekonomi keatas diri sendiri dan keluarga,
semasa dan sekembalinya mereka dari menunaikan fardhu haji.
Amalan ini juga secara tidak langsung turut merosakkan struktur
ekonomi luar bandar serta mengancam pertumbuhan ekonomi negara.
Untuk mempertingkatkan lagi perkhidmatan dan kemudahan kepada
bakal-bakal haji, dalam tahun 1969 perbadanan tersebut dicantumkan
dengan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji yang beroperasi di Pulau Pinang,
dan dengan itu lahirlah Lembaga Urusan dan Tabung Haji atau
ringkasnya Tabung Haji, yang ditubuhkan di bawah Akta 8, Akta
Lembaga Urusan dan Tabung Haji 1969 dengan tujuan untuk :
-
◊
Membolehkan
orang-orang Islam menyimpan secara beransur-ansur bagi memenuhi
perbelanjaan
menunaikan fardhu haji atau lain-lain perbelanjaan
bermanfaat;
-
◊
Membolehkan
orang-orang Islam melalui wang simpanan mereka mengambil
bahagian yang
lebih berkesan di bidang penanaman modal melalui cara
yang halal di sisi Islam; dan
-
◊
Memberi
perlindungan, pengawalan dan kebajikan kepada jemaah haji
yang menunaikan
fardhu haji dengan menadakan pelbagai
kemudahan dan perkhidmatan.
Berasaskan kepada tujuan-tujuan itu Tabung Haji telah menetapkan
matlamatnya iaitu memberi perkhidmatan yang baik, sempurna dan amat
memuaskan kepada jemaah haji Malaysia dalam urusan menunaikan
fardhu haji; memberi keuntungan yang maksimum kepada
pendeposit-pendeposit atas wang simpanan mereka.
Kenyataan ini adalah jelas menunujukkan bahawa Tabung Haji ditubuhkan
bukan sahaja untuk menguruskan pemergian jemaah haji ke Tanah Suci,
malah ia juga berfungsi sebagai suatu badan alternatif kepada umat Islam
Malaysia untuk menyimpan wang sambil melabur secara halal dan mengikut
lunas- lunas Islam.
Sebagai sebuah badan yang berunsurkan korporat Tabung Haji amat
peka dengan perkembangan dan perubahan yang melanda dunia di
era 90an. Demi menjamin kesinambungan daya saingnya dalam era
globalisasi satu kajian telah dibuat dalam tahun 1995 bagi meluaskan
lagi skop dan peranan Tabung Haji. Dari itu, pada 1 Jun 1995 akta baru
Tabung Haji iaitu Akta 535, Akta Lembaga Tabung Haji 1995
dikuatkuasakan yang memansuhkan akta lama dan nama Lembaga Urusan
dan Tabung Haji digantikan dengan Lembaga Tabung Haji pada 28 Ogos 1997,
dan serentak dengan itu huruf TH diperkenalkan sebagai singkatan nama
menggantikan perkataan Tabung Haji. |