Maklumat Am Pelaburan
Bertepatan dengan objektif penubuhannya untuk memberi peluang kepada Umat Islam di Malaysia, melalui simpanan mereka, menceburi bidang pelaburan dan perniagaan negara,TH telah menyertai bidang-bidang pelaburan yang berpotensi dan meyakinkan yang merangkumi pelaburan saham jangka pendek dan jangka panjang dalam sektor-sektor ekonomi seperti perindustrian, perkhidmatan, peladangan serta pemilikan hartanah.
Di dalam mengendalikan aktiviti pelaburan, pihak pengurusan TH sentiasa mengamalkan dasar pelaburan yang berhati-hati dan berhemat. Setiap aktiviti yang dijalankan oleh syarikat-syarikat yang terlibat akan sentiasa diawasi bagi memastikan ia halal dan menguntungkan dan berdaya maju.
TH juga melabur secara aktif dalam instrumen-instrumen pelaburan kewangan Islam seperti bon, nota korporat, sijil pelaburan kerajaan, akaun bank mudhaarabah dan "bill of acceptances".
Pelaburan dalam anak-anak syarikat merupakan strategi Tabung Haji bagi membolehkan ia terlibat secara langsung dalam sektor-sektor yang berpotensi dan berdaya maju. Pada masa ini, tumpuan pelabuaran diberikan kepada sektor-sektor perladangan, pembinaan, pembangunan hartanah dan perkhidmatan. Empat anak syarikat milik penuh Tabung Haji yang beroperasi dalam sektor-sektor tersebut ialah:
- TH Plantations Berhad (sektor perladangan)
- TH Properties Sdn. Bhd. (sektor pembangunan hartanah)
- TH Technologies Sdn. Bhd. (sektor pembinaan)
- TH Travel & Services Sdn. Bhd. (sektor perkhidmatan, haji, umrah dan pelancongan)


