Latarbelakang TH

Bertepatan dengan konsep Islam sebagai "Addeen" agama untuk dunia dan akhirat, setiap ibadah yang difardhukan oleh Allah s.w.t. memberi manfaat dunia dan akhirat. Atas iktikad mengerjakan haji, umat Islam terdorong mengumpulkan wang bagi membolehkan mereka berkemampuan memenuhi perbelanjaan ke Tanah Suci.

Bagi mengelakkan  unsur  riba' yang haram  di  sisi  Islam, berbagai  kaedah  tradisional menyimpan wang diamalkan. Ada juga yang menjual ternakan dan harta benda warisan bagi mencukupkan  perbelanjaan ke  Tanah Suci,  yang mana  akhirnya  mengakibatkan tekanan ekonomi ke atas diri sendiri dan keluarga, semasa dan sekembalinya mereka dari menunaikan fardhu haji. Amalan ini juga secara tidak langsung turut merosakkan struktur ekonomi luar bandar serta mengancam pertumbuhan ekonomi negara.

Atas kesedaran dan keinsafan ini, serta bagi membantu mereka menyimpan sedikit demi sedikit  tanpa   melibatkan  perkara-perkara  yang  haram, Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal  Haji ditubuhkan pada  bulan November tahun 1962, dan beroperasi pada 30 September tahun 1963. Perbadanan  ini wujud   hasil penerimaan kertas kerja Yang Mulia Profesor Di Raja Ungku Aziz bertajuk "Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal-bakal Haji" pada tahun 1959.

Untuk mempertingkatkan lagi  perkhidmatan dan  kemudahan  kepada  bakal-bakal haji, dalam tahun 1969 perbadanan tersebut dicantumkan dengan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji yang beroperasi di Pulau Pinang, dan  dengan itu lahirlah Lembaga Urusan dan Tabung Haji atau ringkasnya Tabung Haji, yang ditubuhkan di bawah Akta 8, Akta Lembaga Urusan dan Tabung Haji 1969 dengan tujuan  untuk :

  • Membolehkan orang-orang Islam menyimpan secara beransur-ansur bagi memenuhi perbelanjaan menunaikan fardhu  haji  atau lain-lain  perbelanjaan  bermanfaat;
  • Membolehkan  orang-orang  Islam  melalui  wang   simpanan  mereka  mengambil  bahagian yang lebih berkesan di bidang penanaman modal melalui cara yang halal di sisi Islam; dan;
  • Memberi   perlindungan,  pengawalan  dan  kebajikan  kepada  jemaah  haji  yang menunaikan fardhu haji dengan menadakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan.

Berasaskan kepada tujuan-tujuan  itu Tabung Haji telah menetapkan matlamatnya iaitu memberi  perkhidmatan yang baik, sempurna dan amat memuaskan kepada  jemaah  haji Malaysia  dalam  urusan  menunaikan  fardhu  haji; memberi keuntungan yang maksimum  kepada pendeposit-pendeposit atas wang simpanan mereka.

Kenyataan ini adalah jelas menunujukkan bahawa Tabung Haji ditubuhkan bukan sahaja untuk menguruskan pemergian jemaah haji ke Tanah Suci, malah ia juga berfungsi sebagai suatu badan alternatif kepada umat Islam Malaysia untuk menyimpan wang sambil melabur secara halal dan mengikut lunas-lunas Islam.

Sebagai  sebuah  badan  yang  berunsurkan  korporat  Tabung Haji  amat  peka  dengan perkembangan  dan  perubahan yang  melanda  dunia  di  era  90an.       Demi    menjamin kesinambungan  daya  saingnya   dalam era globalisasi satu kajian telah dibuat dalam tahun 1995 bagi meluaskan lagi skop dan peranan Tabung Haji. Dari itu, pada 1 Jun 1995 akta baru Tabung  Haji  iaitu  Akta  535,  Akta   Lembaga  Tabung  Haji  1995   dikuatkuasakan   yang memansuhkan  akta  lama dan nama Lembaga Urusan dan Tabung Haji digantikan dengan Lembaga Tabung Haji pada 28 Ogos 1997, dan serentak dengan itu huruf TH diperkenalkan sebagai singkatan nama menggantikan perkataan Tabung Haji.