Dalam Negara

Permohonan Warganegara Malaysia Di Dalam Negara Menunaikan Fardhu Haji Dengan Tabung Haji - Berlepas Dari Dalam Negara

 

Syarat & Saluran

Bagi melayakkan pendeposit mendaftar haji, mereka perlu memastikan syarat berikut dipatuhi:

  1. Pendeposit TH dengan baki minimum akaun TH sebanyak RM 1,300.00.
  2. Tiada rekod pendaftaran haji yang aktif(satu pendaftaran sahaja dibenarkan).
  3. Pendaftaran haji tidak dibenarkan bagi mereka yang baru menunaikan ibadat haji dalam tempoh 5 tahun. Pendaftaran semula hanya boleh dilakukan selepas 5 tahun menunaikan haji.
  4. Pendaftaran haji ahli KWSP boleh dilakukan dengan syarat berumur bawah 55 tahun.

Pendaftaran haji boleh dilakukan di: 

  • Di mana-mana cawangan TH
  • Cawangan Uniteller Bank Islam dan Bank Rakyat.
  • ATM / CDM Maybank
  • ATM BIMB
  • THiJARI

Pendeposit perlu membawa MyKad (dokumen pengenalan diri)/ Sijil kelahiran bagi yang berumur 12 tahun ke bawah semasa melakukan pendaftaran haji di kaunter-kaunter TH.

Saluran Pendaftaran

  1. Semua kaunter TH
  2. Kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat
  3. Mesin ATM Maybank / Bank Islam
  4. Laman Web: e-THiJARI or www.maybank2u.com.my
  5. Perkhidmatan Bergerak TH Komuniti

Kos Bayaran

Kos Haji merujuk kepada kos-kos langsung berkaitan pengendalian aktiviti-aktiviti asas jemaah haji yang perlu dikendali dan dibayar oleh TH bagi sesuatu tahun.

Kos Haji langsung jemaah Muassasah terdiri daripada kos penerbangan, kos pengangkutan, kos penginapan di Makkah, Madinah dan Jeddah,kos makan minum dan bayaran kepada pihak berwajib di Arab Saudi, manakala Kos Haji langsung jemaah PJH/THTS adalah tidak termasuk kos penginapan dan kos makan minum yang dikendali sendiri oleh PJH/THTS.

Bayaran Haji merujuk kepada sejumlah wang yang ditetapkan sebagai bayaran jemaah kepada TH untuk membolehkannya menunaikan haji bagi sesuatu tahun. Sebagai panduan, anggaran bayaran Haji bagi musim haji 1439H adalah seperti berikut:

Jenis Jemaah (Muassasah) Kos Haji Tanggungan Kos TH Bayaran Haji
Warganegara
belum tunai haji
RM 22,450.00 RM 12,470.00 RM 9,980.00
Warganegara
telah tunai haji
RM 22,450.00 Tiada RM 22,450.00

*Tidak tertakluk kepada sebarang perubahan semasa. Harap maklum.

Kos Haji langsung bagi musim 1439H adalah berjumlah RM 22,450.00 seorang. Bagi musim 1439H, Bayaran Haji bagi bakal haji (BH) yang menunaikan haji buat pertama kali bagi dirinya dan pergi secara Muassasah adalah sebanyak RM9,980 seorang, iaitu TH masih meneruskan tanggungan sebanyak RM 12,470.00 seorang.

Walau bagaimanapun, tanggungan ini hanya diberikan kepada jemaah yang pertama kali menunaikan haji dan secara Muassasah sahaja. TH masih terus menanggung kos haji tidak langsung bagi jemaah-jemaah Malaysia secara keseluruhannya seperti:

  • Kos penerbitan buku dan risalah panduan haji,
  • Kos berkaitan kursus haji,
  • Kos petugas haji kebajikan dan perubatan,
  • Kos operasi berkaitan haji di tanah air; dan
  • Kos perkhidmatan tambah nilai yang disediakan untuk seluruh jemaah haji Malaysia.

Bakal Haji yang telah “Terpilih” pada tahun semasa adalah layak untuk membuat pengeluaran wang di KWSP. Jumlah pengeluaran adalah berdasarkan baki simpanan dalam Akaun TH bagi tujuan mencukupkan Bayaran Haji (Muassasah).

Had maksima pengeluaran yang dibenarkan oleh KWSP adalah sebanyak RM3,000.00 sahaja dan tertakluk kepada syarat-syarat berikut:-

  • Menjadi ahli KWSP
  • Mengemukakan surat tawaran Terpilih ke pejabat KWSP; dan
  • Mengemukakan Buku Akaun Simpanan TH ke pejabat KWSP
  • Berumur kurang 55 tahun

Pembatalan

Bakal Haji yang mempunyai alasan tersendiri boleh membatalkan pendaftaran haji mereka di Pejabat Cawangan TH yang berhampiran. Walau bagaimanapun, tahun peruntukan haji mereka akan terbatal secara automatik. 

Bakal Haji perlu mendaftar semula bagi mendapatkan tahun peruntukan tunai haji yang baru.

Pemergian Haji

Kerajaan Arab Saudi telah menghadkan bilangan yang boleh menunaikan fardu haji (kuota) dengan menggunakan kuota berdasarkan 0.1% penduduk Negara Malaysia. Sehubungan itu, keutamaan pemilihan pemergian menunaikan fardhu haji adalah berdasarkan “yang mendaftar dahulu didahulukan” mengikut tarikh dan masa pendaftaran.

Bakal Haji yang  terpilih pada tahun semasa hendaklah terlebih dahulu:

  • Lulus pemeriksaan kesihatan yang dijalankan oleh doktor panel yang telah ditauliah khas oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memeriksa BH dan mendapatkan suntikan anti Meningitis Meningococcal Quadrivalent AYWW-135.
  • Menyerahkan pasport antarabangsa dan 2 keping gambar bersaiz 4 cm x 6 cm berlatarbelakang warna putih setelah dihubungi oleh Pejabat TH.
  • Menghadiri kursus-kursus haji anjuran Bahagian Bimbingan TH.

Surat & Jadual Penerbangan

Surat Jadual Penerbangan (SJP) akan dihantar oleh TH kepada semua bakal haji yang terpilih dan pergi secara Muassasah, manakala bagi bakal haji yang memilih perkhidmatan Pakej TH Travel & Services (THTS) dan Pengelola Jemaah Haji (PJH), SJP akan dihantar oleh pihak penganjur.

Stesen berlepas atau tempat melapor diri BH adalah seperti berikut:-

Bil Stesen Berlepas
1 TH Hotel & Convention Centre Sepang
2 Kompleks Haji & TH Hotel Penang
3 Lapangan Terbang Sultan Ismail, Senai
4 TH Hotel Kota Kinabalu
5 Lapangan Terbang Antarabangsa, Kuching
6 TH Hotel & Convention Centre Terengganu
7 TH Hotel & Convention Centre Alor Setar
8 Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu

Pembatalan/ Penundaan Pemergian Haji

Bakal haji yang telah menerima tawaran menunaikan haji tetapi berhasrat untuk menunda iaitu membatalkan pemergian haji boleh mengemukakan permohonan mereka ke pejabat TH yang berhampiran tetapi caj pembatalan/ penundaan akan dikenakan mengikut kadar tertentu.

Walaubagaimanapun, peluang menunaikan haji pada tahun berikutnya adalah tertakluk kepada kekosongan dan tiada jaminan bakal haji akan ditawarkan semula untuk menunaikan haji.

Kadar denda yang dikenakan kepada bakal haji yang membatalkan atau membuat penundaan adalah mengikut kategori berikut:

  1. Kategori I 
    Potongan RM 500 ke atas bakal haji yang membuat pembatalan atau penundaan selepas 1 Ramadhan 
     
  2. Kategori II
    Potongan RM 2,000 ke tas bakal haji yang membuat pembatalan atau penundaan selepas jadual penerbangan haji dikeluarkan atau bakal haji telah diperuntukkan kapal terbang
     
  3. Kategori III
    Potongan RM 4,000 ke atas bakal haji yang membuat pembatalan atau penundaan selepas visa haji diperolehi.