Bimbingan

TH sentiasa berusaha memberi tunjuk ajar dan ilmu berkaitan ibadat haji kepada bakal-bakal Jemaah haji melalui siri-siri kursus haji yang diadakan di seluruh Negara dan buku-buku panduan ibadat haji yang diterbitkan.

Kami percaya Jemaah haji yang berilmu akan lebih fokus serta faham akan kelebihan setiap amalan yang dilaksanakan. Jemaah haji yang berilmu akan dapat melaksanakan ibadat mereka dengan teratur dan yakin tanpa menghadapi sebarang masalah ketika berada di Tanah Suci.

Kursus Haji

Kursus Asas Haji (KAH)

Kursus haji peringkat pertama yang akan diikuti oleh bakal jemaah haji sebelum berangkat ke Tanah Suci. Diadakan bermula dari bulan Rabiul Awwal sehingga Jamadil Akhir pada setiap tahun. Kursus diadakan pada setiap hujung minggu iaitu 2 jam bagi setiap siri (diadakan sebanyak 17 siri). Kursus Asas Haji ini diadakan di masjid-masjid pilihan di seluruh negeri dengan kerjasama antara Tabung Haji dan jawatankuasa masjid berkenaan (Jabatan Agama Islam Negeri). Modul kursus merangkumi pendedahan asas tajuk-tajuk berkaitan Ibadat Haji, Kesihatan dan Pengurusan Haji di Tanah Air dan Tanah Suci.

Peserta kursus tidak dihadkan kepada jemaah haji yang terpilih pada tahun semasa sahaja bahkan penyertaan dibuka kepada orang ramai yang berminat untuk mempelajari hal ehwal ibadat haji dan umrah. Peserta perlu mendaftar di masjid-masjid yang terlibat menganjurkan kursus ini.

Jadual Kursus Asas Haji (KAH)

Kursus Intensif Haji (KIH)

Kursus haji peringkat kedua yang akan diikuti oleh bakal jemaah haji sebelum berangkat ke Tanah Suci. Diadakan dalam bulan Rejab dan Sya’aban pada setiap tahun. Kursus diadakan selama 2 hari. Penekanan yang diberikan semasa kursus ini lebih kepada praktikal ibadat haji dan umrah serta ulang kaji ibadat.

Modul juga merangkumi Ibadat haji, Penjagaan Kesihatan dan Pengurusan haji di Tanah Air dan Tanah Suci. Hanya bakal jemaah haji yang terpilih pada tahun semasa akan dijemput menghadiri kursus ini oleh Pejabat TH Negeri atau Daerah.

Kursus Khas Haji (KKH)

Kursus haji ini adalah lanjutan kepada Kursus Intensif Haji. Diadakan selepas Kursus Intensif Haji. Tempoh kursus adalah selama 1 hari. Penekanan yang diberikan semasa kursus ini adalah latih tubi praktikal ibadat dalam kelompok kecil dan lebih khusus.

Peserta kursus adalah terdiri daripada mereka yang mendapat markah 39% dan ke bawah dalam ujian kefahaman ibadat Kursus Intensif Haji dan mereka yang terpilih di saat akhir. Pejabat TH Negeri atau Daerah akan mengeluarkan surat jemputan kepada bakal jemaah haji yang terlibat.

Kursus Perdana Haji

Kursus haji peringkat akhir yang akan diikuti oleh bakal jemaah haji sebelum berangkat ke Tanah Suci. Diadakan dalam bulan Syawal di setiap negeri. Kursus ini akan mengumpulkan bakal jemaah haji dari seluruh daerah bagi setiap negeri. Kursus ini diadakan selama 1 hari.

Penekanan yang diberikan semasa kursus ini lebih kepada praktikal ibadat haji dan umrah dalam kelompok jemaah yang lebih ramai. Ia melibatkan aktiviti bermabit dan melontar pada waktu malam. Bakal jemaah haji akan bermalam di tempat kursus. Hanya bakal jemaah haji yang  terpilih pada tahun semasa akan dijemput menghadiri kursus ini oleh Pejabat TH Negeri atau Daerah.

Nota : Sebarang pertanyaan lanjut mengenai kursus haji sila hubungi THCC di talian 03-6207 1919.

Modul Haji

Minggu Modul
Minggu 01  Pengenalan Ringkas Ibadat Haji dan Umrah - Falsafah dan Penyucian Jiwa
Minggu 02 Sejarah Tanah Suci Makkah dan Kelebihan
Minggu 03 Pengenalan Haji Dan Umrah
Minggu 04 Rukun Haji - Niat Ihram Haji Dan Wuquf
Minggu 05 Rukun Haji – Tawaf dan Jenis Tawaf
Minggu 06 Rukun Haji - Sa’ie, Bercukur/Bergunting/Tertib Pada Kebanyakan Rukun
Minggu 07 Kesihatan
Minggu 08 Wajib Haji - Niat Ihram Di Miqat Dan Jenis Haji
Minggu 09 Wajib Haji - Larangan Ihram Dan Dam
Minggu 10 Wajib Haji - Mabit Di Muzdalifah, Mina Dan Lontar Jamrah
Minggu 11 Aurat Dan Keizinan Suami
Minggu 12 Umrah dan Niat Bersyarat
Minggu 13 Taharah Dan Solat
Minggu 14 Penyelesaian Kepada Isu Ibadat Wanita
Minggu 15 Tawaf Wada’ Dan Ziarah Madinah
Minggu 16 Pengurusan Haji
Minggu 17 Amali Ibadat Haji

Muat turun modul kursus haji di sini.

Video Bimbingan Haji & Umrah

Haji Tamattu'

Muat Turun

 Ibadat Umrah & Ziarah Madinah

Muat Turun

Resolusi Muzakarah Haji

Penerbitan Ibadat Haji

Bahagian Bimbingan juga menyediakan bahan-bahan penerbitan bimbingan ibadat haji seperti berikut:

Penerbitan Buku

  • Buku Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah (Rumi)
  • Buku Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah (Jawi)
  • Buku Soal Jawab Haji dan Umrah (Rumi)
  • Buku Soal Jawab Haji dan Umrah (Jawi)
  • Buku Panduan Perjalanan Jemaah Haji
  • Buku Himpunan Doa-doa Terpilih di Tanah Suci
  • Buku Ringkasan Ibadat Haji
  • Wirid Terpilih Untuk Dhuyuf Al-Rahman

Buku Panduan Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah, Buku Soal Jawab Haji dan Umrah, Himpunan Doa Terpilih di Tanah Suci serta Wirid Terpilih Dhuyuf Al-Rahman diberi secara percuma kepada Jemaah Haji terpilih tahun semasa sebelum bertolak ke Tanah Suci. Buku-buku ini juga boleh diperolehi dengan membelinya melalui wakil jualan buku di kedai buku dan pustaka seluruh Malaysia.

Penerbitan Program di Media Elektronik

  • Seruan Haji di Radio RTM 1
  • Seruan Haji di Radio Saluran Klasik Nasional.fm
  • Lambaian Kaabah di Radio Saluran IKIM.fm
  • Penerbitan VCD Panduan Ibadat Haji Tamattu’, Ifrad dan Qiran
  • Penerbitan VCD Panduan Perjalanan Haj

Penerbitan Program di Media Cetak 3

  • Bicara Haji (Utusan Malaysia)

Penerbitan Risalah/ Poster

  • Risalah Perjalanan Haji
  • Risalah Senarai Semak Ibadat Haji/ Umrah
  • Poster Tanah Suci
  • Risalah Wanita - Panduan Untuk Jemaah Haji

Risalah dan senarai semak juga diberi secara percuma kepada Jemaah Haji terpilih tahun semasa sebelum bertolak ke Tanah Suci.

HISHAJ

Program Himpunan Persaudaraan Hujjaj

Mulai tahun 2012 Pengurusan TH telah mengadakan Program Himpunan Persaudaraan Hujjaj (HISHAJ). Ia sebagai medium penyatuan ummah dengan pembentukan generasi haji melalui ibadat haji. Objektif program adalah bagi mengekal dan meningkatkan hubungan silaturahim di kalangan jemaah haji setempat, mengekalkan semangat haji dan sebagai satu wadah ilmu di kalangan jemaah haji selepas pulang dari Tanah Suci. 

Senarai Lokasi 

  • Perlis
  • Kedah
  • Kelantan
  • Terengganu
  • Pulau Pinang
  • Pahang
  • Perak
  • Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
  • Wilayah Persekutuan Labuan
  • Selangor
  • Melaka
  • Negeri Sembilan
  • Johor
  • Sabah
  • Sarawak