Pendaftaran Haji

Konsep

Lembaga Tabung Haji (TH) telah memperkenalkan sistem pendaftaran haji terbuka berdasarkan konsep “Mendaftar Dahulu, Didahulukan” sejak dari tahun 1995. Oleh itu, pendeposit TH yang mendaftar haji akan diperuntukkan tahun untuk menunaikan ibadah haji berdasarkan tarikh dan masa pendaftaran haji dibuat.

Ini bermakna, semua pendeposit TH yang telah membuat pendaftaran haji, layak dipilih untuk menunaikan haji apabila tiba giliran tahun peruntukan bagi menunaikan haji.

Syarat-Syarat Pendaftaran

Bagi melayakkan pendeposit mendaftar haji, mereka perlu memastikan syarat berikut dipatuhi:

  1. Pendeposit TH dengan baki minimum akaun TH sebanyak RM 1,300.00.
  2. Tiada rekod pendaftaran haji yang aktif (satu pendaftaran sahaja dibenarkan).
  3. Pendaftaran haji tidak dibenarkan bagi mereka yang telah menunaikan ibadat haji dalam tempoh 5 tahun. Pendaftaran semula hanya boleh dilakukan selepas 5 tahun menunaikan haji.
  4. Pendeposit perlu membawa MyKad (dokumen pengenalan diri) dan Sijil kelahiran bagi yang berumur 12 tahun ke bawah semasa melakukan pendaftaran haji di kaunter-kaunter TH.

 

     

    Pendaftaran melalui KWSP

    • Pendeposit yang belum mempunyai jumlah minima simpanan di dalam akaun TH tetapi mahu mendaftar haji, boleh menggunakan simpanan KWSP mereka untuk tujuan mendaftar haji.
    • Syarat pendaftaran haji bagi skim ini, cuma pendeposit perlu memastikan caruman akaun satu KWSP mereka telah melebihi RM1,300 dan mengemukakan penyata KWSP terkini semasa pendaftaran.
    • Pendaftaran haji ahli KWSP boleh dilakukan dengan syarat berumur 55 tahun  dan ke bawah.

    Untuk maklumat lanjut berkenaan pendaftaran haji melalui caruman KWSP, pendeposit TH boleh merujuk ke laman sesawang rasmi KWSP

    Saluran Pendaftaran

    Pendaftaran haji boleh dilakukan di: 

    1. Semua kaunter TH
    2. Kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat.
    3. Mesin ATM/ CDM Bank Islam, Maybank dan Bank Rakyat.
    4. Laman Web : Maybank2u dan iRakyat.
    5. Aplikasi/ Portal THiJARI.

    Bakal Haji Rakyat Malaysia dari Luar Negara

    1. Tuan/ Puan yang berhasrat untuk mendapatkan keterangan lanjut berkaitan peraturan serta ingin mendaftar sebagai bakal haji Malaysia dari luar Negara dengan menggunakan perkhidmatan Tabung Haji (TH), bolehlah melayari Sistem Pendaftaran Haji Luar Negara.
    2. Sebelum membuat permohonan, bakal haji hendaklah terlebih dahulu mendapatkan penerangan dan penjelasan berkaitan Peraturan Haji Arab Saudi, daripada Kedutaan Besar Di Raja Arab Saudi (KBDRAS) di negara tempat tinggal pemohon (atau negara yang paling hampir), bagi mempastikan tidak ada masalah dari segi visa, pemeriksaan kesihatan, bayaran wajib dan sebagainya. Sebagai panduan, tuan/ puan bolehlah melayari laman web KBDRAS di sini.

    Pembatalan Pendaftaran Haji

    Bakal Haji boleh membatalkan pendaftaran haji mereka di Pejabat TH Cawangan yang berhampiran. 

    Tahun peruntukan haji mereka akan terbatal secara automatik. Bakal Haji perlu mendaftar semula bagi mendapatkan tahun peruntukan tunai haji yang baru.