Tentang Kami

TH adalah sebuah institusi Islam unik yang satu-satunya di dunia. TH sentiasa berusaha untuk mengurus pelbagai kemudahan demi kebajikan jemaah haji negara secara komprehensif dan sistematik, bermula dari pengurusan simpanan yang terbaik serta halal, selain aktiviti pelaburan bagi tujuan memberi nilai tambah kepada pengurusan haji dan pembayaran hibah kepada para pendeposit kami.
 
Kini pada usia melebihi 50 tahun, TH kekal sebagai  institusi ikonik Malaysia dengan menempa pelbagai kejayaan dan pengalaman dalam pengurusan haji serta dana Islam unggul yang menjadi sumber inspirasi dan ikutan pelbagai institusi luar negara.

Visi, Misi & Nilai Teras

Visi

Tonggak Kejayaan Ekonomi Ummah; Pengurusan Haji Terbilang

Misi

Dalam mencapai visi TH, Kami beriltizam:-

  • Memperkasa Ekonomi Ummah
  • Sentiasa Giat Mencari Pelaburan Strategik Global Dan Lokal Bagi Pertumbuhan Berterusan
  • Menggembleng Dan Memperkaya Modal Pendeposit
  • Memberi Perkhidmatan Cemerlang Yang Berterusan
  • Memudah Dan Menyempurnakan Urusan Jemaah Ke Arah Haji Mabrur
  • Memberi Pulangan Yang Kompetitif, Halal dan Toyyiban

Nilai Teras

  • Profesional
  • Kerja Berpasukan
  • Menerima Perubahan
  • Prihatin dan Penyayang

Profil Korporat

Alt text

Lembaga Tabung Haji (TH) merupakan sebuah Institusi Kewangan Islam unggul di Malaysia, sebuah badan berkanun yang ditubuhkan oleh Kerajaan Malaysia pada tahun 1963. TH ditadbir berdasarkan kepada Akta Tabung Haji1995 (Akta 535) dan perintis dalam institusi kewangan Islam bagi memudahkan umat Islam menyimpan untuk tujuan mengerjakan Haji.

Kini, TH mempunyai lebih 50 tahun pengalaman dalam Deposit, Perkhidmatan dan Operasi Haji dan Pelaburan Dana. Sebagai sebuah institusi Haji terbesar negara yang menguruskan deposit melebihi RM62 billion (2016), TH berusaha untuk memperkasa ekonomi umat Islam di Malaysia dengan memanfaatkan dana dan sumber sedia ada.

TH terus mengukuhkan kedudukannya di pasaran, baik di dalam Negara dan di arena antarabangsa dengan menceburi bidang pelaburan di beberapa sektor seperti perladangan di Indonesia; kewangan Islam; teknologi maklumat; minyak dan gas; hospitaliti; pelaburan hartanah dan pembinaan di United Kingdom dan Australia. Dengan keuntungan bersih melebihi RM3 billion (2016), TH mampu memberi pulangan yang kompetitif kepada pendepositnya

TH menumpukan kepada perkhidmatan haji yang cemerlang dan memuaskan untuk semua Jemaah Haji Malaysia. Pencapaian TH yang konsisten telah mendapat pengiktirafan dunia sebagai contoh pengurusan haji dan perkhidmatan kewangan Islam yang inovatif di kalangan Negara Islam.

TH mempunyai lebih daripada 9 juta pendeposit dan 125 cawangan dengan lebih daripada 6,000 ‘touch-points’ di seluruh negara. TH juga mempunyai satu pejabat yang beroperasi di Jeddah, Arab Saudi di bawah bidang kuasa Konsulat Malaysia.

Akta Tabung Haji

Piagam Pelanggan

Kami berjanji dengan izin Allah SWT untuk :

  1. Membantu anda mendapatkan haji yang mabrur dengan perbelanjaan yang berpatutan;
  2. Menyelaras penerbangan haji yang menepati masa, selamat dan boleh diharapkan;
  3. Menyediakan penginapan yang bersih dan selesa di tanah suci;
  4. Menyelenggara akaun anda secara profesional dan mengawalnya secara sulit dan persendirian;
  5. Melabur dalam bidang pelaburan yang halal, berhemat dan selamat supaya dapat memberi pulangan yang setanding dengan pasaran, di samping memastikan pertumbuhan yang berterusan;
  6. Memberi layanan yang mesra, cepat dan cekap;
  7. Memberi maklumat yang tepat, jelas dan terkini

Latar Belakang

Penubuhan Lembaga Tabung Haji

Kapal Haji belayar di Laut Merah menghampiri Pelabuhan Jeddah
Kapal Haji Belayar di Laut Merah menghampiri Pelabuhan Jeddah

 

Pada zaman sebelum wujudnya Lembaga Tabung Haji, tiada institusi kewangan Islam untuk umat Islam Malaysia mengumpul wang bagi menanggung kos perbelanjaan menunaikan haji. Walaupun ketika itu sudah wujud beberapa bank di negara ini, umat Islam enggan menabung dengan perbankan konvensional untuk tujuan mengerjakan ibadat haji. Ini adalah kerana mereka mahu memastikan tabungan mereka bebas dari sebarang unsur dan amalan riba agar haji yang diperolehi nanti adalah haji mabrur.

Idea penubuhan PWSBH tercetus hasil cadangan tokoh ekonomi Melayu terkenal iaitu Profesor DiRaja Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid pada Disember 1959 kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Langkah pertama ke arah itu diambil dengan tertubuhnya Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji (PWSBH) di bawah Undang-undang No. 34, 1962, pada tahun 1963. Perbadanan itu adalah di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Mulai 30 September 1963, PWSBH melakar sejarah dengan membuka kaunter menerima tabungan daripada bakal haji. Umat Islam Malaysia mula dididik untuk membuat tabungan sejak usia muda di organisasi patuh syariah bagi persiapan menunaikan haji.

Latar Belakang TH
Kaum Keluarga dan sahabat handai menghantar para jemaah menaiki kapal untuk berlepas ke Tanah Suci

 

Ketika mula beroperasi pada 1963, seramai 1,281 bakal haji membuka akaun mereka dengan tabungan berjumlah RM46,610. Ketika itu, tujuan utama mereka adalah semata-mata untuk memastikan simpanan mereka terjamin keselamatannya dan bebas daripada riba untuk membolehkan mereka melengkapkan Rukun Islam dan memperolehi haji mabrur. Pada masa itu, tiada sama sekali idea akan meraih bonus atau dividen.

Keyakinan yang dipamerkan para bakal haji ini menjadi pendorong kepada PWSBH untuk terus menambahbaik perkhidmatan demi memenuhi salah satu fardu kifayah. Sejak itu, ia terus berusaha untuk menarik lebih ramai umat Islam menggunakan kemudahan menabung yang disediakan kerajaan untuk memastikan simpanan mereka sentiasa halal dan selamat.

Bagi memantapkan lagi peranannya dan memudahkan penyelarasan aktiviti penabungan serta pengurusan haji yang semakin berkembang, pada 1969, PWSBH digabungkan dengan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji, yang ditubuhkan lebih awal pada 1951 dan beroperasi di Pulau Pinang. Badan yang digabungkan ini dinamakan Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH), yang kemudiannya ditukar kepada Lembaga Tabung Haji pada 1995 atau dikenali dengan singkatannya Tabung Haji atau TH sehingga kini.

Dengan tertubuhnya TH, urusan ibadat haji umat Islam negara ini menjadi lebih mudah dan teratur. Malah, bagi mereka yang pertama kali ke Tanah Suci pun tidak perlu bimbang kerana TH mengurus semua keperluan mereka. Ini termasuk perkara berkaitan pasport, visa haji, pengangkutan, penginapan di Makkah, Madinah, Mina dan Arafah serta penjagaan kesihatan dan bimbingan ibadat haji.