Program Zakat

Sebagai sebuah organisasi Islam prihatin, TH akan membuat pembayaran zakat ke Pusat-pusat Zakat Negeri di  14 buah negeri di Malaysia pada suku tahunan pertama setiap tahun. TH turut membuat pembayaran zakat secara terus kepada asnaf yang layak di seluruh negara melalui perlaksanaan program CSR seperti Baiti, Ehsan, Iqra, Alfiat dan Mobiliti.

Projek Baiti

Projek Baiti, yang dahulu dikenali sebagai “Projek Bumbung”, diperkenalkan pada 2012. Menerusi projek ini, TH membantu membina dan membaiki rumah-rumah dan masjid untuk komuniti kurang berkemampuan. Projek ini bermatlamat mengurangkan beban golongan miskin dan meningkatkan taraf hidup mereka dengan menyediakan rumah yang lebih selamat.

 

Projek Ehsan

Ini merupakan projek tahunan bagi menyediakan bantuan kewangan untuk golongan yang memerlukan seperti warga emas, ibu bapa tunggal dan golongan kurang upaya, semasa bulan Ramadan. Projek ini bertujuan mengurangkan beban kewangan yang dihadapi golongan ini dalam membuat persediaan menyambut Syawal.

 

Projek Iqra

Iqra merupakan projek pembangunan modal insan yang dilancarkan pada 2012 bagi membantu para pelajar yang kurang berkemampuan dalam usaha mereka mendapatkan pendidikan yang sempurna. Projek Iqra membantu para pelajar yang dikenalpasti di 14 negeri menerusi peruntukan barangan persekolahan dan duit poket sebelum penggal persekolahan bermula setiap tahun.

Diharapkan sumbangan ini dapat memberi sokongan dan motivasi kepada para pelajar terbabit agar meneruskan pengajian dan mencapai kecemerlangan akademik demi masa hadapan yang lebih cerah.

 

Projek Alfiat

Pada tahun 2013, Program Alfiat mula diperkenalkan bagi meringankan tanggungan kewangan golongan asnaf yang menghadapi masalah kesihatan kritikal dan/ atau memerlukan alat bantuan sokongan, anggota palsu, penglihatan, pendengaran dan sebagainya.
 
Sehingga kini, TH telah menyumbang peralatan kesihatan iaitu sebanyak 50 unit mesin hemodialisis kepada 15 buah hospital terpilih di tujuh (7) buah negeri dan dua (2) unit katil elektrik hospital dengan bateri sokongan kepada Rumah Ehsan Warga Emas di Jalan Sinaran, Kuala Kubu Bharu, Ulu Selangor.  Penerima sumbangan dari golongan asnaf turut dibantu untuk mereka menampung kos rawatan seperti kecederaan, jangkitan kuman, thalassemia dan kos ubat-ubatan.

  

Projek Mobiliti

Pada tahun 2016, TH melancarkan satu inisiatif CSR terbaharu iaitu Program Mobiliti. Melalui program ini, TH membuat agihan kenderaan dwi- fungsi yang boleh digunakan sebagai van penumpang atau jenazah kepada masjid-masjid terpilih di seluruh negara.

Program Mobiliti ini diperkenalkan bagi membantu masjid-masjid yang memerlukan terutamanya di mukim atau daerah yang daif dan terpencil menjalankan tanggungjawab mereka dalam aspek fardu kifayah untuk manfaat dan kemaslahatan kariah setempat seperti urusan pengebumian jenazah serta kemudahan pengangkutan kepada ahli kariah untuk menjalankan pelbagai aktiviti keagamaan seperti kelas-kelas fardu ain dan sebagainya.