Tentang CSR

TH terus berkongsi kejayaan yang diperolehi bersama pemegang berkepentingan dengan memberi fokus kepada aspek tanggungjawab sosial korporat (CSR). Ini adalah bertepatan dengan prinsip-prinsip Islam dan pendirian kami sebagai sebuah organisasi yang prihatin, dengan misi untuk meningkatkan status sosioekonomi umat Islam di Malaysia.

TH terus melaksanakan pelbagai program CSR yang telah memberi manfaat kepada ribuan pemegang berkepentingan di seluruh negara, sejajar dengan aspirasi untuk berkongsi kejayaan dengan semua.

Ringkasan Penting Tanggugjawab Sosial Korporat

 

Program CSR TH terbahagi kepada dua (2) kategori  iaitu CSR Zakat dan Sumbangan. 

Polisi CSR

Polisi ini menggariskan hala tuju dan batas-batas fungsi Tanggungjawab Korporat TH. Juga bertujuan menggaris dan menekankan prinsip serta praktis yang menjadi aspirasi tanggungjawab korporat yang didukung oleh semua peringkat anggotanya termasuk pengurusan dan ALP TH, untuk membolehkannya mencapai standard tertinggi dari segi praktis perniagaan yang telus, berintegriti, bertanggungjawab dan lestari, bagi menghasilkan impak keseluruhan yang positif terhadap masyarakat dan kumpulan berkepentingan.

Kenyataan Polisi

TH, sebuah badan berkanun yang ditubuhkan dibawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), mendukung dan mengambil pendekatan Tanggungjawab Korporatnya berdasarkan konsep Menambahbaik dan Melestarikan Kehidupan (enhancing and sustaining life).

TH beriltizam untuk menyumbang dan menjurus ke arah kelestarian pembangunan kumpulan berkepentingan khususnya para anggota, Jemaah Haji MALAYSIA, Pendeposit dan Komuniti Islam dari golongan asnaf miskin, kelainan upaya dan memerlukan di MALAYSIA, melalui kepercayaan dan keyakinan serta memberikan nilai tambah melebihi ekspektasi yang diberikan oleh kumpulan berkepentingan kepadanya dengan mengambil pertimbangan sewajarnya dari segi integriti, etika kerja, komuniti, sosial, ekonomi dan alam sekitar.

Iltizam ini diterjemahkan melalui aspirasi untuk merealisasikan visi dan misi masa hadapan TH dengan menerapkan tekad dan komitmen yang mendalam terhadap operasi kerja harian dan program-program khas yang dirangka di peringkat pengurusan dan anggota.

TH juga berusaha untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman di kalangan setiap anggotanya melalui Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), Peraturan-peraturan Tatatertib, Polisi-polisi Integriti TH, Manual Kuasa Kewangan serta Manual Pengurusan Pejabat dan Tabir Urus, sebagai panduan perlakuan dan tindakan dalam melaksanakan aktiviti dan proses harian.

TH mendukung tanggungjawab korporat sebagai:

  • Kaedah strategik untuk menyumbang secara positif kepada kejayaan operasinya;
  • Sebahagian daripada inisiatif berterusan untuk membina imej positif melalui kepercayaan dan keyakinan masyarakat umum khususnya komuniti Islam terhadap TH menerusi kesedaran dan penyertaan aktif pihak berkepentingan; dan
  • Sebahagian daripada inisiatif berterusan untuk mewujudkan kerjasama di kalangan anggota dan memupuk rasa bangga serta komitmen terhadap TH.