Pendaftaran Haji

Konsep

Lembaga Tabung Haji (TH) telah memperkenalkan sistem pendaftaran haji terbuka berdasarkan konsep “Mendaftar Dahulu, Didahulukan” sejak dari tahun 1995. Oleh itu, pendeposit TH yang mendaftar haji akan diperuntukkan tahun untuk menunaikan ibadah haji berdasarkan giliran tarikh dan masa pendaftaran haji dibuat.

Ini bermakna, semua pendeposit TH yang telah membuat pendaftaran haji, layak dipilih untuk menunaikan haji apabila tiba giliran tahun peruntukan bagi menunaikan haji.

Syarat & Saluran

Bagi melayakkan pendeposit mendaftar haji, mereka perlu memastikan syarat berikut dipatuhi:

  1. Pendeposit TH dengan baki minimum akaun TH sebanyak RM 1,300.00.
  2. Tiada rekod pendaftaran haji yang aktif(satu pendaftaran sahaja dibenarkan).
  3. Pendaftaran haji tidak dibenarkan bagi mereka yang baru menunaikan ibadat haji dalam tempoh 5 tahun. Pendaftaran semula hanya boleh dilakukan selepas 5 tahun menunaikan haji.
  4. Pendaftaran haji ahli KWSP boleh dilakukan dengan syarat berumur bawah 55 tahun.

Pendaftaran haji boleh dilakukan di: 

  • Di mana-mana cawangan TH
  • Cawangan Uniteller Bank Islam dan Bank Rakyat.
  • ATM / CDM Maybank
  • ATM BIMB
  • THiJARI

Pendeposit perlu membawa MyKad (dokumen pengenalan diri)/ Sijil kelahiran bagi yang berumur 12 tahun ke bawah semasa melakukan pendaftaran haji di kaunter-kaunter TH.

Pendaftaran melalui KWSP

Pendeposit yang belum mempunyai jumlah minima simpanan di dalam akaun TH tetapi mahu mendaftar haji, boleh menggunakan simpanan KWSP mereka untuk tujuan mendaftar haji.

Syarat pendaftaran haji bagi skim ini, cuma pendeposit perlu memastikan caruman akaun satu KWSP mereka telah melebihi RM1,300.

Untuk maklumat lanjut berkenaan pendaftaran haji melalui caruman KWSP, pendeposit TH boleh merujuk ke laman sesawang rasmi KWSP

Pendaftaran Haji di Luar Negara

  1. Permohonan dibuka kepada warganegara Malaysia yang menetap di luar negara dan mempunyai akaun simpanan (pendeposit) di Tabung Haji (TH) dan terbuka hanya pada tahun semasa sahaja.
  2. Adalah menjadi tanggungjawab pemohon untuk mendapatkan Visa Haji dari Kedutaan Besar Di Raja Arab Saudi (KBDRAS) di negara tempat tinggal pemohon (atau negara yang paling hampir).
  3. Tarikh tutup permohonan ialah pada 30 Syawal.
  4. Pemohon mestilah warganegara Malaysia yang menetap di luar negara.
  5. Pemohon hendaklah mempunyai akaun simpanan (pendeposit) di TH dengan nilai simpanan yang tidak kurang dari kadar semasa Bayaran Haji jemaah haji luar negara. 
  6. Setiap pendeposit TH hanya boleh mempunyai satu pendaftaran sahaja. Pemohon yang telah membuat pendaftaran haji semasa di Tanah Air, tidak perlu membuat pendaftaran baru sebagai Jemaah haji Malaysia dari luar Negara. Pendaftaran haji sedia ada akan digunapakai sebagai pendaftaran dari luar negara.
  7. Pemohon wanita hendaklah ditemani oleh suami atau mahram lelaki. Surat perakuan mahram hendaklah diperolehi dari Kedutaan/Konsulat Malaysia di negara tempat tinggal pemohon. Salinan asal surat ini hendaklah nanti dibawa bersama semasa menunaikan haji.
  8. Sebelum membuat permohonan, bakal haji hendaklah terlebih dahulu mendapatkan penerangan dan penjelasan berkaitan Peraturan Haji Arab Saudi, daripada Kedutaan Besar Di Raja Arab Saudi (KBDRAS) di negara tempat tinggal pemohon (atau negara yang paling hampir), bagi mempastikan tidak ada masalah dari segi visa, pemeriksaan kesihatan, bayaran wajib dan sebagainya. Sebagai panduan, tuan/ puan bolehlah melayari laman web KBDRAS di sini 
  9. Tuan/ Puan yang berhasrat untuk mendapatkan keterangan lanjut berkaitan peraturan serta ingin mendaftar sebagai bakal haji Malaysia dari luar Negara dengan menggunakan perkhidmatan Tabung Haji (TH), bolehlah melayari Sistem Pendaftaran Haji Luar Negara

Pembatalan

Bakal Haji yang mempunyai alasan tersendiri boleh membatalkan pendaftaran haji mereka di Pejabat Cawangan TH yang berhampiran. Walau bagaimanapun, tahun peruntukan haji mereka akan terbatal secara automatik. 

Bakal Haji perlu mendaftar semula bagi mendapatkan tahun peruntukan tunai haji yang baru.