Integriti

Sebagai sebuah organisasi Islam unggul di negara ini, TH harus muncul sebagai sebuah organisasi yang tinggi tahap kewibawaannya. Ini boleh dicapai bukan sahaja dengan meningkatkan kepakaran dan kompetensi kerja, malah melalui pengukuhan tahap integriti dan moral yang tinggi di kalangan anggotanya.

Sejajar dengan hasrat tersebut, TH telah menambahbaik standard amalan tadbir urusnya dengan mempertingkatkan tahap integriti, ketelusan dan ketinggian sahsiah tanpa bertolak ansur kepada penyelewengan, rasuah serta mutu perkhidmatan yang boleh dipertikai oleh masyarakat umum. Justeru, TH memberi penekanan kepada usaha membina penghayatan dan pembudayaan terhadap integriti sebagai pendekatan untuk menyemai jiwa integriti ke dalam diri semua anggota TH.

Pelan Integriti TH

Bagi membudayakan integriti dalam kalangan anggota, TH telah menyediakan Pelan Integriti TH yang menggariskan strategi teras yang direalisasi melalui program yang dirangka untuk menyemarakkan pembudayaan akhlak, etika dan integriti dalam semua aspek pelaksanaan tugas dan penyampaian perkhidmatan di kalangan pemegang kepentingan dan pelanggan.

Muat Turun Untuk Maklumat Lanjut 

Kod Etika Perniagaan TH

Salah satu komponen dalam Pelan Integriti ini ialah Kod Etika Perniagaan TH yang telah dibentuk dan diluluskan oleh Lembaga Pengarah TH untuk  dikuatkuasakan mulai April 2015.  Kod Etika Perniagaan TH adalah satu set nilai dan peraturan yang merupakan sebahagian daripada usaha kami untuk memelihara reputasi baik serta membina kecemerlangan perniagaan TH.

TH percaya bahawa tatalaku perniagaan yang telus  dan tinggi tahap integritinya secara konsisten mampu mendorong kesetiaan dan kepercayaan semua pihak yang berkepentingan dalam TH dan ummah.

Kod Etika Perniagaan TH telah dirangka untuk mencapai matlamat berikut:

  1. Kod ini digubal berdasarkan nilai-nilai yang terkandung dalam Piagam Pelanggan TH dan ia melambangkan komitmen TH dalam menegakkan amalan perniagaan yang beretika dan berintegriti.
  2. Kod ini adalah panduan yang menggariskan kelakuan yang boleh diterima dan kelakuan yang tidak boleh diterima dari sudut undang-undang dan etika dalam menjalankan perniagaan TH.
  3. Kod etika ini adalah elemen penting yang mampu membantu TH mengenal pasti dan menguruskan isu-isu berkaitan etika dan memupuk budaya nilai-nilai yang telah digariskan selaras dengan Visi dan Misi TH.

Muat Turun Untuk Maklumat Lanjut

Kod Etika Pembekal TH

Pembangunan Kod Etika Pembekal ini bermula hasil daripada kesedaran tentang kepentingan isu integriti dalam mengekalkan piawaian yang tinggi dalam tadbir urus korporat TH.

Kod etika pembekal yang dibangunkan ini menggariskan prinsip dan tahap tingkah laku yang diharap daripada setiap pembekal, para pekerja mereka, subkontraktor dan sub pembekal Tabung Haji supaya dipatuhi semasa menyediakan barangan atau perkhidmatan untuk dibekalkan kepada Tabung Haji.

Pembekal hendaklah memastikan bahawa Kod ini dikongsi bersama semua individu yang ditugaskan untuk melaksanakan kerja bagi atau bagi pihak TH, dan semua tugas berkaitan dengan TH dilaksanakan oleh individu yang mempunyai kemahiran, kepakaran dan pensijilan yang diperlukan untuk menegakkan prinsip dan memenuhi standard dalam Kod.

Prinsip-prinsip yang terkandung dalam Kod ini adalah selaras dengan visi dan misi TH dan ia boleh dicapai dengan mengekalkan tahap piawaian yang tinggi dalam tadbir urus korporat TH. Bagi membasmi kemungkinan berlaku gejala rasuah atau penipuan dalam perolehan, pengurusan perolehan TH telah dimantapkan dengan meningkatkan tahap akauntabiliti, ketelusan, integriti dan kemampanannya.

Semua pembekal dan wakil mereka yang berurusan dengan TH diwajibkan mematuhi seluruh prinsip, polisi dan peraturan yang dinyatakan dalam Kod ini.

Muat Turun Untuk Maklumat Lanjut

Integrity Pact Dalam Perolehan TH

Integrity Pact merupakan satu proses pengisytiharan oleh pembida/ orang awam untuk tidak menawar atau memberi rasuah bagi mendapatkan kontrak dan bagi mempercepatkan sesuatu urusan TH. 

Tujuan utama pelaksanaan Integrity Pact dalam Perolehan TH adalah untuk:

  • Mengelakkan petender/ penyebut harga daripada menawar atau memberi rasuah;
  • Menghendaki petender/ penyebut harga melaporkan sebarang kesalahan rasuah kepada Pihak Berkuasa dan
  • Memastikan TH tidak menanggung 'unnecessary cost' dalam pelaksanaan urusan perolehan.

Pelaksanaan Integrity Pact diharap dapat meningkatkan kesedaran berkaitan kesalahan rasuah di kalangan anggota dan pihak-pihak yang berurusan dalam perolehan TH.

Muat Turun Untuk Maklumat Lanjut

Dasar Tidak Menerima & Memberi Hadiah

Lembaga Tabung Haji (TH) membudayakan integriti dan mengurus tadbir organisasi berdasarkan pematuhan syariah selaras dengan Visi dan Misi TH. 

Sehubungan itu:

  • Anggota TH tidak menerima hadiah dari pihak luar.
  • Anggota TH tidak memberi hadiah kepada pihak luar.

Dasar ini bertujuan untuk mengelakkan konflik atau percanggahan kepentingan dalam mana-mana urusan yang sedang berlangsung dengan TH.  Anggota TH dikehendaki mengamalkan budaya berintegriti bertepatan dengan Peraturan-Peraturan Tatertib TH dan Kod Etika Perniagaan TH.

 

Ahli Jawatankuasa Integriti TH

  1. YBhg. Datuk Seri Mohd Zuki Bin Ali 
  2. YBhg. Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah 
  3. YB Datuk Rosni Sohar