Tanggungjawab Sosial Korporat

Ringkasan Penting Tanggungjawab Sosial Korporat

Ringkasan Penting Tanggungjawab Sosial Korporat

TH terus berkongsi kejayaan yang diperolehi bersama pemegang berkepentingan dengan memberi fokus kepada aspek tanggungjawab sosial korporat (CSR). Ini adalah bertepatan dengan prinsip-prinsip Islam dan pendirian kami sebagai sebuah organisasi yang prihatin, dengan misi untuk meningkatkan status sosioekonomi umat Islam di Malaysia.

TH terus melaksanakan pelbagai program CSR yang telah memberi manfaat kepada ribuan pemegang berkepentingan di seluruh negara, sejajar dengan aspirasi untuk berkongsi kejayaan dengan semua.

Mendekati dan menyentuh kehidupan

Program CSR TH dilihat sebagai satu elemen penting dalam aktiviti perniagaannya. TH terus konsisten sebagai sebuah organisasi yang prihatin dengan menyumbang dan berkongsi keuntungan yang diperolehi bersama pihak-pihak berkepentingan, dengan penganjuran pelbagai aktiviti sosial masyarakat dan penjagaan alam sekitar.

Pihak berkepentingan TH adalah para pendeposit, jemaah haji, rakan-rakan niaga strategik, pihak kerajaan dan agensi-agensi di bawahnya, konsultan, pembekal dan juga para anggota TH.

Setiap tahun, TH telah menjalankan lebih daripada 500 aktiviti CSR dengan peruntukkan melebihi RM100 juta. Program ini telah memberi manfaat secara langsung kepada ribuan para Jemaah Haji Malaysia, serta lebih daripada 20,000 orang golongan sasar melalui program-program kemasyarakatan dan kebajikan TH yang dilaksanakan di seluruh negara.

Pasaran

Dalam operasi perniagaannya, TH mengutamakan kepentingan para pendeposit, bakal-bakal jemaah dan rakan-rakan perniagaan dengan memastikan setiap perkhidmatan diberikan mencapai tahap kepuasan pelanggan yang maksima serta memberi impak positif kepada masyarakat. TH berusaha mewujudkan perkhidmatan yang mesra pelanggan agar semua pihak berkepentingan mendapat kesan positif.

Subsidi Haji

Pelaburan CSR yang terbesar dan terpenting ialah peruntukan subsidi haji untuk Jemaah Haji Muassasah pertama kali pada setiap tahun. Pemberian subsidi ini telah membantu mengekalkan bayaran haji seorang jemaah pada RM9,980 walaupun kos haji sebenar pada 2015 adalah RM17,270 bagi setiap seorang jemaah.Sejak 2001, TH telah menyumbang subsidi ini sebagai kebajikan untuk Jemaah Haji Malaysia. Pemberian subsidi ini merangkumi kos operasi haji di Malaysia dan di Tanah Suci. Selain itu, TH juga memperuntukkan sebahagian besar perbelanjaan untuk menampung operasi sokongan haji yang merangkumi bimbingan haji, khidmat rawatan dan kewangan serta khidmat petugas haji.

Sahabat Korporat

Seperti tahun-tahun sebelumnya, TH terus bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat korporat bagi menaja barangan yang diperlukan sepanjang musim haji menerusi program Sahabat Korporat.Pelbagai syarikat telah mengambil bahagian dan menyumbang pelbagai produk bernilai jutaan ringgit. Sumbangan tersebut termasuk beg troli, beg sandang, vitamins tambahan, kad SIM dan tali pengenalan. Kesemua barangan tersebut diagihkan kepada para Jemaah Haji sebelum mereka bertolak ke Tanah Suci untuk kegunaan di sana.

Bonus Pendeposit

Pada 2015, bayaran bonus berjumlah RM3.2juta telah diagihkan kepada 8.6 juta pendeposit TH sebagai menghargai kepercayaan dan sokongan berterusan mereka kepada TH. Ia ditawarkan menerusi bonus tahunan yang kompetitif iaitu sebanyak 6.25%.TH juga telah membayar Bonus Haji tambahan sebanyak 2% untuk para pendeposit yang belum menunaikan haji. Bonus tambahan ini diharap dapat membantu menambah simpanan haji mereka.

Tempat kerja

Melahirkan Anggota Yang Komited Dan Cemerlang

Kekuatan sesebuah organisasi adalah hasil kerja keras dan komitmen anggotanya. Bagi membentuk anggota yang komited dan produktif,TH berusaha mewujudkan persekitaran tempat kerja yang kondusif dan mengujudkan keseimbangan di antara kualiti hidup dan mutu kerja. TH juga mendukung amalan pekerjaan yang baik termasuk penawaran imbuhan dan manfaat menarik, program-program latihan dan pembangunan serta pelan kebajikan anggota.

Kebajikan Pekerja

Anggota TH menerima pelan ganjaran persaraan dan kemudahan tambahan lain seperti kos rawatan untuk keluarga, insurans dan tanggungan kos hospital, cuti tahunan, kos pembedahan ketika bersalin dan juga tambahan cuti bersalin untuk anggota wanita dan cuti isteri bersalin bagi anggota lelaki.

TH turut menjaga kebajikan keluarga anggota dengan menawarkan biasiswa untuk anak-anak anggota yang cemerlang dalam pelajaran, sumbangan wang khairat bagi keluarga anggota yang meninggal dunia, bantuan kepada anggota yang dilanda musibah dan khidmat kaunseling kepada anggota yang memerlukan.

Di samping itu, TH turut menganjurkan pelbagai program bermanfaat yang boleh disertai oleh anak-anak anggota dan masyarakat umum seperti Kem Anak Soleh Wamussoleh bersama Imam Muda, Seminar Transformasi Alam Remaja, Program Berkhatan, Korban, Kem Jati Diri dan beberapa program lain.

Skim Biasiswa untuk anak anggota

Selaras dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan tahap kecemerlangan pendidikan di kalangan rakyat Malaysia, TH telah memperuntukkan RM5 juta setahun untuk anak-anak anggota TH yang cemerlang dalam akademik untuk melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di dalam dan luar negara. Skim Biasiswa TH ini yang merangkumi yuran pengajian, tambang perjalanan, Takaful Perubatan dan Hayat serta elaun sara hidup.

Keselamatan & Kesihatan

TH telah melaksanakan beberapa aktiviti keselamatan dan kesihatan bagi melahirkan persekitaran kerja yang sihat dan selamat untuk para anggotanya. Setiap tahun, beberapa anggota terpilih telah dihantar untuk menjalani latihan keselamatan kebakaran dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Selain itu, aktiviti fire drill juga dijalankan bagi memastikan semua anggota bersiap-siaga sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

TH turut menganjurkan kempen derma darah, pameran dan pesta buah-buahan tempatan, pemeriksaan kesihatan percuma dan beberapa aktiviti keselamatan dan kesihatan lain untuk para anggota.

Alam sekitar

TH mengadakan ‘Kempen Jimat Tenaga’ dengan menggalakkan anggota untuk mengamalkan tip-tip jimat tenaga semasa berada di pejabat dan di rumah. Anggota TH turut diberi kesedaran mengenai kepentingan memelihara alam sekitar dengan mengamalkan aktiviti kitar semula, selain aktiviti gotong-royong bersama-sama ahli Kelab TaHa dan TaHa@U.Selain itu, TH turut menekankan penggunaan teknologi terkini dan menerima pakai amalan perniagaan yang mesra alam ketika menjalankan operasi perniagaannya.

Komuniti

TH terus menjadi penyumbang aktif dalam aktiviti kebajikan sosial dan sentiasa bersedia membantu masyarakat di mana kami beroperasi. Kebanyakan inisiatif CSR TH menyasarkan golongan miskin dan kurang berkemampuan yang juga merupakan golongan majoriti penerima zakat, yang mendapat manfaat daripada projek-projek pendidikan, kebajikan, penjagaan kesihatan dan pemulihan kediaman.

Projek Ehsan

Ini merupakan projek tahunan bagi menyediakan bantuan kewangan untuk golongan yang memerlukan seperti warga emas, ibu bapa tunggal dan golongan kurang upaya, semasa bulan Ramadan. Projek ini bertujuan mengurangkan beban kewangan yang dihadapi golongan ini dalam membuat persediaan menyambut Syawal.

Projek Baiti

Projek Baiti, yang dahulu dikenali sebagai “Projek Bumbung”, diperkenalkan pada 2012. Menerusi projek ini, TH membantu membina dan membaiki rumah-rumah dan masjid untuk komuniti kurang berkemampuan. Projek ini bermatlamat mengurangkan beban golongan miskin dan meningkatkan taraf hidup mereka dengan menyediakan rumah yang lebih selamat.

Projek Iqra

Iqra merupakan projek pembangunan modal insan yang dilancarkan pada 2012 bagi membantu para pelajar yang kurang berkemampuan dalam usaha mereka mendapatkan pendidikan yang sempurna. Projek Iqra membantu para pelajar yang dikenalpasti di 14 negeri menerusi peruntukan barangan persekolahan dan duit poket sebelum penggal persekolahan bermula setiap tahun. Diharapkan sumbangan ini dapat memberi sokongan dan motivasi kepada para pelajar terbabit agar meneruskan pengajian dan mencapai kecemerlangan akademik demi masa hadapan yang lebih cerah.

Kelab TaHa

Kelab TaHa ditubuhkan pada April 2008 bagi menarik minat pelajar berusia di antara 7 hingga 17 tahun agar mula menabung di usia muda. Ini akan memberikan mereka asas kukuh ke arah perancangan kewangan yang lebih mantap di masa hadapan dan membuka peluang untuk mereka menunaikan haji pada usia muda. Selain itu, ahli-ahli Kelab TaHa juga mendapat manfaat daripada pelbagai program dan aktiviti akademik sepanjang tahun. Kem ini bertujuan menerapkan nilai-nilai murni dan pengetahuan pendidikan bagi membantu meningkatkan kecemerlangan akademik para pelajar.

Selain itu, Kem Bahasa Inggeris telah dijalankan bagi membantu memperbaiki penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan ahli-ahli Kelab TaHa. Seminar Peperiksaan ditaja dan dibiaya sepenuhnya oleh TH dalam misi untuk meningkatkan prestasi akademik para pelajar terbabit. Selain kecemerlangan akademik, aktiviti-aktiviti ini juga menyediakan modul-modul pembinaan karakter bagi membantu membangunkan kumpulan bakat-bakat berkaliber dalam komuniti.

TaHa@U

TaHa@U adalah satu lagi inisiatif yang dilancarkan pada Mei 2010 bagi mendorong dan menggalakkan mahasiswa dan mahasisiwi di institusi-institusi pengajian tinggi tempatan untuk menunaikan haji pada usia muda.TH telah bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk mempromosikan TaHa@U menerusi aktiviti-aktiviti seperti TaHa Jamboree@U, Karnival Bimbingan Kerjaya, kejohanan sukan dan program-program khidmat masyarakat. Program Jamboree TaHa@U membantu mendedahkan para pelajar kepada pelbagai aktiviti berbentuk rohaniah, fizikal dan intelektual yang boleh membina karakter mereka. Ini diikuti dengan Karnival Bimbingan Kerjaya yang memberi pendedahan kepada peluang-peluang pekerjaan di masa hadapan.

Pelbagai aktiviti sukan seperti futsal, bola baling dan pertandingan boling memberi peluang dan menekankan kepentingan amalan gaya hidup sihat menerusi aktiviti kesukanan. Selain itu, Program Khidmat Masyarakat juga telah dianjurkan semasa tahun tinjauan bagi menyemai kesedaran sivik dan melahirkan individu-individu bertanggungjawab pada masa hadapan. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan termasuk gotong-royong, solat terawih, pembersihan masjid dan tanah perkuburan, penganjuran aktiviti riang ria untuk kanak-kanak di masjid dan pelbagai aktiviti menarik lain. Kesemua aktiviti ini menerima maklumbalas positif daripada para pelajar dan berjaya meningkatkan jumlah keahlian TaHa@U.