Kursus Asas Haji (KAH)
Kursus haji peringkat pertama yang akan diikuti oleh bakal jemaah haji sebelum berangkat ke Tanah Suci. Diadakan bermula dari bulan Rabiul Awwal sehingga Jamadil Akhir pada setiap tahun. Kursus diadakan pada setiap hujung minggu iaitu 2 jam bagi setiap siri (diadakan sebanyak 17 siri). Kursus Asas Haji ini diadakan di masjid-masjid pilihan di seluruh negeri dengan kerjasama antara Tabung Haji dan jawatankuasa masjid berkenaan (Jabatan Agama Islam Negeri). Modul kursus merangkumi pendedahan asas tajuk-tajuk berkaitan Ibadat Haji, Kesihatan dan Pengurusan Haji di Tanah Air dan Tanah Suci.
Peserta kursus tidak dihadkan kepada jemaah haji yang terpilih pada tahun semasa sahaja bahkan penyertaan dibuka kepada orang ramai yang berminat untuk mempelajari hal ehwal ibadat haji dan umrah. Peserta perlu mendaftar di masjid-masjid yang terlibat menganjurkan kursus ini.
Muat turun jadual Kursus Asas Haji (KAH) bagi negeri :
- Terengganu (Kemaskini terkini 5 November 2018)
- Negeri Sembilan (Kemaskini terkini 26 Oktober 2018)
- Sabah (Kemaskini terkini 26 Oktober 2018)
- Sarawak (Kemaskini terkini 4 Disember 2018)
- Selangor (Kemaskini terkini 9 November 2018)
- Perlis (Kemaskini terkini 17 Januari 2019)
- Pulau Pinang (Kemaskini terkini 30 Oktober 2018)
- Perak (Kemaskini terkini 13 November 2018)
- Pahang (Kemaskini terkini 29 November 2018)
- Kedah (Kemaskini terkini 29 Oktober 2018)
- Kelantan (Kemaskini terkini 19 November 2018)
- Melaka (Kemaskini terkini 3 Disember 2018)
- Johor (Kemaskini terkini 21 November 2018)
- Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Kemaskini terkini 22 November 2018)
- Wilayah Persekutuan Putrajaya (Kemaskini terkini 22 November 2018)
- Wilayah Persekutuan Labuan (Kemaskini terkini 22 November 2018)
Kursus Intensif Haji (KIH)
Kursus haji peringkat kedua yang akan diikuti oleh bakal jemaah haji sebelum berangkat ke Tanah Suci. Diadakan dalam bulan Rejab dan Sya’aban pada setiap tahun. Kursus diadakan selama 2 hari. Penekanan yang diberikan semasa kursus ini lebih kepada praktikal ibadat haji dan umrah serta ulang kaji ibadat.
Modul juga merangkumi Ibadat haji, Penjagaan Kesihatan dan Pengurusan haji di Tanah Air dan Tanah Suci. Hanya bakal jemaah haji yang terpilih pada tahun semasa akan dijemput menghadiri kursus ini oleh Pejabat TH Negeri atau Daerah.
Kursus Khas Haji (KKH)
Kursus haji ini adalah lanjutan kepada Kursus Intensif Haji. Diadakan selepas Kursus Intensif Haji. Tempoh kursus adalah selama 1 hari. Penekanan yang diberikan semasa kursus ini adalah latih tubi praktikal ibadat dalam kelompok kecil dan lebih khusus.
Peserta kursus adalah terdiri daripada mereka yang mendapat markah 39% dan ke bawah dalam ujian kefahaman ibadat Kursus Intensif Haji dan mereka yang terpilih di saat akhir. Pejabat TH Negeri atau Daerah akan mengeluarkan surat jemputan kepada bakal jemaah haji yang terlibat.
Kursus Perdana Haji
Kursus haji peringkat akhir yang akan diikuti oleh bakal jemaah haji sebelum berangkat ke Tanah Suci. Diadakan dalam bulan Syawal di setiap negeri. Kursus ini akan mengumpulkan bakal jemaah haji dari seluruh daerah bagi setiap negeri. Kursus ini diadakan selama 1 hari.
Penekanan yang diberikan semasa kursus ini lebih kepada praktikal ibadat haji dan umrah dalam kelompok jemaah yang lebih ramai. Ia melibatkan aktiviti bermabit dan melontar pada waktu malam. Bakal jemaah haji akan bermalam di tempat kursus. Hanya bakal jemaah haji yang terpilih pada tahun semasa akan dijemput menghadiri kursus ini oleh Pejabat TH Negeri atau Daerah.
Nota : Sebarang pertanyaan lanjut mengenai kursus haji sila hubungi THCC di talian 03-6207 1919.