Kuala Lumpur, 18 April 2013 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan zakat perniagaannya kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu berjumlah RM3,300,636.83.
Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu telah berkenan mewakili Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu bagi menerima zakat tersebut yang telah disampaikan oleh Tuan Haji Abdul Halim Md. Jamil, Pengurus Besar Kanan, Pengurusan Hartanah dan Pentadbiran TH bertempat di Istana Terengganu, Jalan Kia Peng, Off Jalan Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Pengagihan zakat TH ini adalah sebahagian daripada perolehan keuntungan pendapatan yang dicatatkan oleh TH untuk tahun kewangan 2012. Jumlah zakat untuk Negeri Terengganu bagi tahun 2012 ini telah meningkat sebanyak 5.4% berbanding RM3,132,148.54 bagi tahun 2011.
Pembayaran zakat TH adalah berdasarkan kaedah modal kerja terlaras yang dilaksanakan mengikut pengiraan tahun kewangan semasa. Jumlah keseluruhan zakat perniagaan TH untuk tahun kewangan 2012 yang akan dibayar kepada negeri-negeri di Malaysia adalah sebanyak RM41.2 juta. Terengganu merupakan antara negeri yang tertinggi menerima jumlah zakat bagi tahun kewangan berkenaan.
Dalam majlis yang sama juga, pihak TH telah menyampaikan sumbangan Projek Baiti TH berjumlah RM350,000.00 bagi pembinaan 8 unit rumah baharu dan membaiki 1 unit rumah untuk golongan asnaf fakir miskin yang terpilih daripada seluruh Negeri Terengganu.
Projek Baiti TH ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat TH. Projek ini juga adalah merupakan sebahagian daripada agihan zakat perniagaan TH untuk pembinaan atau penambahbaikan rumah bagi golongan asnaf fakir miskin dan surau atau masjid. Selain Negeri Terengganu, Projek Baiti TH ini juga telah dilaksanakan di enam (6) buah negeri yang lain iaitu Kedah, Perak, Johor, Pahang, Kelantan dan Wilayah Persekutuan. TH telah memperuntukan sumbangan berjumlah RM2.52 juta untuk melaksanakan Projek Baiti TH untuk tahun 2012.
Turut hadir menyaksikan majlis tersebut adalah YB. Dato' Bentara Luar Dato' Haji Omar Bin Pilus, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu, YBhg. Dato' Mohd Rozali Bin Saleh, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Tuan Haji Mohd Noor Bin Mohamad, Pengarah Baitulmal serta para pegawai TH.
- Tamat –
Tabung Haji Serah Zakat Perniagaan TH 2012 Kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu