SEPANG, 1 SEPTEMBER 2026: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkanLesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) kepada 33 syarikat, termasuk TH Travel & Services Sdn. Bhd., bagi Musim Haji 1448H/2027M.
Majlis Serahan Lesen PJH tersebut telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, di Mövenpick Hotel & Convention Centre KLIA.
PJH yang terpilih telah melalui proses penilaian yang teliti dan menyeluruh sebelum 33 syarikat dikenal pasti memenuhi syarat kelayakan untuk diberikan lesen.
Penilaian tersebut mengambil kira pelbagai aspek termasuk kedudukan kewangan, rekod prestasi, pengalaman serta keupayaan syarikat dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada jemaah. TH turut melaksanakan semakan bersama agensi berkaitan termasuk Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
YB Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, lesen yang diberikan bukan sekadar kelulusan untuk menawarkan pakej haji, sebaliknya merupakan satu amanah besar dalam mengurus perjalanan suci para tetamu Allah SWT.
“Setiap PJH perlu memastikan kebajikan jemaah sentiasa menjadi keutamaan. Setiap janji yang diberikan kepada bakal jemaah hendaklah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, integriti dan profesionalisme,” katanya.
Beliau turut menyeru semua PJH supaya memberikan maklumat yang jelas, tepat dan telus kepada bakal jemaah, khususnya berkaitan penginapan, pengangkutan, makanan serta kemudahan lain, bagi membolehkan mereka membuat pilihan berdasarkan maklumat yang lengkap. Persaingan dalam kalangan PJH perlu berasaskan peningkatan kualiti perkhidmatan, inovasi dan tadbir urus yang baik tanpa menjejaskan kepercayaan serta kebajikan jemaah.
PJH juga diingatkan agar mematuhi syarat-syarat lesen PJH yang ditetapkan oleh TH, mengemaskini maklumat di Sistem Agensi Haji bagi mengelakkan denda yang boleh menjejaskan pengeluaran lesen di masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kecemerlangan pengurusan haji Malaysia yang mendapat pengiktirafan antarabangsa, termasuk kejayaan menerima Anugerah Labaytum kategori Diamond daripada Kerajaan Arab Saudi buat kali kedua berturut-turut, perlu terus dipertahankan dan dipertingkatkan.
“Pengiktirafan ini bukan alasan untuk kita berasa selesa, sebaliknya perlu menjadi dorongan untuk semua pihak terus memperbaiki kelemahan, meningkatkan standard dan mencari pendekatan baharu demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji Malaysia,” katanya.
YB Senator Dr. Zulkifli Hasan turut menekankan kepentingan penyediaan pakej haji yang lebih berpatutan dan kompetitif, termasuk pakej haji ekonomi, bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada bakal jemaah mengikut kemampuan kewangan masing-masing.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa usaha menawarkan pakej pada harga yang berpatutan tidak boleh mengorbankan aspek kualiti, keselamatan dan kebajikan jemaah. Semua pakej yang ditawarkan hendaklah jelas, telus dan memenuhi standard yang ditetapkan.
Beliau juga mengingatkan semua pihak mengenai keperluan untuk bersama-sama membanteras aktiviti penipuan pakej haji dan umrah yang boleh menyebabkan bakal jemaah mengalami kerugian. Usaha tersebut memerlukan kerjasama erat antara agensi penguat kuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), TH, MOTAC dan JAWHAR selain peranan PJH yang sah dan berlesen dalam menjaga nama baik industri pengelolaan haji negara.
Dalam majlis sama, TH turut memperkenalkan Anugerah Pengelola Jemaah Haji (Anugerah PJH) bagi mengiktiraf kecemerlangan syarikat PJH serta menggalakkan peningkatan kualiti dan amalan terbaik dalam perkhidmatan kepada jemaah.
TH akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi dan rakan strategik bagi memastikan pengurusan haji Malaysia kekal tersusun, diyakini dan memberikan pengalaman ibadah yang terbaik kepada para Dhuyufurrahman.
-TAMAT-
PDF Kenyataan Akhbar
TH SERAH LESEN KEPADA 33 PENGELOLA JEMAAH HAJI BAGI MUSIM HAJI 1448H/2027M

