TH MELANCARKAN PELAN PERSEDIAAN HAJI - SERUAN ISTITO’AH BAGI MEMBANTU BAKAL JEMAAH MALAYSIA MENCAPAI IMPIAN MENUNAIKAN HAJI

KUALA LUMPUR, 11 SEPTEMBER 2026 - Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini memperkenalkan Pelan Persediaan Haji - Seruan Istito’ah, satu langkah penting bagi membantu rakyat Malaysia membuat persediaan menunaikan ibadah Haji secara lebih sistematik, mudah dan dapat direalisasi. 

 

Selepas kempen nasional #menujuistitoah yang dilaksanakan pada awal tahun ini, inisiatif ini memberi fokus kepada usaha menggalakkan pendeposit untuk bermula lebih awal, menyimpan secara konsisten dan membuat persediaan yang lebih rapi, seterusnya membantu mereka merealisasi hasrat menunaikan Haji dalam tempoh yang lebih munasabah. 

 

Antara cabaran utama yang dikenal pasti adalah secara purata hampir 50 peratus pendeposit yang menerima surat tawaran Haji terpaksa menangguhkan hasrat mereka. Pada masa yang sama, kos menunaikan Haji kini telah mencecah RM33,300 seorang, menjadikan simpanan secukupnya sebagai petunjuk utama tahap kemampuan dan persediaan. Keperluan baki simpanan minimum RM15,000 yang mula diperkenalkan pada tahun 2025 sebagai syarat menerima surat tawaran Haji telah menunjukkan keberkesanan apabila kadar penangguhan berjaya dikurangkan kepada 18 peratus, berbanding purata 50 peratus pada tahun-tahun sebelumnya. 

 

Sehubungan itu, antara ciri utama pelan ini ialah pelaksanaan sistem kelayakan Haji yang lebih sistematik dan dinamik, yang menggantikan proses pendaftaran serta pengurusan giliran sedia ada, tanpa menjejaskan prinsip siapa dahulu, didahulukan (First-Come, First-Served). Di bawah pendekatan baharu ini, pendeposit akan layak secara automatik untuk berada dalam giliran Haji sebaik sahaja simpanan mereka mencapai RM15,000, iaitu jumlah minimum bayaran Haji semasa bagi kumpulan B40. 

 

Bagi pendeposit yang telah berdaftar, mereka diberi tempoh lebih dua (2) tahun sehingga 31 Disember 2028 untuk mencapai sasaran simpanan minimum RM15,000. Bermula 1 Januari 2029, giliran Haji akan disusun semula secara sistematik dan automatik berdasarkan tarikh pendaftaran serta pencapaian baki simpanan minimum RM15,000. Pendekatan Ini mewujudkan proses yang lebih mudah, adil dan lancar, di samping mengiktiraf usaha pendeposit yang membuat persediaan secara konsisten. Ia juga selaras dengan syor Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi memperkukuh tadbir urus dan memastikan pengurusan giliran haji yang lebih telus, adil dan mampan. 

 

Menurut Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, “Kami telah mendengar maklum balas daripada pendeposit di seluruh negara. Ramai yang mahukan garis panduan yang lebih jelas dan laluan persediaan yang lebih tersusun. Inisiatif ini adalah untuk membantu umat Islam di Malaysia menterjemahkan niat kepada tindakan. Mereka yang menyimpan secara konsisten dan membuat perancangan awal bersama kami akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk merealisasikan impian menunaikan Haji.” 

 

Sebagai rukun Islam kelima, ibadah Haji bukan sahaja memerlukan niat, tetapi persediaan dari segi kewangan, fizikal dan rohani agar ibadah dapat dilaksanakan dalam keadaan selamat dan sejahtera. Inilah yang dimaksudkan dengan Istito’ah. 

 

Dalam dunia hari ini, langkah ini semakin penting apabila permintaan terhadap Haji terus meningkat, sekali gus memerlukan disiplin serta perancangan jangka panjang yang lebih teliti. 

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad, berkata Pelan Persediaan Haji - Seruan Istito’ah dirangka bagi membantu proses persediaan lebih jelas dan boleh dicapai secara sistematik oleh seluruh umat Islam di Malaysia yang beriltizam untuk menunaikan Haji. Ini adalah antara usaha menyediakan panduan perjalanan haji yang jelas kepada pendeposit. Apabila seseorang mengetahui jumlah simpanan yang perlu dicapai dan bermula lebih awal, persediaan Haji menjadi lebih mudah, lancar dan dapat direalisasi. 

 

“Seruan Istito’ah mengenal pasti mereka yang benar-benar bersedia, sambil menggalakkan yang lain untuk memulakan perancangan lebih awal. Matlamat kami adalah untuk membantu lebih ramai umat Islam Malaysia merealisasikan perjalanan seumur hidup ini melalui persediaan yang tersusun dan terancang bersama Tabung Haji sebagai institusi simpanan Islam pilihan,” jelas beliau. 

 

“Bagi menyokong usaha ini, TH telah memperkenalkan beberapa kemudahan seperti Kalkulator Simpanan Haji menerusi laman web baharu kami pada awal tahun ini untuk membantu individu merancang simpanan bulanan berdasarkan tempoh dan sasaran simpanan masing-masing. Kini, mulai 19 September 2026, kami memperkenalkan Tabung Istito’ah bagi membantu rakyat Malaysia membentuk disiplin simpanan secara lebih sistematik dan berfokus,” katanya. 

 

Menurut Mustakim, bagi menggalakkan budaya simpanan yang lebih terancang, TH akan memperkenalkan kemudahan Multi Tabung, yang membolehkan pendeposit mempunyai dua tabung dalam satu akaun TH, iaitu Tabung Am dan Tabung Istito'ah. Tabung Am adalah tabung utama bagi urusan simpanan dan pengeluaran seperti sedia ada. Sementara itu, Tabung Istito'ah diwujudkan khusus untuk membantu pendeposit menyimpan secara sukarela dengan lebih berdisiplin dan berfokus ke arah persediaan menunaikan Haji, sekali gus menjadi penanda aras tahap kesiapsiagaan kewangan mereka selaras dengan prinsip Istito'ah. 

 

“Melalui pendekatan yang lebih tersusun ini, perjalanan menuju Haji menjadi lebih berdisiplin, sistematik dan boleh dicapai. Pendeposit sedia ada juga diberikan tempoh lebih dua (2) tahun sehingga 31 Disember 2028 untuk memahami dan menyesuaikan diri dengan pendekatan baharu ini,” tambah Mustakim. 

 

Menerusi Seruan Istito’ah, TH terus memperkukuh peranannya sebagai institusi simpanan Islam pilihan, selaras dengan aspirasi Almarhum Profesor Diraja Tan Sri Dr Ungku Aziz, serta sebagai institusi yang dipercayai dalam membimbing umat Islam Malaysia mencapai rukun Islam kelima. 

-TAMAT-