KUALA LUMPUR, 28 SEPTEMBER 2026: Lembaga Tabung Haji (TH) akan membuka permohonan rayuan untuk mengerjakan ibadat haji bagi musim 1448H/2027M melalui aplikasi dan laman sesawang THiJARI bermula 2 Oktober 2026, lebih awal berbanding musim haji yang lalu.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata proses pembukaan rayuan yang lebih awal ini dapat memberikan ruang kepada bakal jemaah untuk membuat persediaan dari aspek kewangan, kesihatan dan ilmu sewajarnya selari dengan pembudayaan konsep istito’ah (kemampuan) yang sedang giat diterapkan oleh TH kepada masyarakat Islam negara.
Kadar bayaran haji yang ditetapkan kepada jemaah haji terpilih melalui proses rayuan adalah kos haji penuh, iaitu RM33,300 bagi musim haji 1448H/2027M, bertepatan dengan konsep istito’ah dalam kewajipan menunaikan haji.
Permohonan rayuan terbuka kepada pendeposit yang mempunyai simpanan sebanyak RM15,000 di dalam akaun TH masing-masing. Kadar ini ditetapkan berdasarkan kadar Bayaran Haji terendah untuk kumpulan B40 dan ini menjadi rujukan TH bagi membuktikan seseorang pemohon itu memenuhi syarat minimum kemampuan menunaikan ibadah haji dari aspek kewangan.
“TH sentiasa komited untuk berada di sisi dan membantu dalam setiap langkah para pendeposit merealisasi impian mereka menuju perjalanan teragung ini. Pelbagai inisiatif dilaksanakan TH termasuk kempen #menujuistitoah dan pelan persediaan haji menyeluruh yang dikenali sebagai Seruan Istito’ah bagi membantu para pendeposit membuat persediaan secara realistik dan berstruktur supaya mereka dapat mencapai kemampuan melalui usaha yang berterusan sejak awal,” jelas Mustakim.
Bagi permohonan rayuan luar giliran tahun haji semasa, TH telah memperkenalkan beberapa kriteria dan skor merit yang akan diambil kira dalam proses pertimbangan permohonan, antaranya:
- Tempoh pendaftaran haji
- Umur
- Purata baki simpanan di dalam akaun TH
- Simpanan berulang yang konsisten
- Kekerapan permohonan rayuan
- Kekerapan kehadiran Kursus Asas Haji yang dikendalikan oleh TH.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, TH akan memberi keutamaan kepada permohonan rayuan mahram, pengiring jemaah lanjut usia dan pengiring bagi jemaah kelainan upaya (OKU) yang terpilih menunaikan haji untuk musim haji 1448H/2027M. Kadar Bayaran Haji yang ditetapkan bagi jemaah yang berjaya dalam permohonan rayuan mahram atau pengiring adalah bersamaan dengan kadar yang ditetapkan kepada penerima tawaran haji giliran semasa yang diiringi pemohon rayuan, iaitu mengikut Kumpulan B40, M40 atau T20.
TH juga ingin mengingatkan kepada bakal haji untuk melakukan persediaan sewajarnya dari aspek kesihatan kerana kelulusan permohonan adalah tertakluk kepada kelulusan ujian saringan kesihatan. Di samping itu, bakal haji turut dinasihatkan untuk mempersiapkan diri dengan ilmu ibadah haji yang secukupnya dengan menyertai Kursus Asas Haji anjuran TH di lebih 200 buah masjid seluruh negara bermula 25 September 2026.
Para pendeposit TH boleh mendapatkan maklumat proses membuat permohonan rayuan, menyemak kategori rayuan dan status permohonan melalui aplikasi THiJARI atau melayari laman sesawang www.thijari.com.my
Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan, sila layari www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919.
-TAMAT-
PDF Kenyataan Akhbar
TH BUKA PROSES RAYUAN HAJI 1448H/2027M LEBIH AWAL MULAI 2 OKTOBER

