SIARAN MEDIA
TABUNG HAJI TERUS CIPTA KECEMERLANGAN, RAIH ANUGERAH LABAYTUM DIAMOND TAHUN KEDUA BERTURUT-TURUT PERKUKUH REPUTASI MALAYSIA SEBAGAI PENERAJU PENGURUSAN HAJI DUNIA
MEKAH, ARAB SAUDI [1 JUN 2026] – Lembaga Tabung Haji (TH) sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila menerima Anugerah Labaytum Diamond 2026 yang berprestij daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi buat kali kedua. TH terus menerima anugerah antarabangsa atas kecemerlangan dalam pengurusan haji, perkhidmatan jemaah serta sebagai institusi kewangan Islam terkemuka.
“Pengiktirafan ini merupakan satu penghormatan besar kepada Malaysia dan mencerminkan keyakinan Kerajaan Arab Saudi terhadap keupayaan Tabung Haji dalam menyediakan perkhidmatan serta penjagaan berkualiti tinggi secara konsisten kepada jemaah haji Malaysia,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan.
“Ia turut memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai antara negara peneraju dunia dalam pengurusan haji serta menjadi bukti dedikasi dan profesionalisme semua pihak yang berkhidmat kepada Dhuyufur Rahman (Tetamu Allah).”
Anugerah tersebut disampaikan dalam majlis penutup rasmi musim haji 1447H yang dihadiri delegasi haji dari seluruh dunia.
TH secara konsisten memperoleh pengiktirafan antarabangsa untuk perkhidmatan Haji, menerima Anugerah Labaytum untuk Bimbingan Haji Terbaik di Dunia Islam dan untuk Perkhidmatan dan Program Haji Terbaik pada tahun 2023, untuk Perkhidmatan Terbaik untuk Pejabat Hal Ehwal Haji pada tahun 2024, dan Anugerah Diamond julung kalinya pada tahun 2025.
Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, menyifatkan pengiktirafan terbaharu ini sebagai bukti kukuh komitmen Malaysia dalam menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia kepada para jemaah haji.
“Penerimaan Anugerah Labaytum Diamond bagi tahun kedua berturut-turut dan pengiktirafan kali kelima ini merupakan satu penghormatan besar kepada Tabung Haji dan Malaysia. Kami merakamkan penghargaan kepada pengurusan TH serta semua agensi kerajaan Malaysia yang telah menyumbang melalui kerjasama erat dan komitmen yang tinggi sehingga membolehkan pencapaian ini direalisasikan.
“Kami juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi atas kepimpinan yang berpandangan jauh, kemajuan teknologi serta penambahbaikan infrastruktur yang telah memperkaya pengalaman ibadah haji bagi jutaan jemaah dari seluruh dunia.”
Anugerah Labaytum merupakan antara pengiktirafan tertinggi dalam ekosistem haji global yang menilai kecemerlangan operasi, kebajikan jemaah, perkhidmatan kesihatan, program bimbingan, pengurusan logistik, inovasi digital serta keseluruhan pengalaman jemaah. Anugerah Diamond pula merupakan tahap pengiktirafan tertinggi dalam program tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif TH, Haji Mustakim Mohamad berkata anugerah ini mencerminkan usaha transformasi berterusan organisasi serta komitmen terhadap penambahbaikan berterusan. “Sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, kami telah memperkukuh operasi, meningkatkan keupayaan digital dan memperkemas proses kerja bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap, responsif dan berfokuskan jemaah. Walaupun kami berbesar hati menerima pengiktirafan ini, tumpuan utama kami kekal kepada usaha meningkatkan mutu perkhidmatan kepada para jemaah haji Malaysia secara berterusan.”
TH turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, rakan-rakan strategik, petugas haji serta para jemaah Malaysia yang terus memberikan kerjasama dan kepercayaan dalam menjayakan misi haji negara. Ketua Rombongan Haji Malaysia 1447H, Haji Mohd Hisham Harun turut berkata, “Anugerah ini adalah milik seluruh warga kerja Tabung Haji, pasukan perubatan, sukarelawan dan rakan strategik yang bertungkus-lumus sepanjang musim haji.”
Sebagai institusi kewangan Islam terunggul negara, TH akan terus komited memperkukuh kecemerlangan operasi dan memastikan jemaah haji Malaysia dapat menunaikan ibadah haji dalam suasana yang selamat, selesa serta memberi pengalaman kerohanian yang bermakna.
– TAMAT –

