ARAB SAUDI TETAPKAN BAYARAN DAM SEBAGAI PRA-SYARAT VISA HAJI 1447H/2026M

KUALA LUMPUR, 15 FEBRUARI 2026: Lembaga Tabung Haji (TH) ingin memaklumkan bahawa Kerajaan Arab Saudi telah menetapkan setiap bakal jemaah haji yang  melaksanakan haji Tamattuk dan Qiran perlu membuat bayaran dam lebih awal  kepada The Kingdom of Saudi Arabia Project for Utilisation of Hady & Adahi (ADAHI) sebagai pra-syarat proses pengeluaran visa haji mulai Musim Haji 1447H/2026M.  

TH akan menguruskan pembayaran dam kepada ADAHI bagi pihak jemaah. Jumlah  bayaran yang ditetapkan bagi Musim Haji 1447H/2026M adalah RM810 bagi seekor  kibas. 

Bayaran dam perlu ditunaikan setiap jemaah mengikut jenis ibadat haji yang dipilih.  Bakal jemaah haji tahun ini boleh membuat pembayaran dam melalui aplikasi THiJARI  dan di kaunter cawangan TH bermula 1 Ramadan. 

Bagi jemaah yang tidak membuat bayaran awal, bermula 1 Syawal, TH akan menguruskan pembekuan jumlah tersebut daripada akaun TH mereka, diikuti proses  pendebitan amaun daripada akaun masing-masing selepas itu. 

“Pelaksanaan dam melalui ADAHI merupakan syarat baharu yang ditetapkan  kepada semua jemaah haji seluruh dunia yang mengerjakan haji Tamattuk dan Qiran  bagi musim haji ini. TH mengambil inisiatif memaklumkan kepada jemaah negara lebih  awal bagi melancarkan urusan pengeluaran visa haji,” jelas Pengarah Urusan  Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Haji Mustakim Mohamad. 

Semua bakal haji yang melaksanakan haji Tamattuk dan Qiran perlu melaksanakan  bayaran dam sebelum tiba di Tanah Suci. Bagi bakal jemaah haji yang melakukan  haji Ifrad, jumlah bayaran tersebut akan dipulangkan semula sekiranya akaun TH telah  didebitkan dan selepas perakuan dibuat, tertakluk kepada pengesahan oleh pihak  TH

Sementara itu, penyertaan Qurban di Tanah Suci pada tahun ini pula adalah terbuka  kepada semua pendeposit TH pada kadar RM810 bagi seekor kibas dan pembayaran  Qurban boleh dilakukan melalui aplikasi THiJARI atau di kaunter cawangan TH seluruh  negara. 

TH ingin menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sebarang  tawaran pembayaran dam dan Qurban di Tanah Suci yang mencurigakan daripada agensi pelancongan atau mana-mana pihak yang mungkin mengambil kesempatan  kerana kebenaran daripada pihak berkuasa Arab Saudi diperlukan untuk melaksanakan dam dan Qurban di Tanah Suci. 

Untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan, boleh layari www.tabunghaji.gov.my atau hubungi TH Contact Centre (THCC) di talian 03- 62071919.