TH INGATKAN BAKAL HAJI MUSIM 1448H DAN 1449H TINGKAT PERSEDIAAN

KUALA LUMPUR, 6 JULAI 2026: Lembaga Tabung Haji (TH) ingin mengingatkan semua bakal jemaah musim haji 1448H/2027M dan 1449H/2028M supaya meningkatkan persediaan mereka, terutamanya dari segi kesihatan, kewangan, kemaskini maklumat serta penguasaan ilmu fardhu ain dan ibadah haji. Persediaan awal dan tersusun adalah penting supaya impian bakal jemaah menunaikan haji tercapai. 

 

Peringatan ini adalah langkah proaktif TH bagi membantu persediaan bakal jemaah memenuhi syarat kemampuan (istito’ah) kerana melaksanakan ibadat haji memerlukan persediaan rapi dan harus disiapsiagakan awal bagi melayakkan bakal jemaah menerima surat tawaran haji apabila tiba masanya. 

 

Bakal jemaah digalakkan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan kendiri lebih awal dan meningkatkan kecergasan fizikal dan mental memandangkan pelaksanaan ibadah haji menuntut ketahanan fizikal yang tinggi dalam persekitaran yang ramai dan mencabar serta pendedahan kepada cuaca berdebu dan panas. 

 

Jemaah haji dijangka perlu berjalan sekitar 10,000 langkah setiap hari dan sekitar 7 kilometer sehari untuk melaksanakan ibadah melontar jamrah di Mina. 

 

Bakal haji juga dikehendaki meningkatkan simpanan di TH secara berkala dan konsisten. Sekurang-kurangnya RM15,000 diperlukan sebagai penanda aras minimum kelayakan menerima surat tawaran haji. Syarat ini telah mula diperkenalkan semenjak musim haji 1447H/2026 dan telah memberi kesan yang amat positif kepada tahap kesiapsiagaan bakal jemaah menerima tawaran haji. 

 

Kos Haji bagi musim 1448H/2027M masih belum ditentukan. Namun begitu, buat masa ini, Kos Haji bagi musim 1447H/2026M berjumlah RM33,300 seorang boleh dijadikan sebagai rujukan awal untuk perancangan simpanan selanjutnya. 

 

TH turut menyediakan kemudahan untuk para pendeposit menyimpan secara berkala melalui potongan gaji dan potongan dari akaun bank (direct debit) di platform THiJARI. 

 

Kursus Asas Haji bagi membantu bakal jemaah dan orang awam mendalami ilmu pengetahuan ibadat haji akan bermula pada 25 September 2026. Bakal jemaah bagi musim haji akan datang juga diingatkan untuk menyediakan dan memastikan Pasport Malaysia Antarabangsa adalah dalam status aktif dan mempunyai tempoh sahlaku yang secukupnya. 

 

Selain itu, bakal haji diingatkan supaya menyemak dan mengemaskini rekod di THiJARI atau di cawangan TH terdekat supaya mudah dihubungi TH untuk urusan selanjutnya. Bakal jemaah disarankan untuk mengikuti saluran-saluran media sosial dan laman web rasmi TH bagi mendapatkan informasi terkini. 

 

Makluman peringatan awal akan dikongsikan melalui aplikasi THiJARI, pesanan SMS dan emel rasmi dari TH. Makluman ini merupakan notifikasi peringatan kepada bakal jemaah haji dalam tahun giliran 1448H/2027M dan 1449H/2028M sebagai persediaan awal. Surat tawaran rasmi untuk menunaikan haji akan dikeluarkan secara berasingan kepada bakal jemaah yang layak mengikut syarat dan prosedur yang ditetapkan oleh TH. 

 

-TAMAT-