TH SALUR MANFAAT TH KHAIRAT SEBANYAK RM48,000 KEPADA WARIS JEMAAH HAJI  

KUANTAN, 5 MEI 2026 – Lembaga Tabung Haji (TH) menyalurkan manfaat perlindungan TH Khairat berjumlah RM48,000 kepada Muhammad Syakir, anak kepada Allahyarham Mohamad Nor bin Sulaiman.

 

Allahyarham merupakan jemaah haji Malaysia musim haji 1447H/2026M pertama yang  kembali ke rahmatullah di Makkah pada Jumaat lalu akibat komplikasi jantung. 

 

Allahyarham Mohamad Nor, 65 tahun dari Desa Teratai, Muadzam Shah, Pahang, telah rebah ketika berada di dataran Masjidil Haram sementara menunaikan solat fardu Jumaat sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Jiwar Jabal Omar, Makkah.  

 

Allahyarham telah mencarum dua polisi perlindungan di bawah skim TH Khairat dengan jumlah caruman sebanyak RM48 setahun untuk manfaat khairat berjumlah RM24,000. Manfaat tersebut digandakan kepada RM48,000 sebagai keistimewaan yang dkhususkan kepada jemaah haji. 

 

TH turut menziarahi waris Allahyarham bagi menyampaikan sumbangan dan memberi sokongan moral kepada waris. Ziarah yang diketuai oleh Pengarah TH Negeri Pahang, Haji Rosdi bin Dollah itu turut diisi dengan bacaan tahlil bersama waris-waris Allahyarham. 

 

TH akan melaksanakan badal haji bagi pihak Allahyarham pada musim haji kali ini dan komited untuk terus memperkukuh kebajikan jemaah haji Malaysia secara menyeluruh, termasuk memastikan waris menerima sokongan berterusan daripada segi emosi, kebajikan dan manfaat perlindungan. 

 

Hadir sama, Encik Mohd Faiz bin Zaki, Pengurus Syarikat Takaful Malaysia Berhad (STMB) dan YB Dato’ Ir. Razali bin Kassim, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Muadzam Shah. 

 

-Tamat-