TH PERKUKUH PERKHIDMATAN DENGAN LOKASI STRATEGIK BAHARU CAWANGAN KUALA TERENGGANU

KUALA TERENGGANU, 9 JULAI 2026: Selaras dengan matlamat untuk menyediakan pengalaman perkhidmatan yang lebih selesa, moden dan mesra pelanggan, Pejabat Cawangan Lembaga Tabung Haji (TH) Kuala Terengganu telah memilih premis baharu di lokasi yang lebih strategik di Jalan Sultan Zainal Abidin. 

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad dalam ucapan perasmiannya berkata pejabat baharu ini yang mempunyai keluasan hampir 6,000 kaki persegi menawarkan ruang yang lebih luas, selesa dan kondusif untuk memenuhi keperluan pendeposit yang semakin meningkat. 

 

Selain itu, lokasi cawangan baharu ini juga dipilih kerana mempunyai akses jalan raya yang lebih mudah, terletak di kawasan pusat perniagaan yang menjadi kawasan tumpuan ramai dan ruang parkir khas yang lebih banyak akan memudahkan pengunjung untuk hadir membuat sebarang urusan di tujuh kaunter perkhidmatan yang disediakan. 

 

“Pejabat baharu ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan TH untuk memperkukuh ekosistem perkhidmatan kepada pendeposit. Kami percaya pelaburan terbaik bukan hanya pada bangunan atau teknologi sahaja, tetapi pada usaha membina keyakinan masyarakat melalui penyampaian perkhidmatan yang berkualiti, mudah diakses, mesra dan sentiasa mengutamakan pelanggan,” tambah beliau. 

 

Mustakim turut menjelaskan TH akan terus memperkukuh transformasi digital bagi memastikan perkhidmatan yang sentiasa relevan dengan keperluan masyarakat masa kini. Ini dapat dilihat melalui peningkatan ketara penggunaan aplikasi THiJARI yang menyediakan pelbagai perkhidmatan dengan lebih mudah, pantas dan selamat bagi pendeposit. 

 

TH juga kini sedang menumpukan kepada usaha bagi membudayakan persediaan kewangan yang lebih awal, konsisten dan terancang. Pelbagai inisiatif dilaksanakan antaranya simpanan secara potongan gaji, ‘Direct Debit’, penganjuran program literasi kewangan Cilik-Cilik Dah Celik dan kempen kesedaran menuju istito’ah dengan tujuan membantu masyarakat membina kemampuan kewangan secara berdisiplin agar hasrat menunaikan haji dapat direalisasikan,” kata beliau lagi. 

 

Selain itu, TH turut mengambil pendekatan proaktif dan sedang giat memperluaskan capaian dan mendekati masyarakat secara lebih inklusif dan mesra pelanggan dengan pembukaan kaunter bergerak yang dinamakan ‘TH Gerak’ di lokasi-lokasi tumpuan ramai. Pendekatan ini membantu memastikan perkhidmatan TH terus sampai ke kawasan tertentu dan dapat menyantuni lebih ramai pendeposit melalui pelbagai aktiviti pendidikan, khidmat nasihat dan perkhidmatan secara mobil. 

 

“Kesemua inisiatif ini mencerminkan aspirasi TH untuk menjadi rakan strategik masyarakat dalam membina kesejahteraan kewangan umat Islam di Malaysia, di samping terus kekal sebagai institusi pengurusan haji yang unggul,” tambah Mustakim. 

 

Turut hadir dalam Majlis Perasmian Pejabat Cawangan Kuala Terengganu ialah barisan pengurusan, Pengarah Wilayah, Pengarah Negeri dan kakitangan TH. 

 

-TAMAT-