TH SALUR RM500,000 BINA SURAU AL-HAJJ DI BESUT

BESUT, 3 MEI 2026: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini merasmikan Surau Al-Hajj di Taman Koperat Putera, Kampung Seberang, Besut, Terengganu yang dibangunkan melalui peruntukan sebanyak RM500,000 menerusi dana Zakat Wakalah di bawah Program Musolla TH.
 

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad. Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa pembinaan surau ini mencerminkan komitmen berterusan TH dalam memperkasakan pembangunan ummah melalui penyediaan kemudahan asas ibadah serta pengukuhan institusi komuniti Islam.


“Masjid dan surau bukan sahaja berfungsi sebagai tempat ibadah, malah menjadi pusat penyatuan masyarakat, memperkukuh ukhuwah serta medium utama dalam menyemarakkan syiar Islam di peringkat akar umbi,” tambah beliau.


Sejak diperkenalkan pada tahun 2023, Program Musolla TH telah menyalurkan kira-kira RM4.5 juta bagi pembinaan dan menaik taraf masjid serta surau di seluruh negara.
 

Bagi tahun 2025, TH memperuntukkan sebanyak RM1 juta, melibatkan pembinaan dua buah surau baharu iaitu di Terengganu dan Sarawak, masing-masing dengan kos pembinaan sebanyak RM500,000. Hari ini TH secara rasminya menyerahkan Surau Al-Hajj di Taman Koperat Putera, yang telah siap dibina untuk manfaat masyarakat di Kampung Seberang di Besut.

 

Surau Al-Hajj ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 550 penduduk setempat khususnya dalam memudahkan pelaksanaan ibadah harian, penganjuran majlis ilmu serta aktiviti kemasyarakatan yang mampu mengeratkan hubungan silaturrahim.

 

Menurut beliau lagi, TH akan terus komited melaksanakan lebih banyak inisiatif berimpak tinggi melalui dana Zakat Wakalah bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh golongan sasaran di seluruh negara selaras dengan aspirasi pembangunan ummah yang inklusif dan mampan.

 

Pembinaan Surau Al-Hajj ini diharap akan terus dimakmurkan dengan pelbagai aktiviti keagamaan dan menjadi pusat pembangunan komuniti yang berterusan di kawasan tersebut.

-TAMAT-