SOUTUL SAADAH MUNCUL JUARA PERTANDINGAN AKHIR BICARA BERIRAMA TaHa BESTARI 2025 ANJURAN TH
KUALA LUMPUR, 18 DISEMBER 2025: Pasukan Soutul Saadah dari SMK Zon R1, Wangsa Maju, KL muncul juara Pertandingan Akhir Bicara Berirama TaHa Bestari 2025 anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) yang diadakan di Menara TH Tun Razak dengan mengetengahkan tema ‘Satu Tabungan, Seribu Keberkatan’.
Pertandingan ini turut disiarkan di saluran rasmi Facebook TH.
Pertandingan ini telah menyaksikan pelajar dari 10 buah sekolah yang merupakan ahli Kelab TaHa, bertanding dalam merebut gelaran juara pertandingan. Pasukan Soutul Saadah telah menampilkan persembahan bertenaga dan menambat hati para juri serta penonton apabila menjuarai pertandingan dan membawa pulang wang tunai bernilai RM3,000 dan cenderahati daripada Kelab TaHa.
Naib Johan pertandingan ini telah dirangkul oleh pasukan Srikandi Scippian’s, dengan membawa pulang wang tunai bernilai RM2,000. Manakala pasukan Dominican, dari SMK St.Dominic telah dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga dan membawa pulang wang tunai bernilai RM1,000. Sementara itu, tempat keempat dan tempat kelima masing-masing dimenangi oleh MRSM PDRM Kulim, Kedah dan SMK Tun Saridon, Batu Pahat, Johor, yang membawa pulang hadiah wang tunai RM500 setiap satu.
Pertandingan ini merupakan platform untuk mencungkil bakat dan kreativiti pendeposit muda TH dalam mengungkapkan mesej-mesej positif melalui penyampaian Bicara Berirama yang tersusun, berdisiplin dan berimpak. Penganjuran pertandingan oleh Kelab TaHa ini turut selaras dengan usaha berterusan TH untuk menyemai budaya menabung, memupuk sikap bertanggungjawab serta meningkatkan kesedaran awal mengenai perancangan kewangan dalam kalangan pelajar.
Pengarah Eksekutif Operasi TH, Datuk Mohamed Ameen Bin Abdul Wahab turut berkata program seperti ini membawa TH mendekati pendeposit muda dan menyokong strategi jangka panjang TH. Ini seiring dengan usaha untuk membina hubungan dengan pendeposit dan bakal jemaah haji sejak di awal usia, sekaligus memupuk amalan menabung secara konsisten.
“Seperti mesej dan alunan kata yang tersusun indah dalam pertandingan ini, setiap bait kecil berharmoni membawa makna yang besar. Begitu juga dengan amalan menyimpan, sedikit demi sedikit, lama-lama menjadi bekal masa hadapan. Kami ingin menyemai kesedaran bahawa disiplin, usaha berterusan dan nilai murni mampu membentuk generasi muda yang lebih bersedia, khususnya dalam meniti perjalanan menuju ibadah haji”, kata beliau.
Pertandingan yang berlangsung di Dewan Besar TH ini turut diadili oleh barisan panel yang terdiri daripada Ahmad Fedtri Yahya, pengacara dan personaliti TV, Puan Zailah Binti Usman @ Othman, Ketua Panitia Bahasa Melayu di SK Taman Bukit Subang serta Encik Mohamad Paizal bin Sanek, guru Bahasa Melayu di SMK Binjai Jaya K11 yang menilai persembahan berdasarkan kreativiti, penyampaian mesej, kerja berpasukan dan kandungan.
TH berharap pertandingan ini dapat menjadi platform untuk mendekati golongan muda dalam memperkasakan budaya menabung sejak usia muda dan medan bagi Kelab TaHa dalam mengetengahkan bakat-bakat muda dalam menyampaikan mesej menabung.
Untuk maklumat lanjut berkenaan dengan program ahli Kelab TaHa, pendeposit boleh melayari
https://www.tabunghaji.gov.my/ms/simpanan/perkhidmatan/kelab-taha dan sebarang maklum balas atau pertanyaan, pendeposit boleh menghubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919.
-TAMAT-