JOHAN QARI DAN QARIAH MUSABAQAH TaHa CILIK 2025 PERINGKAT KEBANGSAAN BAWA PULANG WANG TUNAI RM1,000 DAN PAKEJ PERCUTIAN
KUALA LUMPUR, 1 DISEMBER 2025 – Lembaga Tabung Haji (TH) telah menganjurkan Musabaqah TaHa Cilik 2025 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung baru-baru ini di Dewan Besar TH, Menara TH Tun Razak, dan disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi TH.
Dalam majlis tersebut, Muhammad Mikail bin Sukelri dari Terengganu telah dinobatkan sebagai Johan Qari, manakala Annisa Fatinah binti Farid dari Sabah diumumkan sebagai Johan Qariah. Kedua-dua pemenang membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000 berserta pakej percutian domestik bernilai RM500 dan cenderahati eksklusif Kelab TaHa.
Majlis penutup Musabaqah TaHa Cilik 2025 Peringkat Kebangsaan telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Haji Mustakim Mohamad serta dihadiri oleh ibu bapa peserta dan para guru.
Penganjuran tahun keempat ini dengan tema ‘Amalan menabung, amalan mulia’, merupakan inisiatif tahunan TH melalui Kelab TaHa sebagai kesinambungan program tahun-tahun terdahulu. Pertandingan bermula di peringkat negeri dengan hampir 700 penyertaan sebelum disaring kepada 28 peserta yang merupakan johan qari dan qariah setiap negeri, yang seterusnya layak mara ke peringkat kebangsaan bagi merebut gelaran Johan Musabaqah TaHa Cilik 2025.
Penganjuran ini bukan sahaja mendorong kanak-kanak mengamalkan budaya menabung sejak kecil, malah selari dengan usaha TH membudayakan pembacaan Al-Quran dalam kalangan anak-anak dan pelajar sekolah. Surah-surah yang dipilih untuk Musabaqah tahun ini juga seiring tema “Amalan menabung, amalan mulia”, kerana mengandungi mesej yang selaras dengan nilai kesyukuran, pengurusan rezeki, amanah dan pembentukan akhlak yang baik dalam kalangan generasi muda.
Melalui Musabaqah ini, bakat dan potensi mereka dihargai serta diberi ruang untuk menyerlah, sekali gus melahirkan generasi yang bukan sahaja mencintai Al-Quran tetapi juga dibentuk dengan nilai-nilai murni termasuk disiplin menabung dan pengurusan diri yang baik.
Menurut Tuan Haji Mustakim Mohamad, ”Pertandingan Musabaqah TaHa Cilik ini merupakan medium untuk memartabatkan Al-Quran dalam kalangan pelajar sekolah, di samping mendekati serta menyantuni pendeposit muda sebagai pewaris masa depan. Melalui penganjuran ini, anak-anak bukan sahaja diasuh agar mahir membaca Al-Quran, tetapi turut dibimbing menjadi lebih bijak mengurus rezeki.”
Beliau menambah, ”TH yakin bahawa program sebegini akan menjadi platform untuk menarik minat pelajar sekolah ke arah keseimbangan dunia dan akhirat, sekali gus melahirkan generasi yang bukan sahaja celik kewangan tetapi juga celik Al-Quran.”
TH menerusi Kelab TaHa berhasrat untuk meneruskan penganjuran Musabaqah TaHa pada tahun-tahun mendatang, dan merancang untuk memperluaskan penyertaannya kepada pelajar institusi pengajian tinggi. Di samping itu, TH kekal komited untuk menganjurkan lebih banyak program dan aktiviti bermanfaat buat ahli-ahli Kelab TaHa, dalam usaha membentuk generasi muda berakhlak mulia, berdaya saing dan celik Al Quran.
– TAMAT –