SIARAN AKHBAR PEMERKASAAN TH KE ARAH KELESTARIAN MASA DEPAN ➢ Inisiatif peremajaan jenama adalah langkah proaktif untuk memperkukuh kedudukan TH sebagai institusi tabungan pilihan umat Islam. ➢ TH kurang dilihat sebagai institusi penabungan yang mampu menarik simpanan konsisten, apabila perlu bersaing dengan produk lain. ➢ 53 peratus daripada 9.6 juta orang pendeposit TH mempunyai simpanan kurang RM1,300 (syarat minima untuk mendaftar haji) ➢ 50 peratus jemaah haji 2025 terpilih telah menolak tawaran tunai haji kerana masalah kewangan. ➢ Peremajaan jenama dilakukan mengikut polisi dan garis panduan yang ketat dan dipantau oleh Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Penasihat Shariah. Kuala Lumpur, 28 Ogos 2025 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menjelaskan bahawa inisiatif peremajaan jenama sedang dilaksanakan bagi memperkukuh kedudukannya sebagai institusi tabungan pilihan umat Islam di Malaysia. TH telah ditubuhkan lebih enam (6) dekad lalu sebagai institusi simpanan bagi urusan menunaikan ibadat haji, namun pada hari ini, ia lebih dikenali bagi peranannya sebagai pengurus ibadat haji bertaraf dunia. Pengerusi TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata TH kurang dilihat sebagai institusi penabungan yang mampu menarik simpanan konsisten, khususnya apabila perlu bersaing dengan produk simpanan atau pelaburan yang lebih menarik seperti unit amanah, emas, simpanan pendidikan dan Skim Persaraan Swasta (PRS). SIARAN AKHBAR “Statistik semasa menunjukkan jumlah pendeposit TH kini berjumlah 9.6 juta orang. Angka ini menunjukkan bahawa masih terdapat 50 peratus daripada populasi Islam di Malaysia yang belum membuka akaun dengan TH. Lebih membimbangkan, data turut menunjukkan bahawa 53 peratus daripada pendeposit tidak memiliki simpanan sekurang-kurangnya RM1,300, iaitu jumlah minimum yang diperlukan untuk daftar haji,” jelas beliau. Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Haji Mustakim Mohamad berkata kadar simpanan yang rendah turut memberi kesan apabila kira-kira separuh daripada pendeposit yang menerima tawaran haji setiap tahun terpaksa menolak atau menunda giliran haji mereka walaupun bantuan kewangan haji diberikan. “Kebanyakan pendeposit yang berkemampuan pula cenderung untuk menyimpan di institusi kewangan lain dan hanya memindahkan bayaran penuh haji ke akaun TH mereka apabila rayuan diterima untuk mengisi kekosongan akibat penolakan tawaran haji oleh pendeposit yang tidak mampu,” tambahnya lagi. Berdasarkan data dan tren yang membimbangkan ini, TH mengambil langkah proaktif melaksanakan inisiatif peremajaan jenama bagi memastikan TH kekal relevan khususnya dalam usaha menarik lebih ramai umat Islam menabung secara konsisten bagi menunaikan haji. “Ia juga bertujuan meningkatkan tahap simpanan individu, memperkukuh budaya kerja serta menyediakan perkhidmatan digital moden yang menepati keperluan generasi muda,” katanya lagi. Inisiatif peremajaan jenama ini merupakan langkah strategik untuk memperkukuh peranan TH sebagai institusi tabungan Islam yang relevan dengan keperluan semasa, seterusnya memastikan umat Islam di Malaysia dapat menunaikan haji dengan lebih terancang dan terjamin. SIARAN AKHBAR Ia juga dilaksanakan mengikut polisi dan garis panduan yang ketat dan dipantau oleh Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Penasihat Shariah. Semua dasar, operasi dan hal ehwal ibadat haji dikawal sepenuhnya oleh pengurusan TH, Ahli Lembaga Pengarah, Jawatankuasa Penasihat Shariah dan Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji. -Tamat-
PDF Kenyataan Akhbar
PEMERKASAAN TH KE ARAH KELESTARIAN MASA DEPAN
