Soalan Lazim 2024 Keuntungan


2024 Keuntungan

Apakah itu Agihan Keuntungan TH?+
  • Agihan keuntungan ialah pengagihan keuntungan yang diperoleh daripada hasil pelaburan TH dalam portfolio pendapatan tetap, ekuiti, hartanah dan pasaran wang di sepanjang tahun 2024.
  • Agihkan kepada para pendepositnya dibuat setelah menolak kos operasi, bantuan kewangan haji dan zakat yang dilunaskan bagi pihak pendeposit.
  • Setiap tahun, TH mengumumkan kadar agihan keuntungan berdasarkan kedudukan dan prestasi kewangan semasa.
Berapakah kadar agihan keuntungan bagi tahun 2024?+
  • Agihan keuntungan adalah pada kadar 3.25 peratus setelah zakat 2.5775 peratus dilunaskan bagi pihak pendeposit.
  • Agihan Keuntungan melibatkan jumlah sebanyak RM2.92 bilion yang akan memberi manfaat kepada lebih 9.54 juta orang pendeposit.
Bagaimanakah cara pengiraan agihan keuntungan?+
  • Pengiraan Agihan Keuntungan bagi tahun 2024 adalah sama seperti tahun lalu, iaitu berdasarkan purata baki terendah bulanan yang disimpan sepanjang tahun.
  • Formula pengiraan bagi Agihan Keuntungan tahun 2024 adalah seperti berikut :- Purata Baki Simpanan Terendah Bulanan x 3.25% = (Baki simpanan terendah setiap bulan dari Januari–Disember 2024 / Bilangan Bulan) x 3.25%
Adakah pendeposit perlu membayar zakat ke atas wang simpanan dan agihan keuntungan di TH?+
  • Para pendeposit TH tidak perlu membayar zakat ke atas wang simpanan serta agihan keuntungan yang diterima.
  • TH telah melunaskan zakat bagi pihak pendeposit selaras dengan keputusan Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-17 pada 3 Mei 1979.
  • Jumlah terkumpul zakat yang telah dilunaskan bagi pihak pendeposit sehingga tahun 2024 adalah sebanyak RM1.47 bilion.
Bagaimanakah pengiraan zakat tersebut dilaksanakan?+
  • Pengiraan zakat bagi pihak pendeposit adalah berdasarkan Modal Kerja Terlaras dan pendekatan hukum Khultoh (iaitu harta yang bercampur). Pertimbangan yang diambil kira dalam penentuan kaedah pengiraan zakat adalah termasuk:

    • Pengiraan zakat berdasarkan zakat perniagaan adalah wajar, berdasarkan hubungan wakalah di mana dana simpanan pendeposit mewakili kepentingan pendeposit ke atas aset pelaburan dan perniagaan TH.

    • Ciri deposit TH yang boleh dikeluarkan mengikut permintaan. Oleh itu, kaedah pengiraan berdasarkan Modal Kerja Terselaras wajar digunakan.

    • Elemen wakalah dan elemen perkongsian pendeposit selaku prinsipal dilihat sebagai faktor yang mewajarkan pengiraan zakat berdasarkan hukum Khultoh.

  • TH mengguna pakai kadar 2.5775% mengambil kira perbezaan bilangan hari dalam setahun di antara kalendar Qamari dan kalendar Masihi sebagaimana saranan oleh Jawatankuasa Penasihat Syariah TH.

Bagaimanakah agihan keuntungan dibayar kepada pendeposit?+

Agihan keuntungan akan dikreditkan terus ke dalam akaun pendeposit yang masih aktif dan layak menerima agihan keuntungan.

Siapakah layak menerima Agihan keuntungan 2024?+

Pendeposit yang layak menerima agihan keuntungan adalah pendeposit yang membuka akaun sebelum 5 Disember 2024 dan berstatus aktif pada 31 Disember 2024 serta kekal aktif sehingga tarikh kredit Agihan Keuntungan dibuat.

Bilakah agihan keuntungan ini boleh disemak?+

Para pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masingmasing bermula pada 23 Mac 2025 (Ahad) menerusi platform THiJARI, kaunter TH, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat dan saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.

Apakah faktor utama yang mempengaruhi prestasi kewangan TH?+

Prestasi TH pada tahun 2024 telah didorong oleh pelaburan patuh Syariah di dalam instrumen pendapatan tetap yang menjana 50 peratus daripada jumlah pendapatan keseluruhan, manakala 35 peratus disumbangkan oleh pelaburan ekuiti. Pulangan daripada pelaburan hartanah dan instrumen pasaran wang juga menyumbang 15 peratus kepada jumlah pendapatan keseluruhan.

Bagaimanakah prestasi kewangan TH berbanding institusi pelaburan yang lain?+
  • Kadar Agihan Keuntungan TH tidak boleh dibandingkan secara saksama dengan institusi pelaburan yang lain kerana tujuan penubuhan yang berbeza dengan tahap toleransi risiko dan tahap kecairan yang berbeza.
  • TH ditubuhkan untuk membantu umat Islam menyimpan wang bagi menunaikan haji. Matlamat ini mempengaruhi cara TH merangka strategi pelaburan, tahap risiko dan tahapkecairan yang akan menentukan kadar pulangan yang diperoleh
Bagaimanakah prestasi pelaburan TH pada tahun 2024 berbanding prestasi tahun - tahun sebelumnya?+
  • Prestasi pelaburan TH pada tahun 2024 adalah yang terbaik sejak 2018.
  • TH mengambil pendekatan kepelbagaian portfolio pelaburan yang mempunyai potensi penjanaan keuntungan yang berdaya tahan dan mampan.
Apakah strategi TH untuk memastikan kadar agihan keuntungan yang kompetitif pada masa hadapan?+
  • TH telah merangka Pelan Strategik 3 tahun bagi meningkatkan kemampanan prestasi kewangan dan operasinya.

  • Matlamat dan strategi yang jelas membolehkan pelan strategik ini dapat mengemudi TH dalam menyampaikan mandatnya dengan cemerlang.

  • Sasaran pelan ini dipacu oleh tiga (3) teras utama iaitu Kemampanan Kewangan, Suntikan Nafas Baharu dan Penciptaan Nilai.

  • Pelan ini juga disokong sembilan (9) strategi, yang telah dikenal pasti untuk mencapai aspirasi TH dan meletakkannya dalam kedudukan yang kukuh dalam persekitaran luaran yang berkembang pesat.