Soalan Lazim Agihan Keuntungan TH 2025


Agihan Keuntungan TH 2025

Apakah itu Agihan Keuntungan TH 2025?

+
  • Agihan Keuntungan ialah pengagihan keuntungan yang diperoleh daripada hasil pelaburan TH dalam portfolio pendapatan tetap, ekuiti, hartanah dan pasaran wang di sepanjang tahun 2025.
  • Agihan kepada para pendeposit dibuat setelah menolak kos operasi, Bantuan Kewangan Haji dan zakat yang dilunaskan bagi pihak pendeposit.
  • Setiap tahun, TH mengumumkan kadar Agihan Keuntungan berdasarkan kedudukan dan prestasi kewangan semasa.

Berapakah kadar Agihan Keuntungan bagi tahun 2025?

+
  • Agihan Keuntungan adalah pada kadar 3.5 peratus setelah zakat 2.577 peratus dilunaskan bagi pihak pendeposit.
  • Agihan Keuntungan melibatkan jumlah sebanyak RM3.22 bilion yang akan memberi manfaat kepada lebih 9.7 juta orang pendeposit.

Bagaimanakah cara pengiraan Agihan Keuntungan?

+
  • Pengiraan Agihan Keuntungan bagi tahun 2025 adalah sama seperti tahun lalu, iaitu berdasarkan purata baki terendah bulanan yang disimpan sepanjang tahun.
  • Formula pengiraan bagi Agihan Keuntungan tahun 2025 adalah seperti berikut :- Purata Baki Simpanan Terendah Bulanan x 3.5% = (Baki simpanan terendah setiap bulan dari Januari–Disember 2025 / Bilangan Bulan) x 3.5%

Bagaimanakah pengiraan zakat tersebut dilaksanakan?

+
  • Pengiraan zakat bagi pihak pendeposit adalah berdasarkan Modal Kerja Terlaras dan pendekatan hukum Khultoh (iaitu harta yang bercampur). Pertimbangan yang diambil kira dalam penentuan kaedah pengiraan zakat adalah termasuk:
  • Pengiraan zakat berdasarkan zakat perniagaan adalah wajar, berdasarkan hubungan wakalah di mana dana simpanan pendeposit mewakili kepentingan pendeposit ke atas aset pelaburan dan perniagaan TH.
  • Ciri deposit TH yang boleh dikeluarkan mengikut permintaan. Oleh itu, kaedah pengiraan berdasarkan Modal Kerja Terselaras wajar digunakan.
  • Elemen wakalah dan elemen perkongsian pendeposit selaku prinsipal dilihat sebagai faktor yang mewajarkan pengiraan zakat berdasarkan hukum Khultoh.
  • TH mengguna pakai kadar 2.577% mengambil kira perbezaan bilangan hari dalam setahun di antara kalendar Qamari dan kalendar Masihi sebagaimana saranan oleh Jawatankuasa Penasihat Syariah TH.

Bagaimanakah Agihan Keuntungan dibayar kepada pendeposit?

+
  • Agihan Keuntungan akan dikreditkan terus ke dalam akaun pendeposit yang masih aktif dan layak menerima Agihan Keuntungan.

Siapakah layak menerima Agihan keuntungan 2025?

+
  • Pendeposit yang layak menerima agihan keuntungan adalah pendeposit yang membuka akaun sebelum 5 Disember 2025 dan berstatus aktif pada 31 Disember 2025 serta kekal aktif sehingga tarikh kredit Agihan Keuntungan dibuat.

Bilakah Agihan Keuntungan ini boleh disemak?

+
  • Para pendeposit boleh menyemak Agihan Keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing bermula pada 19 Mac 2026 (Khamis) menerusi platform THiJARI, kaunter TH, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat serta saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.

Apakah faktor utama yang mempengaruhi prestasi kewangan TH?

+
  • Prestasi kewangan TH pada tahun 2025 yang lebih baik didorong oleh usaha berterusan bagi mengawal kos secara berhemah.
  • Perbelanjaan TH bagi tahun 2025 mencatatkan penurunan hasil pengurusan perbelanjaan operasi secara hemat.
  • Kedudukan kewangan TH kekal kukuh dengan jumlah aset sebanyak RM98.58 bilion pada tahun 2025, melebihi liabiliti berjumlah RM95.63 bilion.

Bagaimanakah prestasi kadar Agihan Keuntungan TH berbanding institusi pelaburan yang lain?

+
  • Kadar Agihan Keuntungan TH tidak boleh dibandingkan secara saksama dengan institusi pelaburan yang lain kerana tujuan penubuhan yang berbeza dengan tahap toleransi risiko dan tahap kecairan yang berbeza.
  • TH ditubuhkan untuk membantu umat Islam menyimpan wang bagi menunaikan haji. Matlamat ini mempengaruhi cara TH merangka strategi pelaburan, tahap risiko dan tahap kecairan yang akan menentukan kadar pulangan yang diperoleh.

Bagaimanakah prestasi pelaburan TH pada tahun 2025 berbanding prestasi tahun-tahun sebelumnya?

+
  • Prestasi pelaburan TH pada tahun 2025 adalah yang terbaik sejak 2018.
  • TH mengambil pendekatan kepelbagaian portfolio pelaburan yang mempunyai potensi penjanaan keuntungan yang berdaya tahan dan mampan.
  • Pencapaian ini disokong oleh persekitaran ekonomi domestik yang stabil serta pengurusan pelaburan yang lebih proaktif berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA).

Apakah strategi TH untuk memastikan kadar Agihan Keuntungan yang kompetitif pada masa hadapan?

+
  • TH memikul amanah yang besar mentadbir dan mengurus simpanan bagi tujuan menunaikan ibadat haji.
  • Simpanan yang diterima akan dilaburkan dalam instrumen pelaburan patuh Syariah bagi menjana pulangan yang seterusnya diagihkan kepada para pendeposit bagi mengembangkan simpanan mereka secara mampan dan konsisten.
  • TH telah membangunkan dan sedang melaksanakan FAITH27 : Pelan Strategik TH 2025-2027.
  • Ia merupakan pelan strategik yang dipacu oleh tiga teras utama dengan diperkukuh oleh sembilan strategi bagi mengemudi TH ke arah mencapai kemampanan kewangan dan menjadikannya sebagai sebuah institusi simpanan kewangan Islam yang unggul dan berprestasi tinggi.