Penamaan Waris
Seseorang pendeposit yang berumur 18 tahun ke atas hendaklah menamakan mana-mana individu daripada kalangan warisnya menurut Hukum Syarak sebagai penerima sejumlah amaun atau sebahagian amaun yang ada pada kredit pendeposit selepas kematian pendeposit (merujuk kepada Akta Lembaga Tabung Haji 1995, Peraturan-Peraturan Lembaga Tabung Haji (Deposit Dan Pengeluaran) 2002, Pindaan 2003, Pindaan 2013 dan Pindaan 2017).
Penamaan merupakan pengisytiharan secara bertulis yang dibuat oleh pendeposit untuk melantik atau menamakan mana-mana individu daripada kalangan warisnya menurut Hukum Syarak sebagai “Penama”. Penama yang dilantik bertindak sebagai wasi atau pentadbir ke atas wang simpanan di TH apabila pendeposit meninggal dunia.
Senarai waris menurut Hukum Syarak adalah seperti berikut:
Waris Lelaki
- Anak lelaki.
- Cucu lelaki daripada anak lelaki dan ke bawah.
- Bapa.
- Datuk sebelah bapa dan ke atas.
- Saudara lelaki seibu sebapa.
- Saudara lelaki sebapa.
- Saudara lelaki seibu.
- Anak saudara lelaki seibu sebapa.
- Anak saudara lelaki sebapa dan ke bawah.
- Bapa saudara seibu sebapa.
- Bapa saudara sebapa.
- Anak bapa saudara seibu sebapa.
- Anak bapa saudara sebapa.
- Suami.
Waris Perempuan
- Anak perempuan.
- Cucu perempuan daripada anak lelaki.
- Ibu.
- Nenek sebelah ibu.
- Nenek sebelah bapa.
- Saudara perempuan seibu sebapa.
- Saudara perempuan sebapa.
- Saudara perempuan seibu.
- Isteri.
Tujuan
Penamaan dibuat untuk memudahkan waris membuat pengeluaran wang simpanan si mati tanpa perlu mengemukakan Surat Kuasa atau Perintah daripada pihak berkaitan (Bicara Kecil Pejabat Tanah, Mahkamah Syariah, Mahkamah Sivil, Amanah Raya Berhad).
Penamaan mestilah dibuat oleh pendeposit semasa hayatnya dengan melengkapkan Borang Penamaan yang disediakan oleh TH dan dihantar ke mana-mana pejabat TH yang berhampiran untuk didaftarkan ke dalam sistem TH. Tarikh kuat kuasa penamaan adalah pada tarikh borang penamaan diterima dan didaftarkan.
Sesuatu penamaan akan terbatal dalam keadaan-keadaan yang berikut (merujuk kepada Akta Lembaga Tabung Haji 1995, Peraturan-Peraturan Lembaga Tabung Haji (Deposit dan Pengeluaran) 2002, Pindaan 2003, Pindaan 2013 dan Pindaan 2017) :
- Dengan kematian penama, atau jika terdapat lebih daripada seorang penama, dengan kematian semua penama itu semasa hayat pendeposit;
(maksud: semua orang yang dinamakan meninggal dunia semasa hayat pendeposit).
- Berhubung dengan kepentingan di bawah penamaan bagi mana-mana penama, dengan kematian penama itu semasa hayat pendeposit, melainkan jika kepentingan penama dilupuskan oleh penamaan itu;
(maksud: pendeposit semasa hayatnya membuat penamaan baru dengan melengkapkan Borang yang ditetapkan oleh TH).
- Dengan notis pembatalan bertulis yang diberikan oleh pendeposit dan diterima oleh TH semasa hayat pendeposit; atau
(maksud: pendeposit semasa hayatnya membuat pembatalan penamaan yang telah dibuat dengan melengkapkan Borang yang ditetapkan oleh TH).
- Dengan suatu penamaan kemudian yang dibuat mengikut subperaturan (3) oleh pendeposit yang melupuskan penamaan yang terdahulu.
(maksud: pendeposit semasa hayatnya membuat pertukaran penamaan yang telah dibuat dengan melengkapkan Borang yang ditetapkan oleh TH).
Kemudahan 'Call-Back'
Sekiranya berminat untuk mendapat maklumat lanjut, sila isikan maklumat anda di sini :