Kos Haji dan Bayaran
Kos haji merujuk kepada kos-kos langsung pengendalian aktiviti-aktiviti asas jemaah haji yang perlu dikendali dan dibayar oleh TH bagi sesuatu tahun.
Kos langsung Jemaah Muassasah terdiri daripada kos penerbangan, kos pengangkutan, kos penginapan di Mekah dan Madinah, kos makan minum dan bayaran kepada pihak berwajib di Arab Saudi, manakala kos langsung jemaah PJH / THTS tidak termasuk kos penginapan dan kos makan minum yang dikendali sendiri oleh PJH / THTS.
Bayaran haji merujuk kepada sejumlah wang yang ditetapkan sebagai bayaran seorang jemaah haji kepada TH untuk membolehkannya menunaikan haji bagi sesuatu tahun. Sebagai panduan, Bayaran Haji bagi tahun semasa / Musim Haji 1441H / 2020M adalah seperti berikut:
Kategori (Muassasah) | Kos Haji | Tanggungan Kos TH | Bayaran Haji |
---|---|---|---|
Warganegara kali pertama menunaikan haji | RM 22,900 | RM 12,920 | RM 9,980 |
Warganegara telah tunai haji | RM 22,900 | Tiada | RM 22,900 |
TH masih terus menanggung kos haji tidak langsung bagi Jemaah Haji Malaysia secara percuma seperti:
- Penerbitan buku dan risalah panduan haji,
- Kursus-kursus haji,
- Petugas haji kebajikan dan perubatan,
- Kos berkaitan operasi haji di tanah air;
- Perkhidmatan tambah nilai yang disediakan untuk Jemaah Haji Malaysia; dan
- Ubat-ubatan.
Bakal haji yang telah terpilih pada tahun semasa adalah layak membuat pengeluaran wang di KWSP. Jumlah pengeluaran adalah berdasarkan baki simpanan dalam Akaun TH bagi tujuan mencukupkan Bayaran Haji (Muassasah).
Had maksima pengeluaran yang dibenarkan oleh KWSP adalah sebanyak RM3,000 sahaja dan tertakluk kepada syarat-syarat berikut:-
- Ahli KWSP
- Mengemukakan surat tawaran haji ke pejabat KWSP
- Mengemukakan Penyata Simpanan TH ke pejabat KWSP
- Berumur kurang 55 tahun