Sumbangan
Pada setiap tahun, TH memperuntukkan sejumlah besar sumbangan untuk perlaksanaan inisiatif CSR bukan-zakat dalam usaha berkongsi kejayaan yang diperolehi hasil sokongan dan kepercayaan pendeposit dan pihak berkepentingan.
Sumbangan disalurkan untuk pelbagai keperluan seperti pendidikan, kesihatan, sukan dan sebagainya.
Subsidi Haji
Pelaburan CSR yang terbesar dan terpenting ialah peruntukan subsidi haji untuk Jemaah Haji Muassasah pertama kali pada setiap tahun. Pemberian subsidi ini telah membantu mengekalkan bayaran haji seorang jemaah pada RM9,980 walaupun kos haji sebenar bagi setiap seorang jemaah terus meningkat setiap tahun.
Sejak 2001, TH telah menyumbang subsidi ini sebagai usaha menjaga kebajikan Jemaah Haji Malaysia. Pemberian subsidi ini merangkumi kos operasi haji di Malaysia dan di Tanah Suci. Selain itu, TH juga memperuntukkan sebahagian besar perbelanjaan untuk menampung operasi sokongan haji yang merangkumi bimbingan haji, khidmat rawatan dan kewangan serta khidmat petugas haji.
Dana Tabung Warga Tua (Dana TWT)
TH juga melaksanakan inisiatif tabung warga tua iaitu Dana TWT yang ditubuhkan sejak 2000. Dana ini bertujuan membiayai sebahagian daripada jumlah bayaran haji bagi jemaah warga emas yang memenuhi kesemua syarat-syarat permohonan dan terpilih untuk menunaikan haji tetapi mengalami masalah kewangan untuk membuat bayaran haji mereka.
Sumber utama dana TWT adalah daripada sumbangan TH dan individu-individu lain.
Kelab TaHa
Kelab TaHa ditubuhkan pada April 2008 bagi menarik minat pelajar berusia di antara 7 hingga 17 tahun agar mula menabung di usia muda. Ini akan memberikan mereka asas kukuh ke arah perancangan kewangan yang lebih mantap di masa hadapan dan membuka peluang untuk mereka menunaikan haji pada usia muda. Selain itu, ahli-ahli Kelab TaHa juga mendapat manfaat daripada pelbagai program dan aktiviti akademik sepanjang tahun. Di antara aktiviti yang dianjurkan ialah Seminar Peperiksaan, Kem Bahasa Inggeris, dan Kem Motivasi. Aktiviti-aktiviti yang dianjurkan bertujuan menerapkan nilai-nilai murni dan pengetahuan pendidikan bagi membantu meningkatkan kecemerlangan akademik para pelajar.
Selain itu, Kem Bahasa Inggeris juga dijalankan bagi membantu memperbaiki penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan ahli-ahli Kelab TaHa. Seminar Peperiksaan ditaja dan dibiaya sepenuhnya oleh TH dalam misi untuk meningkatkan prestasi akademik para pelajar terbabit. Selain kecemerlangan akademik, aktiviti-aktiviti ini juga menyediakan modul-modul pembinaan karakter bagi membantu membangunkan kumpulan bakat-bakat berkaliber dalam komuniti.
Untuk maklumat lanjut berkaitan Kelab TaHa boleh hubungi Bahagian Khidmat Pelanggan TH di talian +603-2054 2334/ +603 2054 2441/ +603-2054 2497.
Kelab TaHa@U
TaHa@U adalah satu inisiatif yang dilancarkan pada Mei 2010 bagi mendorong dan menggalakkan mahasiswa dan mahasisiwi di institusi-institusi pengajian tinggi tempatan untuk menunaikan haji pada usia muda.
TH bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk mempromosikan TaHa@U menerusi aktiviti-aktiviti seperti TaHa Jamboree@U, Karnival Bimbingan Kerjaya, kejohanan sukan dan program-program khidmat masyarakat.
Program Jamboree TaHa@U membantu mendedahkan para pelajar kepada pelbagai aktiviti berbentuk rohaniah, fizikal dan intelektual yang boleh membina karakter mereka. Ini diikuti dengan Karnival Bimbingan Kerjaya yang memberi pendedahan kepada peluang-peluang pekerjaan di masa hadapan.
Pelbagai aktiviti sukan seperti futsal, bola baling dan pertandingan boling memberi peluang dan menekankan kepentingan amalan gaya hidup sihat menerusi aktiviti kesukanan. Selain itu, Program Khidmat Masyarakat juga dianjurkan bagi menyemai kesedaran sivik dan melahirkan individu-individu bertanggungjawab.
Aktiviti-aktiviti yang dijalankan termasuk gotong-royong, solat terawih, pembersihan masjid dan tanah perkuburan, penganjuran aktiviti riang ria untuk kanak-kanak di masjid dan pelbagai aktiviti menarik lain. Kesemua aktiviti ini menerima maklumbalas positif daripada para pelajar dan berjaya meningkatkan jumlah keahlian TaHa@U.
Untuk maklumat lanjut berkaitan TaHa@U boleh hubungi Bahagian Khidmat Pelanggan TH di talian +603-2054 2334 / +603 2054 2441 / +603-2054 2497 dan muat turun borang Kelab Taha@U di sini.
Sahabat Korporat
Program Sahabat Korporat adalah satu program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dilaksanakan TH setiap tahun. Ia khusus untuk membantu memudahkan dan meringankan beban jemaah haji Malaysia dalam membuat persediaan kelengkapan barangan keperluan untuk kegunaan ketika menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.
Melalui program ini, TH bekerjasama dengan pelbagai institusi korporat, swasta, dan persendirian untuk menunaikan tanggungjawab CSR secara kolektif untuk kebajikan dan manfaat jemaah haji negara.
Dirintis sejak tahun 1980an, Program Sahabat Korporat turut berperanan sebagai medium publisiti dan promosi untuk syarikat-syarikat mengenengahkan jenama serta produk kepada jemaah haji dan masyarakat umum.
Sumbangan yang diterima termasuk beg, barangan perubatan, buku panduan ibadat haji, kit penjagaan oral dan ubat-ubatan.
Sekiranya ada agensi atau syarikat yang berminat untuk menjadi Sahabat Korporat TH, sila hubungi :
Hal Ehwal Awam Dan Komunikasi Korporat Kumpulan,
Lembaga Tabung Haji
Encik Hamzil Mohamadan
Telefon : +603 - 2054 2582
E-mel : hamzil@lth.gov.my
Lana Mahbob
Telefon : +603 - 2054 2129
E-mel : lana.mahbob@lth.gov.my