Pengurusan Haji

Urusan haji yang dilaksanakan oleh TH adalah proses yang berterusan dan dilakukan sepanjang tahun bagi memastikan perjalanan operasi haji adalah lancar dan efisyen. Pengurusan haji TH adalah komprehensif, bermula sejak bakal-bakal haji menyimpan wang mereka, sehingga mereka kembali ke Tanah Air setelah selesai menunaikan haji di Tanah Suci.
 
Proses pengurusan haji terbahagi kepada 20 aktiviti termasuk perkhidmatan-perkhidmatan yang diberikan di Tanah Air dan Tanah Suci.

Carta Pengurusan Haji

Surat & Jadual Penerbangan

Surat Jadual Penerbangan (SJP) akan dihantar oleh TH kepada semua bakal haji yang terpilih dan pergi secara Muassasah, manakala bagi bakal haji yang memilih perkhidmatan Pakej TH Travel & Services (THTS) dan Pengelola Jemaah Haji (PJH), SJP akan dihantar oleh pihak penganjur.

Stesen berlepas atau tempat melapor diri BH adalah seperti berikut:-

Bil Stesen Berlepas
1 TH Hotel & Convention Centre Sepang
2 Kompleks Haji & TH Hotel Penang
3 Lapangan Terbang Sultan Ismail, Senai
4 TH Hotel Kota Kinabalu
5 Lapangan Terbang Antarabangsa, Kuching
6 TH Hotel & Convention Centre Terengganu
7 TH Hotel & Convention Centre Alor Setar
8 Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu

Pasport

Semua bakal haji perlu mempunyai Pasport Malaysia Antarabangsa yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia. Pejabat daftar haji akan memaklumkan masa, tarikh dan tempat bagi penyerahan pasport kepada Tabung Haji bagi urusan visa haji.

Kos Bayaran

Kos Haji merujuk kepada kos-kos langsung berkaitan pengendalian aktiviti-aktiviti asas jemaah haji yang perlu dikendali dan dibayar oleh TH bagi sesuatu tahun.

Kos Haji langsung jemaah Muassasah terdiri daripada kos penerbangan, kos pengangkutan, kos penginapan di Makkah, Madinah dan Jeddah,kos makan minum dan bayaran kepada pihak berwajib di Arab Saudi, manakala Kos Haji langsung jemaah PJH/THTS adalah tidak termasuk kos penginapan dan kos makan minum yang dikendali sendiri oleh PJH/THTS.

Bayaran Haji merujuk kepada sejumlah wang yang ditetapkan sebagai bayaran jemaah kepada TH untuk membolehkannya menunaikan haji bagi sesuatu tahun. Sebagai panduan, anggaran bayaran Haji bagi musim haji 1439H adalah seperti berikut:

Jenis Jemaah (Muassasah) Kos Haji Tanggungan Kos TH Bayaran Haji
Warganegara
belum tunai haji
RM 22,450.00 RM 12,470.00 RM 9,980.00
Warganegara
telah tunai haji
RM 22,450.00 Tiada RM 22,450.00

*Tidak tertakluk kepada sebarang perubahan semasa. Harap maklum.

Kos Haji langsung bagi musim 1439H adalah berjumlah RM 22,450.00 seorang. Bagi musim 1439H, Bayaran Haji bagi bakal haji (BH) yang menunaikan haji buat pertama kali bagi dirinya dan pergi secara Muassasah adalah sebanyak RM9,980 seorang, iaitu TH masih meneruskan tanggungan sebanyak RM 12,470.00 seorang.

Walau bagaimanapun, tanggungan ini hanya diberikan kepada jemaah yang pertama kali menunaikan haji dan secara Muassasah sahaja. TH masih terus menanggung kos haji tidak langsung bagi jemaah-jemaah Malaysia secara keseluruhannya seperti:

  • Kos penerbitan buku dan risalah panduan haji,
  • Kos berkaitan kursus haji,
  • Kos petugas haji kebajikan dan perubatan,
  • Kos operasi berkaitan haji di tanah air; dan
  • Kos perkhidmatan tambah nilai yang disediakan untuk seluruh jemaah haji Malaysia.

Bakal Haji yang telah “Terpilih” pada tahun semasa adalah layak untuk membuat pengeluaran wang di KWSP. Jumlah pengeluaran adalah berdasarkan baki simpanan dalam Akaun TH bagi tujuan mencukupkan Bayaran Haji (Muassasah).

Had maksima pengeluaran yang dibenarkan oleh KWSP adalah sebanyak RM3,000.00 sahaja dan tertakluk kepada syarat-syarat berikut:-

  • Menjadi ahli KWSP
  • Mengemukakan surat tawaran Terpilih ke pejabat KWSP; dan
  • Mengemukakan Buku Akaun Simpanan TH ke pejabat KWSP
  • Berumur kurang 55 tahun

Pemeriksaan Kesihatan

Pemohon hendaklah menjalani pemeriksaan am kesihatan seperti tekanan darah, jenis darah dan urine test untuk mengetahui tahap kesihatan dan penyakit yang dialami. 

Pemohon juga hendaklah mendapatkan suntikan:

  • Anti Meningitis Meningococcal Quadrivalent ACYW-135
  • Apa-apa jenis suntikan tambahan seperti mana yang disyaratkan oleh KBDRAS di negara berkenaan

Pemeriksaan dan suntikan ini hendaklah diperolehi dari pegawai perubatan yang bertauliah. Pegawai perubatan tersebut hendaklah membuat pengesahan/ endorsement butir-butir pemeriksaan/ suntikan itu serta menurunkan cop rasmi (nama dan jawatan) beliau pada Buku/ Kad Kesihatan Antarabangsa.

Pembatalan/ Penundaan Pemergian Haji

Bakal haji yang telah menerima tawaran menunaikan haji tetapi berhasrat untuk menunda iaitu membatalkan pemergian haji boleh mengemukakan permohonan mereka ke pejabat TH yang berhampiran tetapi caj pembatalan/ penundaan akan dikenakan mengikut kadar tertentu.

Walaubagaimanapun, peluang menunaikan haji pada tahun berikutnya adalah tertakluk kepada kekosongan dan tiada jaminan bakal haji akan ditawarkan semula untuk menunaikan haji.

Kadar denda yang dikenakan kepada bakal haji yang membatalkan atau membuat penundaan adalah mengikut kategori berikut:

  1. Kategori I 
    Potongan RM 500 ke atas bakal haji yang membuat pembatalan atau penundaan selepas 1 Ramadhan 
     
  2. Kategori II
    Potongan RM 2,000 ke tas bakal haji yang membuat pembatalan atau penundaan selepas jadual penerbangan haji dikeluarkan atau bakal haji telah diperuntukkan kapal terbang
     
  3. Kategori III
    Potongan RM 4,000 ke atas bakal haji yang membuat pembatalan atau penundaan selepas visa haji diperolehi.
     

PEKTA & PIHTAS

Program Pembangunan Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA)/
Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS)

Program Pengkursus/ Pembimbing Ibadat Haji

Menyedia dan melaksanakan program Pembangunan Pengkursus/ Pembimbing Ibadat Haji seperti berikut:

  1. Bengkel Penilaian Ibadat Haji Tanah Suci
  2. Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan
  3. Kelas Intensif Tafaqquh Haji dan Umrah
  4. Kursus Pengukuhan Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS)
  5. Kursus Training of Trainers; (TOT) bagi pengkursus Baru

Program-program ini diadakan bagi membentuk PEKTA/ PIHTAS yang berilmu, seragam dan selaras serta mampu membimbing jemaah haji di Malaysia dan Tanah Suci dengan baik dan berkesan.

Mereka yang telah mengikuti program ini dengan jaya akan diberi Kad Tauliah mengajar Haji dan Umrah oleh TH. PEKTA yang telah diberikan kad tauliah mengajar haji dan umrah telah tamat tempoh hendaklah membuat permohonan pembaharuan dengan mengisi borang Brg/PH/HB/05-05 (pindaan 4/2015) selewat-lewat 2 bulan sebelum tamat tarikh kuatkuasa kad. 

Pelantikan Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA)

Membuat permohonan melalui pejabat TH Negeri atau Daerah dengan mengisi borang permohonan Brg/PH/HB/05-03 (pindaan 4/2015). Hendaklah memenuhi kriteria berikut sebelum mengisi borang:

  1. Telah menunaikan fardhu haji dan umrah
  2. Telah mempunyai tauliah mengajar yang sah dan masih berkuatkuasa dari Majlis/ Jabatan Agama Islam Negeri
  3. Mempunyai latarbelakang pendidikan agama dengan kelulusan Diploma Pengajian Islam/ Pendidikan Islam
  4. Berakhlak mulia dan tidak merokok.

*Pemohon akan mengambil ujian bertulis dan lisan sebelum dilantik menjadi PEKTA. 

Pelantikan Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS)

  1. Menjadi PEKTA Negeri atau Daerah serta dicalon oleh Pengarah TH Negeri
  2. Disahkan oleh Bahagian Bimbingan
  3. Menghadiri muzakarah haji (dalam tempoh 3 tahun terdahulu)
  4. Lulus temu duga Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci
  5. Tidak terlibat membawa jemaah haji
  6. Sihat tubuh badan dan umur tidak melebihi 60 tahun

Sijil Pembimbing Ibadat Haji (SPIH)

Sijil Pembimbing Ibadat Haji (SPIH) merupakan program usahasama TH dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam usaha memastikan setiap PEKTA melalui proses pembelajaran berbentuk akademik secara sistematik dan berkesan untuk membimbing jemaah haji.

Muat Turun Borang Penyertaan

Perkhidmatan Badal Haji

Badal Haji adalah haji yang ditunaikan oleh seseorang untuk orang lain menurut syarat-syarat tertentu. Badal Haji merupakan khidmat tambahan TH kepada Pendeposit. TH akan membuka pendaftaran Badal Haji bermula pada bulan Rejab setiap tahun. Proses pendaftaran Badal Haji boleh dibuat di semua pejabat cawangan TH. Tarikh sebenar pendaftaran akan dimaklumkan kelak. Permohonan pendaftaran adalah terhad kepada 2000-3000 orang sahaja (di seluruh negara). Pendaftaran adalah secara terbuka dengan konsep yang dahulu di dahulukan.

Bayaran pendaftaran Badal Haji ialah RM3,000.00 untuk satu permohonan. TH akan mendebitkan amaun bagi bayaran tersebut dari Akaun TH pemohon. Sebagai tanda penyempurnaan ibadat Badal Haji ini TH akan memberi hadiah barangan Badal Haji iaitu : Sijil, Kopiah, Sejadah, Tasbih dan Kain Tudung (Wanita) selepas selesai operasi haji tahun semasa. 

Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (TH-JAKIM)

Keanggotaan jawatankuasa adalah terdiri daripada 10 orang ahli yang terdiri daripada para alim ulama dan ahli akademik yang mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam pelbagai disiplin dan ilmu Islam.  Pengurus Besar Bimbingan Haji adalah sebagai Setiausaha jawatankuasa ini. 

Jawatankuasa adalah bertanggungjawab terhadap perkara-perkara berikut: 

  1. Memutuskan kedudukan hukum hakam berkaitan isu-isu ibadat haji yang dirujuk.
  2. Memberi cadangan kepada Pengurusan TH berkaitan isu-isu pelaksanaan ibadat haji.
  3. Mengesahkan semakan ke atas bahan penerbitan ibadat haji yang dikeluarkan oleh TH.
  4. Bertugas sebagai Pakar Rujuk Ibadat Haji dalam Rombongan Jemaah Haji Malaysia ke Tanah Suci.

Senarai Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (TH - JAKIM)

Pengerusi

Sohibus Samahah Datuk Dr. Haji Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri, PMW

Ahli-ahli

  • Dato’ Dr. Haji Nooh bin Gadot PIS, DPMJ, PLP
  • Dato’ Haji Fadzil bin Haji Awang DSDK, SDK, AMK, BCK
  • Dato’ Haji Wan Mohamad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz DSDK, AMN, KSD
  • Datuk Haji Mohamad Nordin Bin Ibrahim, PMW, JSM, AMN
  • Prof Madya Dr Hajah Raihanah Haji Azahari
  • Dr Hajah Anisah Ab Ghani
  • Dr. Hajah Shamsiah bt Mohamad
  • Dato’ Haji Razali bin Haji Shahabudin

Perkhidmatan Pengelola Jemaah Haji (PJH)

Perkhidmatan pakej haji ditawarkan oleh Agensi Pelancongan Yang Diluluskan Lesen PJH :

Senarai Agensi yang memberikan perkhidmatan pakej haji bagi tahun semasa.