
Arab Saudi, 9 Jun 2025 - Lembaga Tabung Haji (TH) buat julung kalinya, menerima Diamond Award daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pada Majlis Penutupan Musim Haji 1446H, sebagai pengiktirafan tertinggi ke atas kecemerlangan pengurusan jemaah haji.
Kejayaan ini lahir daripada hubungan saling percaya dan kebertanggungjawaban bersama antara Tabung Haji dan para jemaah – satu ikatan yang menjadi asas kepada kelancaran dan kejayaan ibadah haji Malaysia di Tanah Suci.
Pada masa yang sama, kejayaan ini turut mencerminkan hubungan baik dan kerjasama erat antara Malaysia dan Arab Saudi dalam memastikan pengurusan ibadah haji dilaksanakan dengan teratur, selamat dan berkesan. Insya-Allah, TH akan terus menambah baik perkhidmatan demi kesejahteraan dan keselesaan jemaah serta kemabruran ibadah haji.
