PUTRAJAYA, 14 Februari 2026 : Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini, menyalurkan RM1.4 juta zakat wakalah kepada 14 sekolah pendidikan Islam di seluruh negara di bawah Program Sekolah Angkat MADANI. Setiap sekolah menerima RM100,000 yang memanfaatkan 700 pelajar menerusi penambahbaikan fasiliti, bantuan kewangan termasuk yuran pelajar fakir miskin serta bimbingan akademik dan latihan guru.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen TH dalam mengurus dan mengagih zakat secara strategik berlandaskan Maqasid Syariah, demi memperkasa pendidikan Islam dan membina modal insan berilmu, berakhlak serta berdaya saing untuk pembangunan ummah dan negara. Sumbangan zakat wakalah ini telah disempurnakan bersempena Program Ihya’ Ramadan 1447H Peringkat Kebangsaan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, yang dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan.