KUALA LUMPUR, 11 OKTOBER 2025: Lembaga Tabung Haji (TH) menyambut baik komitmen Kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat serta memanfaatkan hasil reformasi sepenuhnya kepada rakyat melalui Belanjawan MADANI Tahun 2026.
Belanjawan 2026 membuktikan aspirasi Kerajaan untuk mengagihkan hasil manfaat kepada rakyat menerusi keutamaan kebajikan yang diberikan kepada golongan yang layak.
TH juga menyokong penuh usaha Kerajaan dalam membantu mempermudah urusan bakal haji negara. Kerajaan telah bersetuju untuk menaikkan had pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tujuan menunaikan ibadat haji kepada RM10,000 berbanding kadar RM3,000 sebelum ini.
Bagi penjawat awam pula, kemudahan pengeluaran Gantian Cuti Rehat diperluas bagi tujuan menunaikan haji terhad kepada penebusan RM10,000 dengan peruntukan RM10 juta.
“Kemudahan ini akan dapat membantu lebih ramai bakal haji negara untuk mencukupkan simpanan haji. Inisiatif ini juga selari dengan usaha TH yang sedang giat meningkatkan kesedaran para pendeposit untuk meningkatkan kadar simpanan bagi melancarkan urusan ibadat haji,” kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Haji Mustakim Mohamad.
TH berharap agar sokongan Kerajaan dalam mengukuhkan kepentingan bakal haji dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk membantu perjalanan ibadat haji yang mabrur.
-TAMAT-