1 |
Mengapakah pengumuman Agihan Keuntungan TH sedikit lewat berbanding tahun lalu? |
- Pengumuman Agihan Keuntungan mulai tahun 2022 dibuat setelah prestasi dan kedudukan kewangan TH selesai diaudit pada awal suku kedua tahunan.
- Sebelum ini, pengumuman Agihan Keuntungan dilaksanakan pada suku pertama tahunan berdasarkan prestasi dan kedudukan kewangan awal sebelum audit selesai.
- Keputusan ini mengambil kira saranan penambahbaikan berikutan syor awal oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI).
|
2 |
Berapakah kadar dan jumlah Agihan Keuntungan bagi Tahun Kewangan 2022? |
- Agihan Keuntungan bagi Tahun Kewangan 2022 kekal pada kadar 3.10% setelah zakat sebanyak 2.57% dilunaskan bagi pihak pendeposit.
- Agihan Keuntungan bagi Tahun Kewangan 2022 adalah lebih tinggi berbanding dengan purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan, iaitu 2.34%.
- Agihan Keuntungan bagi Tahun Kewangan 2022 melibatkan jumlah sebanyak RM2.65 bilion dan memberi manfaat kepada lebih 8.7 juta pendeposit TH.
|
3 |
Bagaimanakah cara pengiraan Agihan Keuntungan Bagi Tahun Kewangan 2022? |
- Pengiraan Agihan Keuntungan bagi Tahun Kewangan 2022 adalah seperti tahun lalu, iaitu berdasarkan purata baki bulanan minimum yang disimpan sepanjang tahun.
- Formula pengiraan terperinci bagi Agihan Tahunan adalah seperti berikut:
- Purata Baki Simpanan Terendah Bulanan x 3.10% = (Baki simpanan terendah setiap bulan dari Januari–Disember 2022 / Bilangan Bulan) x 3.10%
|
4 |
Siapakah yang layak menerima Agihan Keuntungan bagi Tahun Kewangan 2022? |
- Pendeposit yang layak adalah:
- Akaun berstatus aktif pada 31 Disember 2022 dan kekal aktif semasa tarikh kredit Agihan Keuntungan dibuat; dan
- Membuka akaun pada atau sebelum 5 Disember 2022.
|
5 |
Siapakah yang tidak layak menerima Agihan Keuntungan bagi Tahun Kewangan 2022? |
- Pendeposit yang tidak layak adalah:
- Pendeposit dengan akaun tidak aktif dan berstatus dorman iaitu akaun pendeposit yang tidak mempunyai sebarang transaksi melebihi tujuh tahun berturut-turut;
- Pendeposit dengan akaun yang ditutup sebelum tarikh Agihan Keuntungan dibuat; dan
- Pendeposit dengan akaun yang dibuka selepas 5 Disember 2022 (tidak cukup satu bulan penuh).
|
6 |
Bagaimanakah Agihan Keuntungan dibayar kepada pendeposit? |
- Agihan Keuntungan akan dikreditkan terus ke dalam akaun pendeposit yang masih aktif dan layak menerima agihan keuntungan.
|
7 |
Bilakah Agihan Keuntungan bagi Tahun Kewangan 2022 boleh disemak oleh pendeposit? |
- Jumlah agihan keuntungan dan baki terkini boleh disemak mulai pukul 12:00 tengah hari, pada hari Sabtu, 29 April 2023 menerusi:
- Kaunter cawangan TH
- Kaunter cawangan bank-bank rakan strategik TH, iaitu Bank Islam dan Bank Rakyat
- Platform THiJARI
- Saluran elektronik bank rakan strategik TH, iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.
|
8 |
Adakah pendeposit masih perlu membayar zakat ke atas wang simpanan di TH? |
- Agihan Keuntungan bagi Tahun Kewangan 2022 ini diagihkan setelah zakat dilunaskan bagi pihak pendeposit.
- Pendeposit TH tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan serta agihan keuntungan yang diterima.
- TH melunaskan zakat bagi pihak pendeposit selaras dengan keputusan Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-17 pada 3 Mei 1979.
|
9 |
Berapakah zakat yang telah dilunaskan oleh TH bagi pihak pendeposit? |
- TH memperuntukkan zakat sebanyak RM97 juta bagi tahun 2022 yang akan dilunaskan sepenuhnya kepada semua Majlis Agama Islam Negeri bagi pihak pendeposit.
- Pembayaran zakat kepada Majlis Agama Islam Negeri adalah berdasarkan nisbah baki simpanan pendeposit mengikut negeri.
- Sehingga kini, TH telah melunaskan zakat secara terkumpul sebanyak RM1.27 bilion.
|
10 |
Adakah TH mengeluarkan resit bagi bayaran zakat pendeposit? |
- TH membayar zakat bagi pihak pendeposit berdasarkan pendekatan hukum khultoh iaitu harta yang bercampur.
- Jenis zakat yang dibayar adalah zakat perniagaan dan bukan zakat simpanan kerana pendeposit telah mewakilkan kepada TH untuk mengurus pelaburan dana simpanan pendeposit.
- Sehubungan itu, resit zakat tidak akan dikeluarkan.
|
11 |
Bagaimanakah prestasi dan kedudukan kewangan bagi tahun 2022? |
- Pendapatan pelaburan TH kekal berdaya tahan meskipun dalam ekonomi mencabar dan pasaran yang tidak menentu. Pengurusan perbelanjaan pula berjaya dikawal walau berdepan tekanan inflasi.
- TH telah catat pendapatan kasar sebanyak RM3.85 bilion bagi tahun 2022 berbanding RM3.72 bilion bagi tahun 2021.
- Kedudukan kewangan TH terus kekal positif dengan aset berjumlah RM90.92 bilion melebihi liabiliti, dimana simpanan pendeposit berjumlah RM87.60 bilion merupakan komponen terbesar liabiliti TH.
|
12 |
Adakah prestasi kewangan TH terkesan dengan keadaan ekonomi dan pasaran tahun 2022? |
- Keadaan persekitaran pelaburan tahun 2022 amat mencabar bagi semua institusi pelaburan, termasuk TH.
- Pasaran saham domestik dan global terjejas lebih 10%, pasaran modal (sukuk) pula terkesan dengan kenaikan agresif kadar pembiayaan.
- Agihan Keuntungan dan Bantuan Kewangan Haji saling berkait rapat kerana ianya datang daripada sumber pendapatan yang sama. Sekiranya Bantuan Kewangan Haji diberikan tinggi, maka ia akan turut mempengaruhi kadar Agihan Keuntungan kepada para pendeposit. Sejak 2001, TH telah menanggung Bantuan Kewangan Haji sebagai sebahagian daripada perbelanjaan sebanyak RM2.23 bilion.
|
13 |
Apakah usaha yang telah dilaksanakan oleh TH dalam keadaan ekonomi mencabar pada tahun 2022? |
- Semua institusi pelaburan termasuk TH terpaksa berdepan dengan ketidaktentuan pasaran sepanjang 2022.
- TH telah mengambil pendekatan pelaburan yang lebih berhati-hati berlandaskan alokasi aset strategi untuk menghadapi persekitaran yang tidak menentu.
- Walaupun berhadapan tekanan inflasi, TH telah berjaya mengawal perbelanjaan lain dengan jumlah perbelanjaan operasi menurun sebanyak 3% berbanding 2021.
|
14 |
Mengapakah tanggungan Bantuan Kewangan Haji TH memberikan kesan kepada Agihan Keuntungan? |
- Bantuan Kewangan Haji meningkat saban tahun akibat kenaikan kos di luar kawalan TH terutama di Tanah Suci.
- Kos menunaikan haji telah meningkat sebanyak 25 peratus kepada RM28,632 seorang bagi musim haji 2022 berbanding RM22,900 pada 2019. Kenaikan kos ini menyebabkan Bantuan Kewangan Haji meningkat kepada 55 – 65 peratus daripada kos haji seorang jemaah Muassasah.
- Bemula tahun 2022, TH memperkenalkan Bantuan Kewangan Haji secara bersasar, mengambil kira kemampuan jemaah haji dan kelestarian institusi haji negara ini menanggung bebanan kewangan tersebut.
|
15 |
Bagaimana pula jika dibandingkan Kadar Agihan Keuntungan Tahun 2022 dengan dana/institusi lain? |
- TH ditubuhkan untuk membantu umat Islam menyimpan wang bagi menunaikan haji. Matlamat ini mempengaruhi cara TH merangka strategi pelaburan, tahap risiko dan tahap kecairan yang akan menentukan kadar pulangan yang diperolehi.
- Institusi pelaburan yang lain mempunyai matlamatnya yang tersendiri dan ini akan mendorong mereka untuk mempunyai strategi pelaburan, tahap risiko dan tahap kecairan yang berlainan juga.
- Ini bermakna Kadar Agihan Keuntungan TH tidak boleh dibandingkan secara saksama dengan institusi pelaburan yang lain kerana tujuan penubuhan yang berbeza.
- Selain itu, simpanan di TH adalah kekal selamat kerana dijamin sepenuhnya (tanpa had amaun) oleh Kerajaan seperti yang termaktub di dalam Akta Tabung Haji 1995, selain zakat telah dibayar bagi pihak pendeposit, di mana kelebihan ini tiada di dana/institusi lain.
|
16 |
Bagaimana jika Agihan Keuntungan TH dibandingkan deposit tetap perbankan Islam dan deposit tabungan perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan? |
- Aliran masuk dan keluar jumlah simpanan akaun di TH adalah atas permintaan, tidak dikenakan sebarang had dan boleh dilakukan melalui pelbagai platform perbankan atas talian.
- Ini menunjukkan simpanan akaun di TH adalah seperti deposit tabungan perbankan Islam dimana ia amatlah berbeza jika dibandingkan dengan lain- lain pelaburan seperti deposit tetap perbankan Islam, pelaburan di koperasi, pelaburan di amanah saham dan pelaburan untuk persaraan.
- Kadar Agihan Keuntungan bagi Tahun Kewangan 2022 adalah jauh lebih tinggi berbanding purata kadar deposit tabungan perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan (0.35%) dan purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan (2.34%) dimana aliran keluar jumlah deposit tetap adalah bukan atas permintaan.
|
17 |
Adakah Kadar Agihan Keuntungan akan berubah mengikut keuntungan TH pada tahun-tahun berikutnya? |
- Agihan keuntungan kepada pendeposit adalah berdasarkan prestasi dan kemampuan kewangan TH pada tahun semasa dan tertakluk kepada pematuhan kehendak Akta Tabung Haji 1995.
|
18 |
Bagaimana trend simpanan oleh pendeposit pada tahun 2022 berbanding 2021? |
- Jumlah simpanan pendeposit telah meningkat kepada RM87.60 bilion pada 31 Disember 2022.
- Simpanan pendeposit meningkat sebanyak RM4.27 bilion atau 5% berbanding RM83.33 bilion pada 31 Disember 2021.
|