
KUALA LUMPUR, 6 Oktober 2025 - Lembaga Tabung Haji (TH) melancarkan Program Literasi Kewangan bagi meningkatkan ilmu kewangan pendeposit dan menggalakkan tabiat menabung untuk menunaikan ibadat haji.
Program ‘Cilik-Cilik Dah Celik’ ini diadakan bersempena dengan Bulan Literasi Kewangan (FLM) 2025 dan dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Majlis pelancaran telah dihadiri hampir 100 keluarga terpilih sebagai kumpulan perintis.
Majlis pelancaran dan bengkel pendidikan ini merupakan langkah pertama peserta memulakan perjalanan enam (6) bulan penuh ilmu melalui enam (6) modul menarik yang padat dengan ilmu kewangan berimpak tinggi.
Sepanjang enam bulan, peserta dibimbing melalui bengkel, simulasi, pembelajaran digital, gamifikasi dan pemantauan simpanan anak. Ganjaran bulanan serta hadiah utama turut ditawarkan kepada peserta yang konsisten menabung.
Inisiatif ini dilihat bakal menjadi langkah awal TH dalam membina budaya menabung dan melahirkan generasi celik kewangan yang bersedia menunaikan Rukun Islam kelima pada masa hadapan.
