KUALA LUMPUR, 26 NOVEMBER 2025: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyumbangkan dua unit ambulans 4x4 kepada Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) bagi meningkatkan keupayaan operasi kecemasan dan bantuan kemanusiaan di seluruh negara khususnya di kawasan berisiko tinggi dan sukar diakses.
Sumbangan zakat wakalah TH bernilai RM570,000 ini membuktikan komitmen berterusan TH dalam menyokong usaha kemanusiaan dan kesiapsiagaan bencana, selari dengan peranannya dalam menjaga kebajikan ummah.
Ambulans tersebut akan memperkukuh kemampuan BSMM untuk menembusi kawasan pedalaman, laluan berbukit, lokasi banjir serta situasi bencana yang tidak boleh dimasuki ambulans biasa. Keupayaan ini membolehkan pasukan perubatan BSMM memberikan rawatan awal dengan lebih pantas, terutama pada masa yang kritikal untuk menyelamatkan nyawa.