Soal Jawab : Persediaan Awal Bakal Haji Sebelum Penerimaan Tawaran Haji
1. Apakah tujuan makluman peringatan awal haji dikeluarkan?
Tujuan makluman peringatan awal ini adalah untuk memberi ruang kepada bakal haji membuat persediaan awal dari segi kesihatan, kewangan dan urusan peribadi lain sebelum tawaran rasmi dikeluarkan.
2. Adakah makluman ini bermaksud tawaran haji telah diberikan?
Tidak. Makluman ini hanyalah satu peringatan awal kepada jemaah dalam giliran haji 1447H/2026M bagi tujuan persediaan dan tidak membawa maksud tawaran haji telah diberikan.
3. Bagaimanakah bakal haji akan dimaklumkan mengenai makluman peringatan awal ini?
Makluman peringatan awal akan dihantar kepada bakal jemaah haji dalam tahun giliran haji 1447H/2026M melalui SMS, e-mel dan notifikasi di THiJARI.
4. Adakah bakal haji perlu mengesahkan penerimaan makluman peringatan awal ini?
Tidak perlu. Pengesahan penerimaan hanya akan diminta apabila tawaran haji rasmi dikeluarkan oleh pihak Tabung Haji (TH) kepada jemaah haji yang layak.
5. Adakah makluman peringatan awal ini memberikan kelebihan kepada mana-mana kumpulan tertentu?
Makluman peringatan awal ini bertujuan membantu semua bakal haji untuk bersedia lebih awal bagi mencapai kemampuan dari segi kesihatan dan kewangan tanpa mengira latar belakang. Tawaran rasmi tertakluk kepada pengesahan kuota, pematuhan syarat kelayakan dan dasar semasa yang ditetapkan oleh TH.
6. Apakah tindakan yang perlu diambil selepas menerima peringatan awal ini?
Bakal haji disarankan untuk melaksanakan semakan kendiri tahap kesihatan, menambah simpanan di TH bagi yang belum mencapai jumlah baki sebanyak RM15,000 iaitu merujuk kepada bayaran haji kategori B40 musim haji 1446H/2026M, dan mengikuti perkembangan melalui saluran rasmi TH.
7. Jika saya menerima peringatan awal, adakah saya pasti akan menerima tawaran rasmi?
Tawaran rasmi tertakluk kepada pengesahan kuota, pematuhan syarat kelayakan dan dasar semasa yang ditetapkan oleh TH.
8. Bolehkah saya menolak makluman peringatan awal ini?
Tiada tindakan diperlukan untuk menolak makluman peringatan awal kerana ia hanyalah notifikasi. Tawaran rasmi apabila dikeluarkan nanti akan memberikan opsyen sama ada untuk terima atau tolak.
9. Adakah bakal haji yang menerima makluman awal akan diberikan keutamaan?
Keutamaan masih berdasarkan sistem giliran dan merit yang ditetapkan oleh TH, dan makluman awal tidak mempengaruhi sistem pemilihan rasmi.
10. Di mana saya boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai makluman peringatan awal atau tawaran haji?
Segala maklumat berkaitan boleh diperoleh melalui aplikasi THiJARI, laman sesawang rasmi TH (www.tabunghaji.gov.my), platform media sosial rasmi TH atau dengan menghubungi THCC di 03-6207 1919.
11. Adakah bakal jemaah turut mendapat saringan/pemeriksaan kesihatan percuma sepertimana semasa tawaran haji?
Sebelum tawaran haji rasmi diterima, bakal haji disarankan untuk melaksanakan semakan tahap kesihatan secara kendiri bagi membuat persiapan lebih awal.
12. Sekiranya bakal jemaah tidak dapat mencukupkan deposit kepada paras bayaran haji minima, adakah tawaran rasmi tidak dibuat?
Keutamaan untuk menerima tawaran haji akan diberikan kepada jemaah haji yang telah mencukupkan RM15,000 di dalam akaun TH selewat-lewatnya sebelum awal suku tahun keempat tahun 2025.
13. Bagaimana bakal jemaah boleh mempelajari tentang haji sekiranya Kursus Asas Haji belum bermula?
Bakal jemaah boleh mengikuti Kursus Asas Haji secara dalam talian melalui platform rasmi TH di YouTube.
14. Apakah jumlah simpanan yang disarankan untuk persediaan menunaikan haji?
Bakal haji disarankan untuk mempunyai simpanan minimum sekurang-kurangnya RM15,000 sebagai persediaan awal bayaran haji. Ini adalah berdasarkan kadar bayaran haji bagi mereka yang menerima Bantuan Kewangan Haji kategori B40 pada tahun 1446H.
Namun begitu, kadar sebenar adalah tertakluk kepada kadar yang dimuktamadkan untuk musim haji semasa. Oleh itu, menyimpan secara berkala dan sistematik akan membantu mengurangkan beban kewangan apabila tiba waktu tawaran diterima kelak.
15. Bagaimanakah saya boleh membuat simpanan berkala atau berjadual di dalam akaun TH?
TH menyediakan kemudahan kepada para pendeposit menyimpan secara berkala melalui potongan gaji dan potongan dari akaun bank (direct debit) di platform THiJARI.
16. Adakah TH menyediakan panduan kesihatan atau senarai semak persediaan awal?
TH menyarankan bakal haji untuk mulai menjaga tahap kesihatan dengan melakukan pemeriksaan awal secara kendiri di mana-mana fasiliti kesihatan. Antara aspek yang boleh diberi perhatian termasuklah kawalan berat badan (BMI), tekanan darah, kencing manis dan tahap kecergasan asas. Penyakit-penyakit kronik seperti buah pinggang, paru-paru, hati, jantung dan saraf, kanser, penyakit berjangkit dan mental tidak boleh menunaikan haji.
17. Bilakah bakal jemaah perlu mencukupkan simpanan kepada RM15,000?
Bakal jemaah haji disarankan untuk menabung secara konsisten dan mencukupkan simpanan sekurang-kurangnya RM15,000 bagi tujuan melayakkan diri untuk menerima tawaran haji yang dijangka akan dikeluarkan dalam awal suku ke-empat tahun 2025.