KUALA LUMPUR, 24 OKTOBER 2025 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan pelantikan 31 syarikat pelancongan yang diberikan lesen rasmi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) untuk menawarkan Pakej Haji bagi Musim 1447H/2026M.
Ketua Jabatan Haji, Tuan Haji Mohd Hisham Harun berkata Jawatankuasa Urusan Haji telah melaksanakan penilaian ke atas permohonan lesen daripada 60 buah syarikat. Setelah semakan teliti meliputi aspek keupayaan kewangan, pematuhan undang-undang, rekod pengurusan jemaah serta prestasi operasi terdahulu, 31 syarikat telah diluluskan bagi musim 1447H/2026M berbanding 37 syarikat pada musim haji lepas.
“Pelantikan ini mencerminkan komitmen berterusan TH dalam memastikan PJH beroperasi mengikut piawaian, garis panduan dan syarat yang ditetapkan selaras dengan tanggungjawab TH sebagi peneraju urusan haji negara,” jelas beliau.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap tawaran pakej haji oleh pihak tidak berlesen. Semua bakal jemaah disaran menyemak senarai rasmi PJH berlesen melalui portal TH di www.tabunghaji.gov.my.
“TH menegaskan bahawa sebarang tawaran haji oleh pihak tidak berlesen adalah menyalahi Akta Tabung Haji 1995 dan boleh dianggap sebagai penipuan (scam). Tindakan tegas akan diambil oleh pihak berkuasa terhadap individu atau agensi yang terlibat dan menyeru semua umat Islam yang berhasrat menunaikan haji agar hanya berurusan dengan PJH yang sah dan dilesenkan oleh TH,” jelasnya lagi.
Dilampirkan senarai 31 PJH berlesen bagi Musim Haji 1447H/2026M.