SEPANG, 30 OKTOBER 2025: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini telah menyerahkan lesen kepada 31 syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi musim haji 1447H/2026M, setelah proses pemilihan rapi dilakukan demi keselamatan dan kebajikan jemaah haji negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar berkata syarikat yang menerima lesen PJH musim ini telah melepasi semakan teliti meliputi aspek keupayaan kewangan, pematuhan undang-undang, rekod pengurusan jemaah serta prestasi operasi terdahulu.
“Berdasarkan proses semakan, penilaian dan pemilihan yang dilakukan ini, saya berkeyakinan syarikat PJH yang dilesenkan oleh Tabung Haji memiliki kapasiti teguh, kepakaran dan pengalaman mencukupi serta berwibawa dalam memberikan perkhidmatan terbaik dan menjaga kebajikan jemaah haji Malaysia,” katanya semasa ucapan perasmian Majlis Serahan Lesen PJH 1447H/2026M hari ini.
Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im turut menyeru semua PJH 1447H/2026M untuk terus menawarkan pakej haji ekonomi bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia menunaikan ibadah haji dengan nilai tambah pada kadar yang berpatutan.
Pada musim haji yang lepas, 28% daripada keseluruhan jemaah haji PJH telah memilih pakej haji ekonomi dengan harga di bawah RM55,000. Bagi musim haji kali ini, terdapat pelbagai pilihan pakej yang ditawarkan mengikut kemampuan dan kesesuaian bakal haji, dan harga bermula daripada RM40,000 sehingga RM329,990.
Sementara itu, beliau juga menegaskan Kerajaan memandang serius isu penipuan yang melibatkan jemaah haji saban tahun, khususnya mereka yang terpedaya dengan tawaran tidak sah daripada pihak tidak bertanggungjawab.
“Pada musim haji yang lepas, Kerajaan Arab Saudi telah mengeluarkan arahan tegas iaitu hanya individu yang memiliki visa haji yang sah sahaja dibenarkan berada di Makkah semasa musim haji. Saya amat yakin, mereka akan terus memperketatkan lagi peraturan ini pada musim haji 1447H dan juga musim-musim haji yang akan datang bagi memastikan keselamatan dan keselesaan seluruh jemaah haji dunia,” kata beliau.
Kerajaan Arab Saudi telah menguatkuasakan undang-undang bagi mana-mana individu yang didapati berada di Makkah dan kawasan Masyair (Arafah, Muzdalifah dan Mina) tanpa visa haji yang sah akan ditahan dan dikenakan denda sehingga SAR20,000, diusir keluar tanpa sempat menunaikan haji dan disenarai hitam daripada memasuki Arab Saudi selama tempoh 10 tahun.
TH telah membuat peringatan secara berkala melalui pelbagai platform hebahan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai supaya tidak terpedaya dengan tawaran pakej haji yang meragukan. Mana-mana individu atau syarikat yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan TH boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995.
Surat tawaran haji kepada 31,600 bakal jemaah bagi musim haji 1447H/2026M telah mula dikeluarkan secara berperingkat mulai 24 Oktober 2025 dan permohonan rayuan haji akan dibuka bermula pada 3 November 2025. Bakal haji boleh menyemak status tawaran dan membuat permohonan rayuan melalui platform aplikasi atau laman sesawang THiJARI.
-TAMAT-
 
          