Hibah TH

Hibah TH adalah “hadiah” yang diisytihar oleh TH, berdasarkan konsep Wadiah Yad Dhamanah iaitu mengikut kemampuan kewangan TH pada tahun semasa.

Hibah tidak wajib dibayar oleh TH. Walaupun amalan pemberian hibah dibenarkan, ia tidak boleh dijadikan sebagai amalan tetap bagi mengelakkan amalan tersebut dikira sebagai “‘urf” (kebiasaan) yang menyerupai syarat dalam kontrak deposit berasaskan wadi’ah. Mensyaratkan pulangan dalam bentuk hibah terhadap simpanan wadi’ah boleh menjerumuskan akad tersebut ke dalam riba yang diharamkan syarak dan pulangan itu menjadi sesuatu yang tidak bersih.

Pemberian dan cara hibah TH dilakukan adalah seperti yang termaktub dalam Akta Tabung Haji 1995, Sekyen 22 (1) & (2):

Seksyen 22;
(1)   Tertakluk kepada seksyen ini, Lembaga boleh mengikut budi bicara mutlaknya menentukan pada bila-bila masa sama ada wajar untuk mengisytiharkan suatu jumlah wang sebagai untung boleh agih berkenaan dengan apa-apa tempoh atau tahun tertentu Kumpulan Wang dan jika ia menentukan untuk mengisytiharkan sedemikian, Lembaga hendaklah, dengan kelulusan Menteri, mengisytiharkan suatu jumlah wang sebagai untung boleh diagihkan berkenaan dengan apa-apa tempoh atau tahun tertentu Kumpulan Wang itu.
 
(2)   Jika suatu perisytiharan dibuat di bawah subseksyen (1), Lembaga hendaklah juga menentukan cara, amaun dan masa bagi mengkreditkan untung boleh agih itu kepada setiap pendeposit.

Sejak ditubuhkan, TH sentiasa berusaha memberi Hibah Tahunan kepada para pendeposit kami. TH turut memberi tambahan hibah khas kepada para pendeposit sempena peristiwa-peristiwa istimewa seperti Hari Kemerdekaan Malaysia ke-50 (2007), Ulangtahun ke-50 TH (2012) dan Hibah Haji bermula 2013 sehingga kini.

Hibah TH 2017

Hibah TH 

4.50%

Hibah Tahunan

+

1.75%

Hibah Haji 

Pengiraan Hibah TH 

Hibah Tahunan
(4.50%)

Akaun Pendeposit TH Aktif

Kiraan:

Baki purata minima bulanan X 4.50%

(Januari-Disember 2017/12 Bulan) X 4.50%

Hibah Haji
(1.75%)

Akaun Pendeposit Belum Tunai Haji

Akaun simpanan yang baki purata RM9,980 atau kurang

Kiraan:

Baki purata minima bulanan (tertakluk kepada maksimum RM9,980.00) X 1.75%  

(Januari-Disember 2017/12 Bulan) X 1.75%

NOTA: Hibah Haji – Hibah khas yang diberi kepada para pendeposit TH yang belum pernah menunaikan haji dan terhad kepada bayaran haji semasa (RM9,980).

Pelaburan KWSP di TH

  1. Pendeposit akan ada dua (2) akaun iaitu akaun simpanan biasa TH dan satu lagi akaun simpanan dari KWSP.
  2. Akaun simpanan dari KWSP tidak boleh dibuat pengeluarannya sehingga pendeposit berumur 55 tahun dan jumlah simpanan ini akan dipindahkan ke akaun simpanan TH yang biasa.
  3. Akaun simpanan dari KWSP hanya layak menerima Hibah Tahunan TH mengikut kadar dan asas kiraan yang sama seperti pendeposit akaun simpanan TH.
  4. Akaun simpanan dari KWSP ini TIDAK akan menerima Hibah Haji. Hibah Haji hanya diberikan pada akaun simpanan biasa TH sahaja tertakluk kepada yang belum tunai haji dan terhad pada jumlah asas RM9,980.00 (bayaran haji bagi jemaah haji muassasah yang belum pernah menunaikan haji).
  5. Sebelum pendeposit berumur 55 tahun, pengeluaran hanya dipindahkan semula kepada akaun mereka di KWSP.

Muat Turun Soalan Lazim Hibah TH 2017 di sini.

Para pendeposit boleh menyemak pengkreditan Hibah Tahunan TH 2017 melalui kaunter TH, Bank Islam dan Bank Rakyat. Semakan baki simpanan juga boleh dilakukan di ATM dan portal internet bank-bank rakan strategik Bank Islam, Bank Rakyat dan Maybank Islamik (Maybank2u) serta Portal Internet TH (THiJARI) dan aplikasi mobile (THiJARI) mulai isnin, 12 Februari 2018.