KUALA LUMPUR, 5 OGOS 2025: Lembaga Tabung Haji (TH), institusi pengurusan haji komprehensif negara, mengeluarkan makluman peringatan awal kepada bakal-bakal jemaah dalam giliran bagi musim haji 1447H/2026M untuk bersedia lebih awal terutamanya dari aspek kemas kini rekod maklumat peribadi, kesihatan, kewangan, pengurusan diri, dan penambahan ilmu berkaitan fardhu ain dan haji.
Giliran menunaikan haji boleh disemak di platform THiJARI atau di pejabat cawangan TH di seluruh negara. Langkah proaktif ini selari dengan usaha berterusan TH dalam mempertingkatkan perkhidmatan bagi manfaat jemaah haji Malaysia.
Ibadat haji yang merupakan rukun Islam kelima hanya diwajibkan bagi umat Islam yang berkemampuan merangkumi aspek kesihatan, kewangan, kebenaran pihak berkuasa (kuota) dan keselamatan.
Makluman peringatan awal ini dikeluarkan bagi membantu bakal jemaah untuk membuat persediaan sepenuhnya lebih awal kerana berdasarkan pengalaman sebelum ini bakal-bakal jemaah tidak berjaya melayakkan diri menerima tawaran haji terutamanya atas faktor kesihatan dan kewangan. Dengan peringatan awal ini, diharapkan bakal haji dalam giliran akan mempunyai tempoh masa persediaan yang lebih panjang untuk layak menerima dan menjawab tawaran haji.
“Ibadat haji adalah ibadat yang memerlukan persediaan yang amat rapi bagi memenuhi aspek kemampuan menunaikannya (Istito’ah). Peringatan mesra dari TH ini diharap dapat membantu bakal jemaah meningkatkan ketersediaan mereka untuk layak menjawab tawaran dan kemudian menunaikan ibadat haji dengan lancar bagi mendapatkan haji mabrur, insya-Allah,” kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Haji Mustakim Mohamad.
For frequently asked questions (FAQ), click here.