Balai Berita

2012

December 2012

20 December 2012 News | Corporate
LAWATAN AHLI DEWAN PARLIMEN INDONESIA

Lembaga Tabung Haji menerima kunjungan kerja Ahli Dewan Parlimen Indonesia yang diketuai oleh Bapak Radityo Gambiro, wakil Ketua Komisi 8 Bidang Agama, Haji dan Sosial Indonesia. Delegasi seramai 17 orang ini terdiri daripada ahli-ahli Parti Demokrat, Parti Kebangkitan Bangsa, Parti Golkar, Parti Keadilan Sejahtera, Parti Persatuan Pembangunan dan Parti Demokrasi Indonesia. Para delegasi diberikan penerangan mengenai pengurusan haji oleh Haji Mohd Rizzal Khalid, Pengurus Kanan Sistem dan Proses Haji, Jabatan Haji. Ahli Dewan Parlimen Indonesia yang hadir turut berkongsi maklumat mengenai pengurusan haji yang dilaksanakan di Indonesia.

17 December 2012 News | Corporate
KARNIVAL BN JOB FAIR 2012

Siri jelajah Karnival Kerjaya BN Youth Job Fair 2012 yang berakhir di Pusat Dagangan Dunia Putra telah mendapat sambutan menggalakkan menerusi kunjungan hampir 100,000 orang dari seluruh negara sepanjang program berkenaan berlangsung. Lembaga Tabung Haji tidak ketinggalan menyertai Karnival BN Youth Job Fair 2012 yang diadakan bermula pada 16 November sehingga 18 November 2012. Majlis perasmian karnival tersebut disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, YB. Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein dan turut dihadiri oleh Haji Zainal Abidin Omar, Pengurus Besar Pembangunan Sumber Manusia dan Kualiti Tabung Haji.

13 December 2012 News | Corporate
MAJLIS KESYUKURAN TAMAT OPERASI HAJI 1433H

Lembaga Tabung Haji mengadakan Majlis Kesyukuran Sempena Tamatnya Operasi Haji Musim 1433 Hijrah sebagai tanda kesyukuran atas hasil kejayaan Tabung Haji dan rakan-rakan strategiknya dalam menguruskan operasi haji pada tahun ini. Majlis ini juga adalah untuk merakamkan tanda penghargaan Tabung Haji kepada pihak-pihak yang telah bersama-sama menjayakan operasi haji di Tanah Air dan Tanah Suci.

12 December 2012 News | Corporate
ANGGOTA TH SUMBANG RM20,500 UNTUK TABUNG TANGISAN GAZA

Lembaga Tabung Haji telah menyerahkan kutipan sumbangan kepada Tabung Tangisan Gaza, berjumlah RM20,500.00 kepada wakil Jabatan Perdana Menteri (JPM), di ibu pejabatnya di Jalan Tun Razak. Kutipan sumbangan ini telah dijalankan sebagai tanda simpati, sokongan dan keprihatinan Anggota Tabung Haji di Ibu Pejabat, Pejabat Negeri dan Cawangan di seluruh Malaysia serta surau Tabung Haji terhadap inisiatif Kerajaan dalam menyokong perjuangan serta membantu meringankan penderitaan yang dilalui oleh rakyat Palestin, terutama sekali mereka yang mendiami kawasan Tebing Gaza. Kutipan untuk tabung ini diharap dapat membantu pembelian barangan keperluan seperti ubat-ubatan, makanan dan pakaian.

6 December 2012 News | Corporate
LAWATAN PESERTA DIPLOMA PENGURUSAN AWAM DARI INSTITUT TADBIRAN AWAM NEGARA KAMPUS WILAYAH SELATAN

Seramai 41 orang Pegawai Tadbir dan Diplomatik Gred M41 yang sedang mengikuti kursus Diploma Pengurusan Awam di Institut Tadbiran Awam Negara kampus Wilayah Selatan, Kluang, Johor telah mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Tabung Haji. Rombongan berkenaan telah diberikan taklimat mengenai pengurusan sumber manusia dan organisasi Tabung Haji oleh Dato' Kamarudin Mat Ali, Ketua Pegawai Operasi; Haji Zainal Abidin Omar, Pengurus Besar Pembangunan Sumber Manusia dan Kualiti serta Hajah Zurita Ahmad Raffie, Pengurus Perjawatan dan Pembangunan Organisasi. Rombongan pelawat kemudiannya dibawa melawat kaunter dengan lebih dekat lagi. Di kesempatan itu, peserta-peserta turut mengambil peluang menjadi ahli baru Tabung Haji dengan membuka akaun setelah sesi penerangan ringkas diadakan.

4 December 2012 News | Corporate
SAMBUTAN BULAN ZAKAT KEBANGSAAN DAN IJTIMA'AMIL KEBANGSAAN 2012

YB Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri hari ini telah merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Zakat Kebangsaan 2012 yang dianjurkan oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) di Hotel Marriot, Putrajaya. Majlis ini turut menyaksikan Tabung Haji menerima anugerah Zakat Kebangsaan Kategori Syarikat GLC yang diwakili oleh YBhg. Dato' Kamarudin Mat Ali, Ketua Pegawai Operasi untuk menerima anugerah.

November 2012

29 November 2012 News | Corporate
MAJLIS SAMBUTAN KEPULANGAN JEMAAH TERAKHIR BAGI MUSIM HAJI 1433H

Kumpulan terakhir jemaah haji Malaysia dari Tanah Suci bagi musim haji 1433H seramai 351 orang termasuk 30 orang petugas Tabung Haji telah selamat tiba pada pukul 2.00 petang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menerusi pesawat MAS MH 8291. Mereka yang bertolak dari Madinah telah disambut oleh Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Dato' Sri Abi Musa Asa'ari bin Mohamed Nor dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Dato' Paduka Ismee Ismail. Turut hadir YBhg. Dato' Syed Saleh Syed Abdul Rahman, Pengurus Besar Kanan Tabung Haji serta pengurusan kanan Tabung Haji.

27 November 2012 News | Corporate
TABUNG HAJI BUKA PAMERAN SEMPENA PERSIDANGAN UMNO 2012

Persidangan UMNO kali ke-66 telah berlangsung selama lima hari bermula pada 27 November sehingga 1 Disember 2012. Persidangan itu diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra turut menarik orang ramai dan para perwakilan UMNO untuk melawati pameran-pameran dan gerai-gerai yang disediakan. Lembaga Tabung Haji tidak ketinggalan membuka pameran berkenaan yang menawarkan perkhidmatan pendaftaran ahli baru, pendaftaran Kelab TaHa dan TaHa@U serta pendaftaran haji kepada orang ramai dan para perwakilan UMNO sepanjang persidangan berlangsung.

27 November 2012 News | Corporate
APYBC2012 AWARDS RECOGNITION & CHARITY GALA DINNER

Lembaga Tabung Haji telah memenangi Anugerah CSR Leadership Award oleh Young Entrepreneur Organization Malaysia (GMB). Anugerah telah disampaikan oleh YABhg. Datin Paduka Seri Rosmah Mansor, isteri Perdana Menteri kepada Hajah Anis Zuhani Ahmad, Pengurus Besar Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan yang mewakili Lembaga Tabung Haji. Majlis yang dianjurkan di Hotel Renaissance Kuala Lumpur ini turut dihadiri Haji Mohd Yassin Tahir, Ketua Pegawai Teknologi; Haji Mohd Khalid Mohd Nordin, Pengurus Besar Pengurusan Haji dan beberapa pengurusan Tabung Haji.

25 November 2012 News | Corporate
KEJOHANAN FUTSAL ANJURAN KELAB TAHA & TAHA@U DENGAN KERJASAMA BERITA HARIAN

Pasukan MAC FC dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam berjaya mempertahankan kejuaraan Kejohanan Futsal Kelab TaHa dan TaHa@U buat kali kedua selepas menewaskan Kotsal FC. Pasukan itu berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, piala pusingan dan sijil penyertaan. Bagi kategori Kelab TaHa pula dimenangi pasukan Court Soccer yang mengalahkan pasukan Qaseh. Kemenangan itu melayakkan mereka menerima wang tunai RM1,500, piala dan sijil penyertaan. Hadiah disampaikan oleh Pengurus Besar Khidmat Pelanggan Tabung Haji, Mohammad Saimi Mat Som kepada para pemenang.