Kuala Lumpur, 19 September 2025. Sebagai sebuah institusi pengurusan haji komprehensif negara, Lembaga Tabung Haji (TH) mengingatkan semua bakal jemaah haji untuk segera mengemas kini profil maklumat peribadi bagi memastikan proses komunikasi dan tawaran haji musim 1447H/2026M berjalan dengan lancar.
Semua bakal jemaah haji boleh menyemak giliran menunaikan haji bagi musim Haji 1447H/2026M di platform THiJARI atau di pejabat cawangan TH di seluruh negara.
Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Haji Mustakim Mohamad, berkata peringatan berterusan ini adalah sebahagian daripada komitmen TH untuk memastikan semua bakal jemaah haji dapat menerima maklumat terkini yang tepat, termasuklah jadual taklimat persediaan, kursus haji serta segala panduan perjalanan ke Tanah Suci.
“TH amat menekankan kepentingan maklumat yang tepat dan terkini bagi urusan haji dapat diatur dengan sebaik-baiknya. Kami berharap agar semua bakal haji dapat memberikan kerjasama untuk mengemas kini profil masing-masing dalam masa terdekat,” katanya.
Rekod TH mendapati terdapat sejumlah 521 bakal haji dalam senarai giliran 1447H/2026M tidak dapat dihubungi. Situasi ini boleh menjejaskan kelancaran penyampaian maklumat penting berkaitan persediaan dan pengurusan ibadat haji.
Sehubungan itu, TH menggesa semua pendeposit, terutamanya bakal haji dalam senarai giliran untuk mengambil tindakan segera dengan hadir ke pejabat cawangan TH terdekat atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919 bagi mengemas kini serta mengesahkan profil maklumat peribadi seperti nombor telefon, alamat surat-menyurat dan e-mel yang terkini.
Di samping itu, Mustakim turut mengingatkan semua bakal haji untuk membuat persediaan awal sebaiknya, baik dari aspek kesihatan, kewangan dan ilmu pengetahun berkaitan ibadah haji, bagi mememastikan urusan penerimaan tawaran haji serta perjalanan menuju ibadah haji yang mabrur dapat dilaksanakan dengan lancar.
-TAMAT-