KUALA TERENGGANU, 29 SEPTEMBER 2025: Lembaga Tabung Haji (TH) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu (PDTKT) serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Geng Plastik Ija (GPI) hari ini menganjurkan Program Penjagaan Pantai dan Surau bertempat di Pantai Pandak, Chendering.
Pelaksanaan program ini juga bertepatan dengan sambutan Hari Cuci Malaysia 2025 pada 27 September yang sejajar dengan World Cleanup Day, iaitu gerakan global melibatkan lebih 190 negara untuk memelihara kelestarian bumi.
Program julung kali ini menghimpunkan kira-kira 200 peserta terdiri daripada warga kerja TH, MBKT, PDTKT, GPI dan komuniti setempat. Inisiatif ini merupakan salah satu usaha TH untuk menyemai semangat sukarelawan serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar, disamping menyantuni masyarakat setempat.
Lebih daripada itu, program ini juga membawa mesej bahawa menjaga kebersihan alam sekitar adalah sebahagian daripada ibadah dan tanggungjawab bersama.
Berikutan pelaksanaan program buat julung kali ini, TH jelas menyatakan hasrat untuk memperluaskan inisiatif memupuk semangat kebersamaan, pemeliharaan ekosistem serta menyantuni masyarakat setempat seperti ini ke negeri-negeri lain pada masa akan datang.
“TH percaya usaha ini memberi manfaat berganda kepada komuniti setempat. Selain membersihkan kawasan pantai dan surau, program ini turut memupuk semangat kebersamaan serta kesedaran menjaga kebersihan.
Insya Allah, dengan terlaksananya program ini, TH mengorak langkah awal untuk menjadikan inisiatif kelestarian dan menyantuni komuniti sebagai agenda tahunan yang akan diperluaskan ke negeri-negeri lain pada masa hadapan,” kata Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Haji Mustakim Mohamad.
Beliau menambah, program ini adalah sebahagian daripada komitmen tahunan TH dalam mengintegrasikan prinsip ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) dengan nilai-nilai Islam, termasuk lima prinsip Maqasid Syariah yang menekankan pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. “Inisiatif ini mencerminkan komitmen TH bukan sahaja dalam menguruskan ibadat haji, tetapi juga sebagai sebuah institusi Islam yang prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat dan pemeliharaan ekosistem.
Insya Allah kita akan teruskan usaha ini ke negeri Perak pula pada tahun hadapan dan akan ke negeri-negeri lain, agar manfaatnya melangkaui sempadan organisasi,” tambah beliau.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Dato’ Jusman Ibrahim berkata, selain aspek kebersihan pantai, pengindahan dan penyelenggaraan surau juga diberi perhatian kerana ia merupakan kemudahan asas yang penting kepada orang ramai.
“Terengganu yang telah diiktiraf sebagai negeri paling bahagia di Malaysia kini menerima kehadiran pengunjung yang semakin meningkat. Program sebegini amat signifikan kerana ia bukan sahaja menyumbang kepada kelestarian alam sekitar, malah memperkukuh imej negeri sebagai destinasi pelancongan yang indah, mesra dan harmoni,” jelas beliau.
Antara aktiviti utama yang dijalankan termasuk gotong-royong di kawasan Pantai Pandak, Chendering, penanaman pokok semasa Majlis pelancaran serta kerja-kerja penyelenggaraan di Surau Haji Awang di Kampung Pantai Pandak.
-TAMAT-