- Lembaga Tabung Haji (TH) ingin memaklumkan bahawa spekulasi jumlah perbelanjaan sebanyak RM20 juta bagi proses penjenamaan baharu "rebranding" adalah tidak benar. Isu ini telah dibangkitkan di dalam Parlimen dan penjelasan akan diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada 18 Ogos 2025.
- Dakwaan bahawa TH tidak perlu berusaha bagi memperkukuhkan jenamanya yang dikenali ramai setelah 60 tahun beroperasi juga adalah tidak tepat.
- TH telah memperkukuhkan jenama beberapa kali sebelum ini dan ini merupakan pelaburan penting bagi mengubah minda dan menarik minat umat Islam untuk menabung secara sistematik untuk memenuhi syarat kemampuan menunaikan haji.
- Peruntukan perbelanjaan bagi proses peremajaan jenama (Brand Rejuvenation) adalah RM2 juta setahun bagi tempoh 3 tahun.
- Proses ini melibatkan tinjauan pasaran meluas dan proses libat urus bersama pihak pendeposit bagi memahami dengan lebih baik keperluan mereka dan TH mendapati perubahan demografi masyarakat Islam Malaysia mempunyai kesan yang amat ketara.
- TH mempunyai 9.6 juta pendeposit pada hari ini, iaitu hanya 50% dari penduduk muslim negara. Pada masa ini juga lebih 80% daripada transaksi kewangan dilakukan secara digital dan dalam talian.
- Lebih dari 53% pendeposit TH mempunyai simpanan kurang dari RM1,300 dan ini adalah jauh daripada mencukupi bagi persediaan menunaikan haji. Bayaran haji bagi seorang jemaah kumpulan B40 tahun 2025 adalah RM15,000.
- TH sedang merancang kempen bagi menarik umat Islam negara untuk menabung awal, konsisten dan sistematik untuk meningkatkan simpanan ke paras yang membolehkan mereka menunaikan ibadat haji, serta memastikan pelaburan yang stabil demi kelestarian institusi. Usaha penjenamaan adalah agenda strategik untuk memelihara kepentingan pendeposit dan reformasi TH yang berdepan dengan cabaran semasa.
- Lembaga Pengarah TH telah memutuskan untuk mengkaji semula strategi untuk kekal berdaya saing memberi perkhidmatan terbaik dan menarik minat lebih ramai umat Islam Malaysia yang lebih muda sebagai pendeposit.
-TAMAT-
Press Release PDF