KUALA LUMPUR, 19 OKTOBER 2025: Lembaga Tabung Haji (TH) ingin memaklumkan bahawa Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah mengumumkan syarat kesihatan untuk menunaikan haji bagi musim1447H/2026M. Lanjutan daripada pengumuman itu, berikut adalah syarat yang perlu dikuatkuasakan TH dan perlu dipatuhi oleh bakal jemaah haji bagi memperolehi visa haji.
Syarat yang ditetapkan bagi bakal jemaah adalah:
- Bebas dari penyakit berjangkit, penyakit serius atau penyakit kronik tidak terkawal.
- Berupaya menjalankan ibadat haji dengan sendiri.
- Jemaah tidak dianggap layak untuk mengerjakan ibadat haji sekiranya mempunyai keadaan atau penyakit seperti:
- Kegagalan buah pinggang kronik
- Kegagalan jantung atau penyakit jantung serius
- Penyakit paru-paru kronik
- Penyakit hati kronik
- Masalah neurologi/mental yang menjejaskan fungsi kognitif/motor
- Warga emas dengan dementia/fizikal lemah
- Kehamilan berisiko tinggi
- Penyakit berjangkit aktif
- Penyakit kanser yang sedang dalam rawatan.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Haji Mustakim Mohamad berkata TH sentiasa mengutamakan keselamatan, kebajikan dan keselesaan jemaah haji Malaysia sebagai teras dalam pengurusan operasi haji
setiap tahun.
“Seperti mana tahun-tahun sebelumnya, TH sememangnya memandang serius dan mengutamakan aspek kesihatan para jemaah haji terutamanya ketika berada di Tanah Suci. Atas dasar itu, pada setiap tahun TH akan memperuntukkan sebahagian besar alokasi petugas Tanah Suci kepada petugas perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” jelas beliau.
Bagi musim haji 1447H/2026M, TH masih menyediakan klinik kesihatan di semua bangunan penginapan jemaah Haji di Makkah dan Madinah. Setiap bangunan akan dilengkapi dengan klinik pesakit luar dan farmasi yang dikendali petugas kesihatan bertauliah dari KKM bagi kesinambungan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada jemaah haji negara, termasuk pengiring kepada jemaah warga emas dan kelainan upaya.
Walaubagaimana pun, pada musim haji 1447H/2026M, TH tidak lagi dibenarkan untuk membuka Pusat Rawatan di Tanah Suci dan bagi mereka yang memerlukan rawatan lanjut, jemaah akan dirujuk ke hospital-hospital yang disediakan oleh Kerajaan Arab Saudi dengan bantuan pemantauan rapi oleh pakar-pakar perubatan KKM. TH juga telah merancang untuk menyediakan kemudahan kesihatan di hospital swasta Arab Saudi sekiranya perlu. TH dengan kerjasama KKM menyediakan 225 petugas kesihatan pada musim haji 1447H/2026M.
“Keperluan tahap kesihatan yang baik adalah salah satu syarat kemampuan mengerjakan haji (istito’ah) yang sentiasa ditekankan dalam resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan. Seperti mana syarat menerima tawaran haji sebelum ini, bakal haji perlu lulus pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan pihak KKM.”
“TH akan terus memastikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik bagi setiap jemaah haji negara. Jemaah haji juga perlu membuat persediaan kesihatan fizikal secukupnya kerana mereka akan berada di Arab Saudi dalam tempoh yang lama dan melalui suasana berdebu dan cuaca yang panas”, tambah Mustakim.