KUALA LUMPUR, 14 OKTOBER 2025 – Lembaga Tabung Haji (TH) telah membantu meningkatkan keupayaan perniagaan dan taraf hidup hampir 1,000 usahawan mikro dalam kalangan asnaf dan B40 di seluruh negara menerusi sumbangan dana kepada Sadaqa House Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) yang diiktiraf sebagai pemacu kewangan sosial di peringkat global.
Sadaqa House, platform pendanaan kewangan sosial bersifat inklusif, menggerakkan modal filantropi seperti sedekah, wakaf dan zakat bagi menghasilkan impak positif serta perubahan nyata kepada golongan yang tidak mempunyai akses dan kurang mendapat perkhidmatan perbankan di Malaysia.
Sumbangan baharu RM3.8 juta pada tahun ini adalah tambahan kepada dana awal berjumlah RM6.5 juta, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM10.3 juta sejak tahun 2020. Dana sebelum ini telah menyokong pelaksanaan Program Pembangunan Keusahawanan iTEKAD (iTEKAD) yang memberi kesan berganda dalam menyokong kelangsungan usahawan mikro apabila ia mencatat pencapaian pembiayaan sehingga lebih RM12 juta disebabkan oleh kesan putaran (revolving effect).
Selain itu, dana sumbangan ini juga dimanfaatkan dalam pelbagai bentuk termasuk pembiayaan mikro tanpa keuntungan berkonsepkan qardhul hasan, geran perniagaan untuk usahawan mikro asnaf, pembiayaan kos latihan keusahawanan, bimbingan perniagaan serta kajian bagi meningkatkan keberkesanan program iTEKAD.
Kejayaan program ini terbukti apabila lebih 35 peratus peserta iTEKAD BangKIT, melibatkan 341 usahawan mikro, berjaya meningkatkan pendapatan isi rumah mereka dalam tempoh setahun selepas menyertai program ini sejak 2020.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tuan Haji Mustakim Mohamad berkata, usaha ini adalah selari dengan aspirasi TH sebagai sebuah institusi Islam yang bukan sahaja mengurus tabungan dan ibadat haji, tetapi juga memperkukuh kedudukan kewangan umat Islam melalui pelaburan dan agihan zakat.
“TH yakin bahawa pembangunan ummah perlu dilihat secara holistik, bukan hanya dalam aspek ibadat, tetapi juga pemerkasaan kewangan umat Islam. Sumbangan ini adalah pelaburan sosial jangka panjang demi kesejahteraan masyarakat dan keberkatan bersama,” katanya.
Antara penerima manfaat program ini adalah Issnanie Pink Enterprise di mana pemiliknya Puan Norzie Nani Md Bahari pantas menyesuaikan diri dengan mengguna platform penghantaran makanan untuk menjual jeruk buah buatan sendiri ketika pandemik COVID-19. Langkah ini telah melonjakkan jualannya sehingga mencecah RM1,100 sehari daripada sekitar RM350 sehari sebelumnya.
Puan Norzie Nani juga telah menggunakan dana iTEKAD untuk membeli motosikal penghantaran, pencetak, mesin pengisar dan bahan mentah. Kini, perniagaannya berkembang dengan dua pekerja tetap, kedai sendiri di Kajang serta simpanan tetap bulanan sebanyak RM260. Malah, Puan Norzie turut menyumbang kembali kepada Sadaqa House dan bercadang untuk membayar zakat perniagaan tahun hadapan.
Manakala MA Jarum Emas pula ditubuhkan oleh Puan Mah Ali, seorang ibu tiga anak dan pejuang kanser payudara. Perniagaan jahitan beliau bermula dengan hanya sebuah mesin jahit, namun selepas menyertai iTEKAD BangKIT, Puan Mah Ali telah melabur dalam mesin sulaman dan berjaya memperluas perniagaan termasuk menerima tempahan daripada pasukan beruniform.
Puan Mah yang kini mengendalikan pusat jahitan sehenti, turut membimbing empat usahawan baharu dalam komuniti. “Setiap cabaran menjadikan saya lebih kuat dan dengan sokongan iTEKAD, saya bukan sahaja dapat mengembangkan perniagaan, tetapi juga menyediakan kehidupan lebih baik untuk keluarga,” katanya.
Ketua Pegawai Kewangan Sosial Kumpulan Bank Islam, Mohd Nazri Chik berkata, “Bank Islam amat menghargai keyakinan berterusan TH dalam menjayakan Program iTEKAD, khususnya iTEKAD BangKIT. Sebagai pemegang saham terbesar, sokongan TH menjadi penggerak penting dalam memperkukuh usaha Bank Islam memastikan Sadaqa House terus memberi manfaat kepada masyarakat.”
“Komitmen TH membolehkan kami memartabatkan kewangan sosial Islam seperti sedekah dan zakat sebagai penyelesaian kewangan inklusif yang mampan,” tambah beliau.
TH yakin inisiatif ini akan terus menjadi pemangkin kepada pembangunan inklusif dan lestari, seiring dengan agenda Malaysia Madani dalam usaha memperkukuh daya tahan ekonomi ummah.
-TAMAT-